Saturday, October 29, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 3 DAN BAB 4

BAB 3 : BERSUGI (BERSIWAK)

1. Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi.

2. Bersugi hukumnya adalah sunat dan masanya ialah bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca Al-Quraan dan ketika berubah bau mulut.

3. Dihukumkan makruh bersugi apabila telah gelincir matahari ( masuk waktu Zohor ) bagi orang yang berpuasa , sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“ Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah s.w.t. itu lebih harum daripada kasturi “.
( Riwayat Muslim )

- Pada pendapat Imam Nawawi r.a.h bahawa tidak makruh bersugi bagi orang yang berpuasa sama ada telah gelincir matahari atau belum gelincir matahari.

4. Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu arak ( siwak ) , rotan manggar kelapa dan lain-lain.

5. Hadith Rasulullah s.a.w. tentang bersugi :

1) Dari Aisyah r.a.h. “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.
( Riwayat Baihaqi )

2) Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. telah bersabda :
“ Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh
mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk “.
( Riwayat Ahmad )

6. Cara perlaksanaan bersugi hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan sebelah kanan mulut dan terus dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.

7. Di antara kelebihan bersugi ialah :

1) Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih
baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang
dengan tidak bersugi “.
( Riwayat Muslim )

2) Dapat menambahkan akal.
3) Dapat mencerahkan mata.
4) Melambatkan tumbuh uban .
5) Dapat menggandakan pahala.
6) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal .

7. Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntuti hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari.

8. Di antara sebab-sebab sembahyang orang yang bersugi itu lebih afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk sembahyangnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa sembahyang dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar .

( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badraian – Syeikh Daud Fattani )



BAB 4 :BIJANA EMAS DAN PERAK

1. Bijana bermaksud alat perkakas kegunaan kita setiap hari seperti pinggan, mangkuk, gelas, sudu, pisau dan lain-lain lagi .

2. Penggunaan bijana daripada emas dan perak hukumnya adalah haram.

3. Sebab dihukumkan haram adalah :

kerana tegahan - Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“ Jangan kamu minum pada segala bijana emas dan perak dan
janganlah kamu makan pada semua pinggannya “.
( Riwayat Al-Hakim ).

kerana akan menjadi beku tidak dapat menambah atau mengembangkan ekonomi.
kerana boleh menimbulkan rasa kecil hati dari kalangan fakir miskin.
4. Haram menggunakan bijana emas dan perak seperti pencelak mata bekas celak, sikat dan lain-lain.

5. Haram seseorang itu mengupah dan mengambil upah membuat sesuatu bijana daripada emas dan perak. Dan tidak wajib ganti apabila memecahkan alat permainan yang diperbuat daripada emas dan perak.

6. Hukum menyimpan bijana emas dan perak hukumnya adalah haram begitu juga hukum menyadurkan bijana besi atau tembaga dengan emas atau perak juga adalah haram.

7. Bijana emas dan perak yang disadurkan dengan tembaga atau sebagainya tidak haram.

8. Hukum bijana yang ditimpal dengan perak:-

Jika besar tampalannya pada kebiasaan kerana perhiasan hukumnya adalah haram.
Jika besar tampalannya pada kebiasaan kerana hajat atau keperluan hukumnya harus beserta makruh.
Jika kecil tampalannya pada kebiasaannya kerana perhiasan hukumnya makruh.
Jika kecil tampalannya kerana hajat hukumnya tidak makruh.
9. Hukum menampal bijana dengan emas hukumnya adalah haram.

10. Makanan atau minuman yang ada di dalam bijana emas atau perak hukumnya adalah halal di makan atau diminum kalau ia bukan daripada makanan yang haram, yang diharamkan hanyalah menggunakan bijana-bijana tersebut.

11. Dihukumkan haram menggunakan bijana itu adalah terhadap ke semua manusia sama ada lelaki atau perempuan.

12. Bersuci dengan menggunakan bijana emas atau perak itu hukumnya adalah sah.


Rujukan: (Kitab Matlaal Badrain – Syeikh Daud Fattani)
(Kitab Fiqh Syafi’I – Al-Ustaz Hj. Idris Ahmad S.H)

No comments:

Post a Comment