Tuesday, July 26, 2011

PENGHAYATAN RAMADHAN MENURUT SUNAH RASULULLAH s.a.w DAN PARA SAHABAT

MUQADDIMAH

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.
Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abi Hurairah.

Pertama : Takrif Puasa

Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berbetulan dengan firman Allah s.w.t menceritakan perihal Maryam, melalui Surah Maryam, ayat 26: Maksudnya: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al‐Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Kedua: Takrif Ramadhan

Ramadhan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya’ban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam berpuasa.Al‐Syeikh Sya’rawi di dalam al‐Fatawa berkata: Perkataan bulan ﺷﻬﺮ diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang‐kadang dinamakan masa yang tetentu sebagai bulan.

Sesungguhnya matahari tidak mampu untuk diketahui berkenaan dengan bulan kerana ia berfungsi hanya untuk menetukan hari. Matahari yang muncul disebelah timur pada hari ini begitu juga akan muncul pada hari esok mengikut  sifat dan bentuknya yang sama. Sedangkan bulan dapat dipastikan datang dengan Hilal (anak bulan) pada permulaan kemudian membesar sehingga menjadi bulan mengambang yang penuh hingga kepada kekurangan semula, justeru dapat di bezakan awal, pertengahan dan akhir bulan.  

Atas dasar inilah Allah s.w.t mengikat segala amalan ibadat dengan ayat kauniyyah yang zahirah (tanda kekuasaan Allah yang zahir). Ayat di sini ialah anak bulan selepas itu baru di ambil dari matahari hari tersebut kerana anak bulan tidak memberikan kepada kamu kefahaman tentang hari justeru, kita berhajat kepada kedua‐duanya. Dengan sebab itulah sentiasa bermula masa ramadhan dengan malam dan segala ibadat di sini berkenaan dengan ramadhan bahawa malam didahulukan sebagaimana yang ma’ruf (tidak ada khilaf dalam masalah ini bahawa siang hari mendahului malam kecuali pada satu ibadat iaitu wuquf di `arafah. Malam datang selepasnya).

Bulan ramadhan asalnya daripada kalimah ﺽ ﻡ ﺭ yang menunjukkan kepada kepanasan atau kepada kepanasan yang membawa kepada dahaga begitu juga pasir‐pasir yang panas di padang pasir. Al‐Qurtubi berkata: Dikatakan dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan yang soleh. Ini kerana diambil dari perkataan ﺍﻹﺭﻣﺎﺽ yang bermaksud membakar.

Ada pendapat mengatakan kerana hati‐hati dapat mengambil padanya dari kepanasan mau`izah dan fikrah pada urusan akhirat sebagaimana pasir dan batu menjadi panas dengan sebab panahan cahaya matahari. Seolah‐olah manusia ketika mereka datang untuk meletakkan nama‐nama berbetulan pada ramadhan pada waktu yang panas terik (sebagaimana bulan rabi’ yang pertama dan kedua berlaku dalam musim bunga) ini menunjukkan mereka memerhatikan sifat bulan ketika menamainya, kemudian berlangsungnya masa yang khas bagi orang arab sebagai hilali pada zaman yang am sebagai syamsi.

Kemudian datangnya ramadhan pada musim sejuk dan juga datangnya ramadhan pada musim luruh, tetapi saat penamaan adalah pada musim panas, justeru penamaan tersebut berkenaan dengan ramadhan dilihat pada waktu dinamakannya. Seolah‐olah Allah yang sebenarnya telah memilih bagi bulan ini dengan nama yang tersebut untuk menunjukkan betapa masyaqqah untuk ditempuhi oleh orang yang berpuasa.

Ketiga: Pensyariatan Puasa

Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2 Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi ε. Hal ini berdasarkan firman Allah Ι dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: Maksudnya: Wahai orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Akan tetapi kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat‐umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad s.a.w secara khususnya difardhukan puasa bulan Ramadhan tersebut berdasarkan Surah al‐Baqarah, ayat 185: Maksudnya: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al‐Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan‐keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya hendaklah ia berpuasa pada bulan itu."

PENGHAYATAN RAMADHAN MENURUT SUNNAH RASULULLAH DAN PARA SAHABAT

Rasulullah s.a.w amat bergembira dengan kedatangan Ramadhan al‐Mubarak, bahkan baginda menganjurkan para sahabat supaya bergembira dengan mengisi ketaatan yang penuh sama ada fardhu ataupun sunat bagi menghiasi Ramadhan al‐Mubarak. Dengan sebab itu banyak hadith‐hadith yang menunjukkan kelebihan dan keutamaan Ramadhan dan puasa serta acara sunat yang lain untuk menambahkan lagi koleksi pahala di sisi Allah.

Di sini dinyatakan hadith‐hadith antaranya:

1. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d, sabda Rasulullah:
Maksudnya: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.  

2. Hadith riwayat Ahmad dan al‐Nasa`ie, daripada Abu Hurairah. Sabda Rasulullah:
Maksudnya: Puasa sebagai perisai.

3. Hadith riwayat Ibn Majah dan al‐Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

4. Hadith riwayat al‐Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat. Firman Allah  dalam hadith qudsi: Maksudnya: Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untukKu, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang.

5. Hadith riwayat al‐Baihaqi di dalam al‐Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: maksudnya: Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

6. Hadith riwayat al‐Nasa`ie daripada Abi Sa`id: Maksudnya: Siapa yang berpuasa sehari semata‐mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun.

7. Hadith riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al‐Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi ε bersabda: Maksudnya: Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

8. Hadith riwayat al‐Bukhari dan Muslim: Maksudnya: Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu‐pintu syurga, ditutup pintu‐pintu neraka dan diikat syaitan‐syaitan.

9. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim, begitu juga dengan Ashab al‐Sunan: Maksudnya: Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu.


PELUANG, CABARAN DAN TIPS MENANGANINYA

Setiap ibadat sudah tentu mempunyai cabaran dan halangan. Ini kerana terdapatnya ganggu gugat daripada syaitan dan lain‐lain supaya ibadat tersebut batal atau tidak diberi pahala di sisi Allah s.w.t . Justeru jadilah ibadat sia‐sia disamping natijah taqwa yang terhasil daripada ibadat puasa tidak kesampaian. Di sini dikemukakan beberapa hadith yang menunjukkan cabaran dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Antaranya ialah:

1. Hadith riwayat al‐Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah s.w.t. berfirman:
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbukadia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya.

2. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari, al‐Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah: Maksudnya: Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah, firman Allah s.w.t: Kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Akulah yang membalasnya, meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku, bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbukanya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Berdasarkan dua hadith di atas dapatlah disimpulkan beberapa pengajaran antaranya:

i. Keistimewaan puasa sehingga disandarkan kepada Allah s.w.t.

ii. Amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh hingga tanpa had.

iii. Amalan kejahatan hanya dibalas satu sahaja sebagai lambang rahmat dan kasih sayang Allah terhadap makhluknya.

iv. Puasa sebagai perisai.

v. Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi.

vi. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhan.

vii.Antara adab‐adab puasa ialah;

a. Tidak melakukan rafas iaitu mutlak maksiat atau lagha.

b. Tidak melakukan sakhab iaitu bertempik dan dikehendaki dengannya meninggalkan maksiat begitu juga bercakap sia‐sia kecuali membaca al‐Quran dan zikir.

c. Berkata kepada musuhnya; sesungguhnya aku berpuasa. Untuk mengelakkan daripada tercemarnya maksud puasa dan dari mendapat natijah taqwa. Hal ini berbetulan dengan sebuah hadith yang menggambarkan puasa kerana Allah yang layak dan berhak dibalas dengan kelebihan. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh al‐Tabarani, daripada Abu Hurairah dan lainnya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya: Kecuali puasa, dan puasa bagi‐Ku dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya semata‐mata kerana‐Ku.

Begitu juga dengan sebuah hadith, Rasulullah ε bersabda: Maksudnya: Siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan beramal dengannya maka tiadalah bagi Allah keperluan dengan sebab beliau meninggalkan makan dan minumnya.

Oleh kerana itu bagi menjadikan puasa yang sahih dan mendapat pahala hendaklah bermula dengan pembetulan nawaitu yang benar‐benar ikhlas selaras dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Bayyinah, ayat 5: Maksudnya: Dan mereka tidak diperintahkan kecuali semata‐mata mengabdikan kepada Allah dalam keadaan mengikhlaskan bagi agamanya dan suci, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, dan yang demikian itu merupakan agama yang unggul.

Seterusnya mempelajari hukum fiqh al‐Siyam mengikut amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat supaya ianya benar‐benar menepati kehendak syarak sama ada yang membabitkan amalan sunat atau wajib. Begitu juga dengan adab dan etikanya. Justeru perkara seumpama ini bukanlah mustahil untuk mencapai hakikat puasa yang menatijahkan taqwa.


PENUTUP

Sebagaimana diketahui puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadat yang difardhukan oleh Allah s.w.t.. Dalam erti kata lain setiap orang Islam yang melakukannya hanya kerana mematuhi perintah Allah s.w.t. danmelaksanakan tanggungjawab keimanan kepada‐Nya tanpa memandang kepada sebarang kemungkinan yang berlaku. Sebagai natijah daripada ibadat tersebut.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.  

ii. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.

iii. Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepada‐Nya.

iv. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat‐sifat keras hati dan keterlalulan.

v. Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin. Firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: Maksudnya: Hai orang‐orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu, iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjungperintah Allah s.w.t   dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah s.w.t dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa dihadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Semoga kita mencapai tahap ketaqwaan melalui ibadat puasa Ramadhan yang akan menjelang tiba.

(SUMBER : www.al-azim.com )

Sunday, July 24, 2011

Kisah Iblis Laknatullah dengan Ahli Neraka...

Dalam sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis laknatullah itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada iblis laknatullah: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka." Setelah iblis laknatullah menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai para penghuni neraka." Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu iblis laknatullah .

Kata iblis laknatullah : "Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa'iir."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?"

Akhirnya iblis laknatullah berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam."

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata iblis laknatullah itu maka mereka melaknati iblis itu. Setelah itu iblis laknatullah dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata: "Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya."

Wallahu'alam.

Menggigil Lutut Jin dan Manusia Melihat Neraka Jahanam....

Dalam hadith yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahanam, maka sebaik sahaja pintu neraka Jahanam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung di sebelah kanan jin dan manusia. Dan sebuah kumpulan asap lagi mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka di sebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan dibelakang mereka. Dan mereka (jin dan manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergementarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil: "Ya Tuhan kami selamatkanlah."

Dikisahkan dalam sebuah hadith bahawa sesungguhnya neraka jahanam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ianya menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu pula terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api. Di setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadith tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 kolah bisa.

Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras." Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam.

Mujahid berkata: "Sesungguhnya apimu ini berlindung kepada Allah SWT dari neraka jahannam." Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli neraka iaitu seorang yang berkasutkan dari api neraka, dan dapat mendidihkan otaknya, seolah-olah ditelinganya ada api, dan giginya berapi dan dibibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat siksanya dari semua ahli neraka, padahal ia sangat ringan siksanya dari semua ahli neraka."

Wallahu'alam.

Wednesday, July 20, 2011

Secebis Kisah Kesengsaraan di dalam Neraka......

Dari Anas bin Malik RA berkata: "Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi SAW "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah SWT menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah SWT itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya."

Lalu Nabi SAW bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah SWT menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama 1,000 tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan 1,000 tahun sehingga putih, kemudian 1,000 tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas nya. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke 7. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada 7 pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi SAW bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda."

Tanya Rasulullah SAW: "Siapakah penduduk setiap pintu?"

Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa AS serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. Pintu keempat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. Pintu keenam tempat orang nasara bernama Sa’ir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah SAW sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ketujuh?"

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat."

Maka Nabi SAW jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi SAW di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar Nabi SAW bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian Nabi SAW menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi SAW masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah SWT.

Dari Hadith Qudsi: "Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu, mempunyai 7 tingkat. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah, setiap daerah mempunyai 70,000 kampung, setiap kampung mempunyai 70,000 rumah, setiap rumah mempunyai 70,000 bilik, setiap bilik mempunyai 70,000 kotak, setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum, di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular, di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai, setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat."

Wallahu'alam.

Sunday, July 17, 2011

IBLIS LAKNATULLAH MENEMUI AJAL......

Abu Laits Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Afnah bin Qays berkata: Saya pergi ke Madinah ingin bertemu dengan Omar bin Al Khattab RA, tiba-tiba saya bertemu dengan Ka'bul Ahbaar yang menceritakan dalam suatu majlis, "Ketika Adam AS sedang menghadapi saat kewafatan, baginda berkata: "Ya Rabbi, musuhku pasti akan mengejek padaku jika ia melihat aku telah mati, padahal ia diberi hingga hari kiamat".

Maka di jawab Allah SWT: "Hai Adam, kamu langsung menuju ke syurga, sedang si celaka (iblis) ditunda hingga hari kiamat supaya merasakan sakit maut, sebanyak makhluk yang pertama hingga yang terakhir". Lalu nabi Adam AS pun bertanya kepada malaikat Izrail: "Sebutkan kepadaku bagaimana rasa pedihnya maut". Sesudah diterangkan oleh malaikat Izrail, nabi Adam AS pun berkata: "Tuhanku, cukup!! cukup!!"

Maka gemuruhlah suara para hadirin berkata: "Hai Abul Ishaq, ceritakan pada kami, bagaimanakah ia merasakan maut, pada mulanya Ka'abul Ahbaar menolak, tetapi kerana didesak, maka ia berkata: "Jika dunia sudah akhir dan hampir ditiup sangkakala, sedang orang ramai di pasar sedang sibuk bertengkar dan berdagang, tiba-tiba terdengarlah suara yang sangat keras di langit, sehingga separuh penduduk bumi pengsan kerananya selama tiga hari.

Bagi mereka yang tidak pengsan, bingung bagaikan kambing ketakutan. Dalam keadaan hirik pikuk sedemikian, maka terdengarlah lagi satu suara gemuruh bagaikan suara halilintar yang sangat keras bunyinya, maka tidak seorangpun melainkan mati kerananya dan kesemua manusia, jin, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain makhluk mati, maka tiba giliran iblis laknatullah pula untuk merasainya.

Maka Allah SWT pun memerintahkan malaikat Izrail: "Aku telah menjadikan padamu pembantu sebanyak orang yang pertama hingga yang terakhir dan Aku telah memberikan kekuatan penduduk langit dan bumi dan kini Aku pakaikan kepadamu pakaian murka dan kemarahan, maka turunlah dengan membawa murka dan kemarahanKu kepada si celaka dan terkutuk iblis. Maka rasakan kepadanya kepedihan maut yang telah dirasakan oleh orang yang terdahulu hingga terakhir dari jin dan manusia, berlipat-lipat ganda, dan hendaknya kamu membawa tujuh puluh ribu malaikat yang kesemuanya penuh rasa murka dan kecemasan, dan tiap malaikat Zabaniyah membawa rantai dari neraka Ladha, dan cabutlah dengan tujuh puluh ribu bantolan dari neraka Ladha, dan beritakan pada malaikat Malik supaya membuka pintu-pintu neraka".

Maka turunlah malaikat Izrail dengan bentuk yang sangat mengerikan, sehingga andai kata seluruh penduduk langit dan bumi dapat melihat bentuk yang mengerikan itu niscaya akan cair kesemuanya kerana tersangat ngeri akan keadaan bentuknya, maka apabila sampai kepada iblis laknatullah dan dibentaknya sekali sahaja, langsung ia pengsan dan berdengkur dan andaikan dengkur itu dapat didengari oleh penduduk timurhingga barat, niscaya pengsanlah kesemuanya.

Setelah sedar iblis laknatullah, lalu malaikat Izrail pun membentak iblis laknatullah sekali lagi: "Berhentilah hai penjahat!!!, kini aku rasakan padamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh banyaknya hitungan orang yang telah engkau sesatkan dalam beberapa abad yang engkau hidup, dan hari inilah hari yang ditentukan oleh Tuhan bagimu, maka ke manakah engkau akan lari!!"

Maka larilah iblis laknatullah lari ketakutan ke hujung timur, tiba-tiba malaikat Izrail muncul di hadapannya. Lalu iblis laknatullah pun menyelam ke dalam laut, namun malaikat Izrail tetap muncul di hadapannya, lantas ia dilemparkan oleh laut, maka ia berlari keliling bumi, namun tetap tidak ada tempat untuknya berlindung. Kemudian iblis laknatullah berdiri di tengah dunia di kubur nabi Adam AS sambil berkata: "keranamu aku telah menjadi celaka, duhai sekiranya aku tidak dijadikan". Lalu ia bertanya pada malaikat Izrail: "Minuman apakah yang akan kau berikan padaku dan dengan siksa apakah yang akan kau timpakan kepadaku?"

Malaikat Izrail pun menjawab: "Dengan minuman dari dari neraka Ladha dan serupa dengan siksa ahli neraka dan berlipat-lipat ganda", maka bergulingan iblis laknatullah di tanah sambil menjerit sekeras suaranya, kemudian berlari ketakutan dari barat ke timur dan patah balik dari timur ke barat dan sampai ke tempat mula-mula ia diturunkan ke muka bumi ini.

Maka malaikat Zabaniyah AS pun menghadang iblis laknatullah dengan bantolan-bantolan dari neraka Ladha. Bumi ini bagaikan bara api, sedang iblis laknatullah dikerumuni oleh malaikat Zabaniyah dan menikamnya dengan bantolan-bantolan dari neraka itu.

Tatkala iblis laknatullah mula merasai sakratul maut maka dipanggil nabi Adam AS dan Siti Hawa untuk melihat keadaan iblis laknatullah itu, maka bangkitlah keduanya untuk menyaksikannya. Sesudah melihat, maka keduanya berdoa: "Ya Tuhan kami, sungguh engkau telah menyempurnakan nikmatMu pada kami".

Wallahu'alam.

IBLIS LAKNATULLAH MENGGANGGU KETIKA SAKARATUL MAUT....

Syaitan laknatullah dan iblis laknatullah akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis laknatullah mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi tujuh golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah SAW menerangkan: Yang bermaksud: "Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut."

Rombongan 1 - Akan datang iblis laknatullah dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan iblis laknatullah itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2 - Akan datang iblis laknatullah kepada orang yang di dalam Sakaratul Maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, harimau, singa, ular dan kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang didalam Sakaratul Maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3 - Akan datang iblis laknatullah mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4 - Akan datang iblis laknatullah merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam Sakaratul Maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5 - Akan datang iblis laknatullah merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam Sakaratul Maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh iblis laknatullah, berkata dengan rayu-merayu "Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6 - Akan datanglah iblis laknatullah merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: "Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula iblis laknatullah yang menyerupai ulamak dengan berkata: "Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" Berkata orang yang sedang dalam Sakaratul Maut: "Aku tidak tahu."

Berkata ulamak iblis laknatullah: "Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah hendaklah kamu patuh kepada kami."

Ketika itu orang yang dalam Sakaratul Maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh iblis laknatullah bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam Sakaratul Maut). Kemudian orang yang sedang dalam Sakaratul Maut itu bertanya kepada ulamak palsu: "Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis laknatullah merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu."

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam Sakaratul Maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata iblis laknatullah: "Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah." Berkata orang yang dalam Sakaratul Maut: "Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini."

Dalam keraguan itu maka Malaikat Izrail pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7 - Rombongan iblis laknatullah yang ketujuh ini terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa iblis laknatullah itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia Sakaratul Maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa ilaaha illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan iblis laknatullah dan syaitan laknatullah yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam Sakaratul Maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: "Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa ilaaha illallah."

Wallahu'alam.