Saturday, June 18, 2011

BAB MUNAKAHAT (BHG KETUJUH)

Bab 9 : Pembubaran Perkahwinan : Fasakh

PENGERTIAN FASAKH

Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

SEBAB FASAKH

Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:

1. Sebab yang merosakkan akad.

a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya.

b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.


2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.

a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.

b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.

c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua.


Manakala dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka 2002, Seksyen 53 menegaskan lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:

1. Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.

2. Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

4. Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.

5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.

6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.

7. Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.

8. Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:

a) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya.

b) Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syara‘.

c) Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

d) Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.

e) Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

f) Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syara‘.


9. Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.

10. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.


HIKMAH FASAKH

1. Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

2. Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

3. Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.



Bab 9 : Pembubaran Perkahwinan : Khul'

KHUL‘ (TEBUS TALAQ)

PENGERTIAN KHUL‘

Khul‘ dari segi bahasa bererti melepas atau menanggalkan.
Manakala dari segi syara‘ pula ialah perceraian daripada suami ke atas isteri dengan tebusan yang diterima oleh suami.

Contohnya suami berkata “Aku talaqkan kamu dengan bayaran sekian banyak” atau isteri berkata: “Aku menebus talaq ke atas diriku dengan bayaran sekian banyak”.

DALIL PENSYARI‘ATAN KHUL‘

Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Talaq (yang boleh diruju‘ kembali) hanya dua kali. Sesudah itu peganglah (ruju‘) atau lepaskan (cerai) dengan cara yang baik. Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri yang kamu ceraikan) kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan peraturan-peraturan hukum Allah. Oleh itu, kalau kedua-kedua kamu khuatir maka tidaklah berdosa tentang bayaran balik (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.” (Surah Al-Baqarah, 2:229)

SYARAT SAH KHUL‘

Syarat sah khul‘ adalah seperti berikut:

1. Suami: Baligh, berakal, mukhtar (bebas) melakukan khul‘ bukan dipaksa.

2. Isteri: Hendaklah seorang yang boleh menguruskan harta dan mukallaf.

3. Lafaz khul‘: Hendaklah disebut dengan terang.

4. Bayaran khul‘: Hendaklah dijelaskan dengan jumlah yang tertentu.

Peringatan:
Walaupun isteri mempunyai hak untuk memohon fasakh dan khul‘, tetapi Rasulullah s.a.w menuntut agar ia tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)


PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI KHUL‘

· Di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 49 ada menerangkan bahawa:

Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai denagn tebus talaq, Mahkamah hendaklah selepas sejumlah tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, menasihatkan suami itu melafazkan perceraian dengan tebus talaq mengikut hukum syara‘, dan perceraian itu adalah bain sughra dan tidak boleh diruju‘kan.


Bab 9 : Pembubaran Perkahwinan : Taqliq

PENGERTIAN TA‘LIQ

Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

SYARAT TA‘LIQ

Syarat jatuh cerai ta‘liq :

1. Suami: Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.

2. Belum berlaku: Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.

3. Isteri: Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.
Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut:

1. Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.

2. Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.

3. Menyakiti tubuh badan isteri.

4. Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.

No comments:

Post a Comment