Tuesday, June 21, 2011

BAB MUNAKAHAT (BHG KELAPAN - Akhir)

Bab 9 : Pembubaran Perkahwinan : Li'an

PENGERTIAN LI‘AN

a. Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.

b. Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.

c. Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.

Firman Allah subhanahu wata‘ala: “Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.” (Surah An-Nur, 24:6-9)


KESAN LI‘AN

a. Mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.

b. Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

c. Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

"Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya. (Riwayat Daruqutni)


Bab 9 : Pembubaran Perkahwinan : Prosedur Penceraian

PROSEDUR PERCERAIAN

1. Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syari‘ah di mana (tempat) dia bermastautin.

2. Sebelum sesuatu permohonan cerai dikemukakan kepada Mahkamah Syari‘ah, pihak suami isteri diminta membuat pengaduan ke Bahagian Khidmat Nasihat/Rundingcara di Pejabat Agama Islam Daerah untuk diberikan rundingan terlebih dahulu.

3. Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian untuk mereka berdamai barulah kes tersebut dipanjangkan ke Mahkamah Syari‘ah.

4. Setelah Mahkamah Syari‘ah bersidang dan membuat sesuatu keputusan mengenai perceraian pasangan tersebut, pihak Mahkamah hendaklah menghantar satu salinan keputusan permohonan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju‘ Daerah yang berkenaan.

5. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah menyemak keputusan perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut. Jika terdapat keraguan atau kesilapan teknik hendaklah dikembalikan untuk pembetulan.

6. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah menandatangani Sijil Cerai yang telah disempurnakan dan menghantar satu salinan kepada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai da Ruju` Negeri Melaka.

7. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah merekodkan dan mendaftarkan perceraian tersebut di dalam Buku Daftar Cerai.

8. Pendaftar hendaklah menyerahkan Sijil Cerai tersebut kepada pasangan berkenaan setelah isteri tersebut tamat ‘iddahnya dan direkodkan di dalam buku daftar serahan sijil cerai.

9. Bagi kes suami yang ingin berkahwin dengan perempuan lain semasa dalam ‘iddah isterinya, maka pihak suami dikehendaki membuat permohonan berpoligami kepada Mahkamah Syari‘ah di mana tempat ia bermastautin/tinggal.

10. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah merekodkan dan mencatatkan maklumat perceraian tersebut berdasarkan keputusan Mahkamah.


Bab 10 : RUJUK

a. Ruju‘ dari segi bahasa bererti kembali.

b. Manakala dari segi syara‘ pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu ‘iddah yang bukan talaq ba’in.

c. Ruju‘ adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu ‘iddah isteri.

DALIL HARUS RUJU‘

1. Firman Allah subhanahu wata‘ala: Maksudnya: “Dan suami-suami, mereka lebih berhak untuk mengambil kembali (ruju‘) akan isteri-isteri di dalam masa ‘iddah itu jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian.” (Surah Al-Baqarah, 2:228)

2. Allah subhanahu wata‘ala juga berfirman: Maksudnya: “Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddah, ruju‘lah mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik).” (Surah At-Talaq, 65:2)

3. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda kepada ‘Umar ketika dikhabarkan bahawa anaknya (‘Abdullah) telah menceraikan isterinya ketika haidh maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:

"Suruh anakmu supaya dia rujuk kepada isterinya.” (Maksud Al-Hadith)


RUKUN RUJU‘

Ruju‘ mempunyai tiga rukun iaitu:

1. Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).

2. Murtaji‘ iaitu suami yang mempunyai syarat-syarat tertentu.

3. Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.


SYARAT-SYARAT RUJU‘

1. Suami:

a) Hendaklah seorang yang berakal.

b) Baligh.

c) Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada sesiapa.

d) Tidak murtad.

2. Isteri:

a) Hendaklah yang sudah dicampuri.

b) Mestilah yang diceraikan dengan talaq raj‘iyy. Bukan dengan perceraian secara fasakh, khul‘ dan juga talaq tiga.

c) Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.

3. Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah ruju‘ dalam masa yang tertentu sahaja.

4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Ruju‘ disyari‘atkan adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talaq raj‘iyy meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam ‘iddah. Tetapi perlu diingat bahawa ruju‘ hendaklah dengan tujuan untuk berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.


PROSEDUR RUJU‘

1. Jika selepas perceraian yang boleh diruju‘kan (dalam ‘iddah raj‘iyy) dan ruju‘ telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju‘kan tersebut kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkenaan dalam tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh peruju‘kan berlaku serta menerangkan butir-butir yang berkaitan dengannya dalam borang yang ditetapkan.

2. Bagi pihak-pihak yang ingin memohon ruju‘ atas persetujuan bersama semasa di dalam ‘iddah raj‘iyy, pemohon hendaklah hadir di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah bersama isteri dan dua orang saksi lelaki.

3. Setiap ruju‘ yang hendak dibuat di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah memastikan pemohon mengemukakan sijil cerai asal atau keputusan bercerai daripada Mahkamah Syari‘ah berkaitan sebelum ruju‘ dijalankan.

4. Apabila Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berpuashati bahawa ruju‘ tersebut berlaku secara sah dari segi hukum syara‘, baharulah pendaftaran atau permohonan ruju‘ diterima setelah pemohon menyertakan bersama-sama borang permohonan, salinan resit pendaftaran kes perceraiannya di Mahkamah atau Sijil Cerai yang asal.

5. Pendaftaran atau permohonan ruju‘ hendaklah dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah.

6. Setiap ruju‘ yang telah didaftarkan, Sijil Cerai asal tersebut akan diambil oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan dan dihantar kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah yang mengeluarkan untuk dibatalkan dan direkodkan di dalam Buku Daftar Cerai Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berkaitan.

7. Pemohon yang telah didaftarkan ruju‘ mereka akan diserahkan kepada mereka Surat Keterangan Ruju‘ (Borang 2D) dan direkodkan di dalam Buku Daftar Serahan Keterangan Ruju‘.

8. Butir-butir peruju‘kan tersebut hendaklah dicatitkan dan disimpan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah dalam Buku Daftar Ruju‘ (Borang 2E).

No comments:

Post a Comment