Tuesday, April 26, 2011

BAB MUNAKAHAT( BHG KEEMPAT)

Bab 7: Mereka Yang Enggan Berkahwin

Kahwin adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang tidak mahu berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka telah mensia-siakan hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk hambanya-Nya menikmati segala pengurniaan-Nya.

Islam adalah melarang ummahnya hidup membujang - tanpa berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari menikmati kesedapan berkelamin dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan diri dari menikmati kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.

Dalam Islam berkahwin adalah merupakan suatu perkara yang digalakkan, kerana dengan perkahwinan itu akan berkembang biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga dan bergembira dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas :

"Berkahwinlah kamu Maka sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira dengan sebab banyak ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang Nasrani bertapa - hidup membujang".

Mereka yang enggan berkahwin, Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. menanyakan tentang 'ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka merasa bahawa 'ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w. adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat "kurang."

Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma'shum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. "Maka salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:

Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang enggan berkahwin (hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya zahir dan batin, maka bermakna mereka telah mengharamkan sesuatu perkara yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu adalah juga orang yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah s.a.w bernama 'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al- Ma'iddah:87)

Sehubungan dengan ini, diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas:

Seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya, katanya: " Bolehkah aku berkasi?" Baginda menjawab dengan sabdanya:

Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi. (Riwayat Tabrani)

Dalam masalah ini, Sa'ad bin Waqqas berkata:

Rasulullah s.a.w. telah melarang sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un membujang (tanpa berkahwin), tentulah kita "harus" berkasi. (Riwayat Bukhari)


Bab 8: Kewajipan Ibu Bapa Terhadap Anaknya

Kedua orang tua itu mempunyai kewajipan mendidik dan mengajar anaknya berbuat baik dalam pergaulan serta adab sopan dalam hidup berumahtangga dengan suaminya. Mengenai ini ada diriwayatkan bahawa Asma' binti Kharijah Fazari berkata kepada anaknya sewaktu perkahwinan anaknya dengan berkata:

" Hai anakku, kini engkau telah keluar dari sarang tempat engkau dilahirkan sehingga menjadi besar. Kini engkau mesti beralih ke suatu tempat dan rumah yang belum kau kenal dan engkau mesti berkawan dengan seoarang yang belum di kenali. Itulah suamimu, jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi langit untukmu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia akan menjadi tiang untukmu. Jadikanlah dirimu pengasuhnya, nescaya ia akan menjadi hambamu. Janganlah engkau menghimpunkan untuknya berbagai kesukaran, sebab itu akan membuatkan ia meninggalkanmu. Janganlah engkau terlampau jauh daripadanya, nanti ia akan melupakanmu. Tetapi kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan sekiranya ia menjauhimu, jauhilah ia dengan baik, peliharalah suamimu, hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah suamimu itu mencium sesuatu dari dirimu melainkan yang harum, jangan pula ia mendengar melainkan yang enak, jangan pula ia melihat melainkan yang indah dari diri mu.

Kata-kata yang merupakan kumpulan adab sopan wanita perlu dipanjangkan, iaitu isteri hendaklah merupakan tiang utama di tengah - tengah rumahnya. Isteri itu hendaklah sentiasa di bilik rumahnya, menetap ditempat perkakas anyamannya, tidak banyak turun naiknya ataupun keluar. Ia mesti kurang berbicara terhadap tetangganya. Janganlah memasuki rumah tetangganya itu melainkan didalam keadaan yang mengharuskan ia masuk di situ.

Isteri hendaklah menjaga suaminya, baik sewaktu ia pergi ataupun ketika ia ada di rumah. Hendaklah diusahakan agar suaminya gembira dalam segala perkara yang dihadapinya. Jangan sekali-kali isteri mengkhianati dirinya sendiri ataupun harta suaminya. Jangan pula isteri itu keluar dari rumahnya melainkan dengan izin suaminya. Jika telah menerima keizinan dan terpaksa keluar, maka hendaklah isteri itu berjalan bersembunyi-sembunyi, berpakaian yang sederhana, tidak mendedahkan tubuh dan pakaiannya. Hendaklah selalu di cari tempat-tempat yang lengang bukannya tempat lalulintas orang ramai sehingga berdesak-desakkan. Ia mesti menghindarkan diri dari bercakap-cakap dijalanan dengan lelaki bukan mahram.

Yang wajib diutamakan oleh isteri itu ialah kebaikan keadaannya sendiri serta mengatur dan mentertibkan keadaan rumahtangganya. Selain itu mestilah rajin melakukan ibadat, sembahyang serta puasa dan lain-lain yang menjadi kewajipan dirinya.

Apabila ada kawan suaminya meminta izin dan sedang berada di hadapan pintu, tetapi di masa itu suaminya tiada, maka tidak perlulah ia bertanya ataupun bercakap - cakap dengannya. Hendaklah ia cemburu pada dirinya sendiri dan juga perasaan cemburu terhadap suaminya. Seorang isteri hendaklah puas dengan apa yang ada pada suaminya dan apa sahaja yang direzekikan oleh Allah Taala kepadanya.

Ia mestilah mendahulukan hak suaminya atas haknya sendiri serta hak keluarganya. Ia wajib membersihkan dirinya selalu, bersiap sedia setiap waktu dan keadaan, barangkali suaminya itu dengan tiba-tiba menginginkandirinya untuk bersenang-senang. Selain itu isteri juga wajib mengasihi anak-anaknya, menjaga dan menutup keburukan mereka, jangan mudah mengeluarkan kata-kata makian kepada anak-anaknya ataupun berbuat sesuatu yang menyakitkan suaminya. Demikian nasihat seorang ibu yang budiman kepada anaknya. Sementara itu ada pula beberapa perkara yang merupakan adab sopan seorang isteri, jikalau ia menginginkan ketenangan dalam rumahtangganya iaitu:

a. Janganlah isteri itu membangga-banggakan dirinya terhadap suaminya kerana kecantikan yang dimilikinya.

b. Jangan menghina suaminya kerana buruk rupa dan wajahnya.

c. Sentiasa menjaga kedamaian, ketenangan dalam segala hal.

d. Menahan diri sewaktu suaminya tidak ada di rumah.

e. Menunjukkan sikap baik, bermain-main dan berlapang dada serta melakukan segala hal yang menyebabkan kesenangan suami sewaktu suaminya ada di rumah.

Ada suatu kewajipan yang harus dipatuhi oleh isteri dan ianya termasuk dalam hak-hak perkahwinan, iaitu:

a. Jikalau isteri itu ditinggalkan mati oleh suaminya, maka hendaklah isteri itu menjaga dirinya dan berkabung tidak lebih dari empat bulan sepuluh hari. Dalam waktu itu dia dilarang mengenakan harum-haruman dan berhias.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menunjukkan perkabungan kerana meninggalnya seseorang lebih dan tiga hari lamanya, melainkan untuk suaminya, maka bolehlah sampai selama empat bulan sepuluh hari" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

b. Isteri itu menetap di rumah yang disediakan sewaktu ia masih menjadi isteri dan suaminya yang meninggal itu sehingga habis masa iddah.

c. Isteri itu tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya atau keluar dari rumah itu, melainkan dalam keadaan darurat. Masih ada lagi adab sopan sebagai seorang isteri iaitu hendaklah isteri itu bekerja dan berkhidmat pada rumahtangga dalam segala perkara yang mampu ia lakukan, hal yang sedemikian inilah yang dilakukan oleh para isteri sahabat r.a.

Monday, April 18, 2011

BAB MUNAKAHAT (BHG KETIGA)

BAB 5: PENGERTIAN MASKAHWIN

1. PENGERTIAN (MAHAR)

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka". (An-Nisaa' - Ayat 4)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi" (Riwayat Bukhari)

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah". (Riwayat Abu Daud)

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya". ( Riwayat Ahmad )

2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49)



BAB 6: WALIMAH AL-URUS

1. PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS

* Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
* Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.

2. PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS

* Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
* Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya: “’Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah S.A.W. bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.” (Al-Hadith)


3. TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS

* Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.

* Sabda Rasulullah S.A.W : “Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)


* Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.

* Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:

1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.
2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah S.W.T.
4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan yang tidak sopan.

4. HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing".

5. HUKUM MENGHADIRINYA

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.

ii) Di dalam majlis tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.

iii) Di dalam majlis itu, tidak ada perkara yang mungkar seperti arak, judi dan joget.

iv) Tidak bercampur gaul di dalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.

v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.

vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.

vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.

viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.

ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam.

Sunday, April 17, 2011

BAB MUNAKAHAT( BHG KEDUA)

Bab 3 : Khiar Dalam Perkahwinan

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.

2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.

3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.
b) Jazam. ( penyakit kusta )
c) Barash. ( penyakit sopak )
d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.
e) 'Unnah ( mati pucuk )


4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a) Gila.
b) Jazam. (penyakit kusta)
c) Barash (penyakit sopak)
d) Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)
e) Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)

5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.

6. 'Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.


Bab 4: Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:
a. Haram buat selamanya.
b. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:
a. Haram dengan sebab keturunan.
b. Haram dengan sebab susuan.
c. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )

3. Haram dengan sebab keturunan:
a. Ibu dan nenek hingga ke atas.
b. Anak dan cucu hingga kebawah.
c. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
d. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
e. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
f. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
g. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

4. Haram dengan sebab susuan :
a. Ibu yang menyusukan.
b. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.


5. Syarat-syarat haram dengan sebab susuan :

a. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh.
b. Anak yang disusukan itu berusia 2 tahun. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun". ( Riwayat DaruQutni )

c. Bilangan menyusu sampai 5 kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja". ( Riwayat Muslim )


d. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun".

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.


6. Haram yang disebabkan persemendaan ( Musyaharah ) :

a. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.
b. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
c. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
d. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati ". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 23 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

" Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri ) ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )


7. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya :

a. Saudara perempuan sebelah isteri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: " Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu ". ( Surah An- Nisaa' - Ayat 23 )
b. Anak saudara isteri sebelah bapa.
c. Anak saudara isteri sebelah bapa.
d. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.
e. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapa dan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar ". ( Riwayat At -Tirmidzi )

Rujukan : Kitab Mathla'al Badrain - Muhammad bin Ismail Daud bin Al-Fathani.

Friday, April 15, 2011

BAB MUNAKAHAT (BHG PERTAMA)

Bab 1 : Pernikahan

1. Takrif Nikah :

i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

* Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

* Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )

* Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.

4. Hukum berkahwin itu ada empat :

a. Wajib - Orang yang cukup belanja dan tidak dapat menahan nafsunya.
b. Sunat - Orang yang cukup belanja dan ingin berkahwin.
c. Makruh - Orang yang cukup belanja tetapi tiada keinginan berkahwin.
d. Haram - Orang yang yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab.

5. Rukun-rukun nikah :

a. Lelaki yang bakal menjadi suami.
b. Perempuan yang bakal menjadi isteri.
c. Wali yang adil
d. Dua orang saksi yang adil
e. Ijab dan Qabul (Tawaran dan Penerimaan)

6. Syarat-syarat lelaki bakal suami :

a. Beragama Islam
b. Tidak berihram haji atau umrah
c. Lelaki tertentu
d. Belum mempunyai empat isteri
e. Dengan kerelaan diri sendiri bukan paksaan
f. Seorang lelaki (bukan khunsa musykil)

7. Syarat-syarat perempuan bakal isteri :

a. Beragama Islam.
b. Perempuan yang tertentu.
c. Bukan Mahram kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya
d. Bukan isteri orang dan tidak di dalam eddah orang lain.
e. Tidak berihram haji atau umrah.

8. Syarat-syarat wali :

a. Beragama Islam.
b. Seorang lelaki.
c. Baligh.
d. Dengan kerelaan sendiri bukan paksaan.
e. Tidak berihram haji atau umrah.
f. Orang yang adil ( tidak fasiq ).
g. Seorang yang sempurna akalnya.

9. Syarat-syarat saksi :

a. Bilangannya tidak kurang daripada dua orang.
b. Beragama Islam.
c. Berakal
d. Baligh
e. Lelaki.
f. Sejahtera pancaindera (boleh melihat, mendengar, bertutur).
g. Memahami isi-isi kandungan lafaz ijab dan qabul.
h. Orang yang adil (tidak fasiq)

10. Sighah Ijab:

a. Sighah ijab hendaklah digunakan lafaz nikah atau dengan terjemahan daripada dua lafaz itu dalam apa jua bahasa.

b. Lafaz ijab boleh dibuat oleh wali itu sendiri atau wakilnya.

Contohnya : "Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Fatimah bte Abdullah / berwakilkan wali bapanya kepadaku dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai ".

Sighah Qabul : Iaitu upacara penerimaan daripada lelaki sendiri ataupun wakilnya setelah selesai sighah ijab dengan tidak diselangi oleh apa-apa perkataan asing atau masa yang panjang.

Contoh : "Aku terima nikah Fatimah bt Abdullah dengan maskahwinnya RM40.00 tunai".

11. Tanggungjawab suami kepada isteri :

a. Pemberian maskahwin.
b. Pemberian nafkah.
c. Berkelakuan baik.
d. Memberi bimbingan.
e. Menjaga kehormatan isteri.
f. Memberi layanan zahir dan batin.
g. Melakukan keadilan sekiranya berpoligami.

12. Tanggungjawab isteri kepada suami :

a. Wajib taat kepada suaminya.
b. Wajib tinggal di rumah yang dietapkan oleh suaminya.
c. Wajib menjaga kehormatan dirinya.
d. Wajib menjaga rumahtangganya.
e. Tidak menolak panggilan suami jika dipanggil ke tempat tidur.

13. Tanggungjawab bersama suami dan isteri :

a. Halal pergaulan sebagai suami-isteri.
b. Suci benih keturunan.
c. Wujud hak pusaka-mempusakai di antara keduanya.
d. Sah taraf anak (keturunan) kepada suami.
e. Kewajipan keduanya berlaku dalam pergaulan.
f. Bermesyuarat dan berbincang di dalam hal ehwal rumahtangga.
g. Berlaku adil di dalam segala bentuk kehidupan.


Bab 2: Kufu Dalam Pernikahan

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

* Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
* Merdeka bukan hamba .
* Keturunan.
* Pekerjaan.
* 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )

Sumber Rujukan :
1. Fiqh Imam As-Syafie - Hj. Idris bin Ahmad.
2. Ringkasan Munakahat - Ibnu Rahmat.

Thursday, April 14, 2011

AZAN SEBAGAI LAMBANG SYIAR ISLAM

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.

Azan dari segi bahasa ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Ini dapat dilihat di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Pemberitahuan daripada Allah dan RasulNya kepada sekalian manusia.”
(Surah at-Taubah: 3)

Begitu juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji…”
(Surah al-Haj: 27)

Dari segi syara` pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardhu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Azan disunatkan ketika hendak mendirikan sembahyang sama ada sembahyang tunai atau qadha’. Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat diperolehi apabila seseorang itu melakukannya.

Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat di dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...”
(Surah al-Ma’idah: 58)

Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud:

“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Hal ini telah terkandung di dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar r.a. Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah. Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan.

Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat. Apabila bendera telah berkibar, orang yang melihatnya hendaklah memberitahunya kepada orang ramai. Ada juga yang mencadangkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi. Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasrani. Terdapat juga usul supaya dinyalakan api di atas bukit. Orang yang melihat api tersebut hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.

Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Nabi s.a.w. Kemudian, Umar bin al-Khattab mencadangkan agar diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul beliau ini telah diterima oleh Nabi s.a.w. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.

Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi tentang seorang lelaki yang datang kepadanya dengan membawa loceng. Abdullah memohon agar loceng itu dijual kepadanya. Pembawa loceng bertanya: “Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?”. Abdullah menjawab: “Kami akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat kepada orang ramai”. Apabila mendengar jawapan tersebut, pembawa loceng itu berkata: “Mahukah tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?”. Abdullah menjawab: “Itu baik sekali”. Lalu pembawa loceng itu berkata: “Kumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Nabi s.a.w. bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang kepada Nabi s.a.w. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti yang dialami oleh Abdullah bin Zaid.

Di sini jelas menunjukkan bahawa lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan lafaz-lafaz azan yang didengar oleh Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab dalam mimpi masing-masing. Namun begitu, mimpi-mimpi tersebut bukanlah menjadi dasar pensyariatan azan kerana secara kebetulan lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan mimpi kedua-dua orang sahabat tadi. Sandaran azan bukan sahaja melalui mimpi bahkan ia diperkuatkan lagi dengan penerimaan wahyu. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa:

“Nabi s.a.w. pada malam isra’ telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.


Menurut pendapat jumhur ulama’, terdapat beberapa adab dan tertib dalam melaksanakan azan. Antaranya ialah:

1. mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya.

2. mu’azzin harus suci daripada hadath kecil, hadath besar dan najis.

3. mu’azzin hendaklah menghadap qiblat ketika mengumandangkan azan.

4. ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

5. mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya.

6. suara mu’azzin hendaklah nyaring.

7. mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan.

8. orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

9. setelah selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa: “Allahumma rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati Muhammadan al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah” yang bermaksud “wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya” (Riwayat Bukhari).

Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa kelebihan dan mendapat pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu.”
(Riwayat Muttafaq `Alayh)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.”
(Riwayat Bukhari)

Dalam sebuah hadith yang lain ada disebut:

“Tukang azan adalah orang yang paling panjang leher di Hari Akhirat.”
(Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)

Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’ Syafi`i dan Hanbali, azan beserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi Imam. Ini disebabkan Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada Allah dan beramal salih.”
(Surah Fussilat: 33)

`A’isyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah tukang azan”. Di dalam hadith lain ada juga menyebut:

“Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah tukang azan”.
(Riwayat Syafi`i, Ahmad, Abu Dawud,Tirmizi,
An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Amanah lebih tinggi daripada daman dan keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak masa. Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi imam adalah lebih baik daripada azan kerana Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifahnya menjalankan tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.


SUMBER RUJUKAN:

• Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.

• Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.

• Ensiklopedia Islam, Jilid 1, Cetakan Pertama 2004, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Susunan Drs. H.A. Hafizah Dasuki dll.

• Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar, Jilid 1, Cetakan Pertama 2003, Terbitan Era Visi Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, Susunan Shafie Abdul Rahman dll.

• Fiqh & Perundangan Islam, Jilid 1, Cetakan Ketiga 1997, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain dll.

Saturday, April 9, 2011

BAB MUAMALAT (BHG AKHIR)

Bab 5 : Jenis-jenis Harta

HARTA YANG BERHARGA (MUTAQAWWIM) DAN HARTA YANG TIDAK BERHARGA (GHAYR MUTAQAWWIM)

* Harta yang berharga/bernilai ialah setiap harta yang disimpan oleh seseorang dan syara` mengharuskan penggunaannya. Contohnya seperti semua jenis harta tidak alih dan harta-harta alih juga makanan-makanan atau seumpamanya.

* Harta yang tidak berharga/bernilai ialah harta yang tidak di dalam simpanan atau dimiliki orang seperti ikan di dalam sungai, burung di udara juga galian yang berada di dalam perut bumi atau harta yang tidak harus digunakannya pada syara` seperti arak, babi, kedua-dua ini tidak harus bagi orang Islam menggunakannya kecuali ketika darurat sahaja seperti bersangatan dahaga atau bersangatan lapar yang boleh membawa mati kalau tidak menggunakannya.

Tujuan pembahagian harta kepada harta yang berharga dan tidak berharga:

1. Harta yang berharga sah untuk semua urusan berakad dengannya seperti berjual beli, hibah, meminjam, gadaian, wasiat dan bersyarikat.

2. Harta yang tidak berharga tidak sah berakad dalam semua urusan seperti tidak sah menjual arak dan babi.

3. Wajib membayar ganti rugi oleh orang yang merosakkan harta yang berharga sama ada ganti rugi barang yang serupa sekiranya ada atau membayar nilai harganya.

4. Harta yang tidak berharga tidak wajib membayar ganti rugi orang yang merosakkannya.


HARTA TIDAK ALIH (`IQAR) DAN HARTA ALIH (MANQUL)

* Harta tidak alih ialah harta yang tidak boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti bangunan dan bumi.

* Harta alih ialah harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempatnya sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan dipindahkan atau berubah bentuknya seperti wang ringgit, barangan perniagaan, haiwan dan lain-lain.

* Terkadang harta alih bertukar menjadi tidak alih dan sebaliknya.

Contohnya pintu rumah, tingkap atau jendela akan menjadi tidak alih bila dipasang di bangunan yang tetap buat selamanya, sebaliknya runtuhan rumah atau bangunan, galian yang dikeluarkan dari perut bumi, batu dan tanah akan bertukar menjadi harta alih bila sahaja bercerai dari bumi.

Faedah pembahagian harta kepada harta alih dan harta tidak alih adalah mengikut perbezaan hukum-hukum fiqh seperti berikut:

1. Hukum as-syuf`ah adalah sabit pada harta tidak alih sahaja dan tidak sabit pada harta alih.

2. Hukum jual janji adalah khusus bagi harta tidak alih sahaja. Erti jual janji ialah seseorang yang perlu pada wang maka dia jual harta tidak alih dengan syarat bila ia dapat wang maka akan diambil balik harta tidak alih yang telah dijual itu dengan membelinya semula dari orang yang membelinya ketika ia terdesak.

3. Pemegang amanah harta anak yatim tidak boleh menjual harta tidak alih yang dimiliki oleh anak-anak yatim melainkan dengan alasan yang dibenarkan oleh syara` seperti membayar hutang atau sangat-sangat perlu kepada perbelanjaan untuk anak yatim tetapi mesti mendapat kebenaran dari hakim atau qadhi. Adapun harta alih, maka pemegang amanah harta anak yatim boleh menjualnya bila ada sebarang maslahah pada jualan tersebut.

4. Segala hak yang berkaitan dengan jiran tetangga adalah bersangkut paut dengan harta tidak alih sahaja.

HARTA MITHLIY DAN HARTA QIMIY

* Harta mithliy ialah harta yang ada sebanding atau serupa dengannya tanpa terdapat berlebih kurang dalam semua juzu`nya.

* Harta mithliy boleh dibahagikan kepada empat jenis:

1. Harta yang boleh disukat seperti gandum, beras dan sya`ir dan lain-lain.

2. Harta yang boleh ditimbang seperti kapas, besi dan lain-lain.

3. Harta yang boleh dibilang kerana ukurannya hamper sama seperti telur, kelapa dan lain-lain.

4. Harta yang boleh diukur dengan menggunakan meter atau ela seperti kain yang sama jenis, kayu yang sama potongan dan jenisnya. "

Harta qimiy ialah harta yang tidak terdapat lagi di mana-mana yang serupa dengannya atau yang sebanding antara satu sama lain di pasar-pasar atau di kedai-kedai; atau ada bagi harta itu yang serupa dengannya akan tetapi harganya berbeza antara satu dengan yang lain seperti beberapa ekor binatang atau beberapa lot tanah, pokok-pokok, rumah, batu-batu permata, buku-buku yang ditulis tangan atau buku-buku yang telah digunakan, maka termasuk juga dalam kumpulan harta qimiy seperti buah-buahan yang ukurannya berbeza antara satu dengan yang lain. "

Harta qimiy akan menjadi harta mithliy dan sebaliknya boleh terjadi dalam empat keadaan berikut:

1. Dengan sebab habis dalam pasaran, bila habis harta mithliy di pasaran, maka bertukarlah harta mithliy kepada harta qimiy.

2. Bila bercampur aduk antara harta mithliy dengan harta mithliy dan jenis keduanya berbeza, maka dengan sebab bercampur aduk kedua jenis harta mithliy itu maka bertukarlah keadaannya daripada harta mithliy kepada harta qimiy seperti bercampur antara beras dengan gandum dan sebagainya.

3. Sekiranya harta mithliy terdedah kepada kebakaran atau tenggelam di dalam lautan, maka jadilah harta mithliy tersebut bertukar menjadi harta qimiy.

4. Sekiranya harta mithliy telah berlaku kecacatan ataupun telah digunakan, maka jadilah ia harta qimiy yang khusus. Harta qimiy bertukar kepada harta mithliy apabila berlaku banyaknya harta qimiy sesudah ianya jarang diperolehi orang.

Sekiranya sesuatu harta itu jarang dapat dibeli di pasaran, kemudian harta itu sudah menjadi banyak, maka harta qimiy bertukar menjadi harta mithliy sesudah dinilai dengan harga yang khusus.

Harta yang bernilai atau yang telah dinilai orang terhadapnya adalah lebih umum daripada harta qimiy. Harta yang telah dinilai mencakupi harta qimiy dan harta mithliy.

Faedah pembahagian harta kepada harta mithliy dan harta qimiy adalah seperti berikut:

1. Harta mithliy adalah sabit di dalam zimmah sebagai hutang iaitu dengan dijadikan harta mithliy itu sebagai nilai kepada pembelian menerusi penentuan jenisnya dan sifatnya. Harta qimiy tidak boleh diterima sabit sebagai hutang di dalam zimmah dan tidak sah dijadikan nilai. Contohnya, kalaulah bergantung hak seseorang dengan harta qimiy seperti seekor kambing atau lembu, maka wajiblah bergantung hak seseorang itu kambing atau lembu yang telaqh ditentukan. Ini kerana harta qimiy walaupun dari satu jenis, ianya tidak bersamaan antara satu dengan yang lain kerana bagi tiap-tiap suatu itu ada sifat dan nilai yang berbeza.

2. Cara membuat gantian terhadap orang yang dicerobohi atau yang membinasakannya. Jika seseorang merosakkan harta mithliy kepunyaan orang lain seperti sekarung gandum atau gula, maka wajib ia mengganti benda yang serupa dengannya supaya gantian itu bertepatan. Adapun harta qimiy, maka orang yang merosakkannya hendaklah ia mengganti kadar harganya sahaja.

HARTA ISTIHLAKIY DAN HARTA ISTI`MALIY

* Harta istihlakiy ialah harta pakai habis, iaitu harta yang tidak boleh digunakan manfaatnya melainkan dengan menghabiskan zatnya seperti makanan, minuman, kayu api, petrol dan lain-lain.

* Harta isti`maliy ialah harta pakai dan guna berterusan, iaitu harta yang boleh diambil manfaat dengannya serta kekal zatnya seperti harta tetap, hamparan, pakaian, buku dan lain-lain. "

Faedah pembahagian harta kepada harta istihlakiy dan harta isti`maliy ialah:

1. Harta istihlakiy boleh diterima bagi tujuan berakad untuk menghabiskan zatnya seperti hutang wang dan makanan.

2. Harta isti`maliy boleh diterima untuk berakad dengannya dengan matlamat untuk menggunakannya seperti sewa-menyewa dan pinjam-meminjam.

Friday, April 8, 2011

BAB MUAMALAT (BHG KEEMPAT)

Bab 4 : Riba

1. Maksud Riba’.

- Pada bahasa ialah bertambah atau subur.
- Pada Syarak ialah aqad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika aqad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya.


2. Riba’ terbahagi kepada tiga bahagian :-

a) Riba’ Al-Fadhl – riba yang dibayar lebih pada satu pihak yang menukarkan barang.
Contohnya : Satu kilo beras mahsuri ditukar dengan satu kilo beras yang lain ( berlainan kualiti dan jenis ).

b) Riba’ Al-Yad - riba’ yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis aqad jualbeli.
Contohnya : Seseorang yang beraqad sebanyak RM 100.00 tetapi apabila diluar aqad dibayar RM 105.00.

c) Riba’ Al-Nasi’ah – riba’ yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya.
Contohnya : Pinjaman sebanyak RM 100.00 maka dibayar balik RM 120.00


3. Dalil-dalil pengharaman riba’

- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’. ”
( Surah Al – Baqarah – Ayat 275 )


- Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu makan riba’ yang berganda-ganda dan takutlah kamu kepada Allah s.w.t mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.”
(Surah Ali Imran – Ayat 130)


- Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :
“Allah s.w.t telah melaknatkan orang yang makan riba’ orang yang berwakil padanya dan jurutulisnya dan saksi-saksinya dan mereka berkata mereka itu sama sahaja. “
(Riwayat Muslim)



4. Hikmah diharamkan riba’

- Riba adalah merupakan satu penindasan dan pemerasan terhadap orang-orang miskin kerana yang miskin bertambah miskin, fikirannya bertambah bimbang kerana memikirkan tentang bagaimana hendak membayar hutangnya yang sentiasa bertambah bunganya bila lambat dibayar.

- Pihak yang memakan riba’ akan bertambah kaya dan senang.

- Riba’ akan mendorong pemakannya hidup senang-lenang tanpa bekerja dan berusaha sedangkan Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha dan bekerja.

- Riba boleh merenggangkan dan merosakkan perhubungan di antara orang kaya pemakan riba’ dengan orang miskin seterusnya akan menimbulkan kekacauan di dalam masyarakat dan negara timbullah di sana-sini rompakan, pembunuhan dan sebagainya.


5. Syarat-syarat penjualan barang-barang untuk mengelakkan riba’ :-

- Barang yang sama jenis:-

a) Hendaklah sama sukatan atau timbangan keduanya.
b) Hendaklah sama dengan tunai.
c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.

- Barang yang tidak sama jenis:-

a) hendaklah dengan tunai.
b) hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad.


6. Jika barang pertukaran itu berlainan jenis seperti beras dan wang dan sebagainya tidak dikenakan apa-apa syarat dan boleh dijualbeli sebagaimana dalam persetujuan antara kedua pihak.


( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badrain – Syeikh Daud Fattani )

Sunday, April 3, 2011

BAB MUAMALAT (BHG KETIGA)

Bab 3: Jual Beli

Bab Jualbeli :-

1. Jualbeli dari istilah bahasa ialah menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Dari istilah syarak ialah menukar harta dengan harta mengikut cara-cara yang tertentu.

2. Dalil-dalil harus dan halal jualbeli:

a) Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
"Dan Allah s.w.t telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba." (Al-Baqarah 275)

b) Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
"Janganlah kamu makan harta yang ada di antara kamu dengan jalan batil melainkan dengan jalan jualbeli secara redha daripada engkau." (An-Nisaa' 29)

c) Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :-
"Sesungguhnya jualbeli itu adalah lahir dari redha-meredhai." (Riwayat Ibnu Hibban)


3. Hikmah diharuskan jualbeli :-

a. Allah s.w.t telah menjadikan sifat semulajadi manusia yang memerlukan pertukaran faedah harta di antara sesama manusia samada menerusi jualbeli, sewa-menyewa dan sebagainya.

b. Dengan adanya peraturan jualbeli ini maja akan terhindarlah kejadian rampas-merampas atau rompakan yang mana manusia ingin memiliki harta benda yang tiada padanya.

c. Berjualbeli adalah mengajar manusia supaya hidup bersatupadu dan hidup mengikut lunas undang-undang.


4. Rukun jualbeli terbahagi kepada enam :-

a. Penjual
b. Pembeli
c. Harga yang dibeli
d. Barang yang dijual
e. Sighah (lafaz penjual)
f. Qabul (lafaz pembeli)

5. Syarat-syarat penjual dan pembeli :-

a. Baliqh dan berakal
b. Tidak bankrap atau bodoh
c. Tidak dipaksa
d. Beragama Islam
e. Merdeka
f. Bukan berurusan dengan Musuh Islam.

6. Syarat-syarat harga dan barang yang dijual:-

a. Barang-barang itu mestilah suci dan bersih.
b. barang itu kepunyaan penjual itu sendiri ayau wakil penjual
c. Menyerahkan barang kepada pembeli ketika melakukan akad jualbeli.

Sebagaimana sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :-
"Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullah s.a.w telah melarang dari menjual jualan secara tipu daya."

d. Penjual dan pembeli mesti tahu tentang jenis, kadar dan sifat barang yang dijual.


7. Syarat-syarat Ijab (lafaz Penjual) dan Qabul (lafaz Pembeli)

a. Tidak diselangi oleh perkataan yang lain ketika akad jualbeli.
b. Tidak diselangi oleh diam yang lama di antar ijab dan Qabul
c. Bersamaan Ijab dan Qabul dari segi maknanya walaupun berlainan dari segi lafaznya.
d. Tidak boleh dihadkan waktunya.
e. Tidak boleh bertakliq.

8. Apabila tidak cukup rukun dan syaratnya maka jualbeli tersebut adalah tidak sah.

9. Syarat membeli kitab suci Al-Quran dan kitab Al-Hadith itu hendaklah ia beragama Islam.

10. Beberapa persoalan yang melibatkan jualbeli :-

a. Tidak sah menjual binatang buas.
b. Tidak sah menjual sesuatu yang najis yang tidak dapat disucikan.
c. Tidak sah menjual harta benda yang telah digadaikan kepada orang lain melainkan dengan keizinan daripada orang yang memegang gadaian.

Saturday, April 2, 2011

BAB MUAMALAT (BHG KEDUA)

Bab 2 : Perkara Berhubung Muamalat

MURABAHAH (JUALAN PENAMBAHAN UNTUNG)

Iaitu menyebutkan harga modal barang-barang yang dibeli kepada orang yang akan membeli dengan memberi syarat,supaya barang itu diberi untung.

Contoh 1: Umpamanya seseorang berkata : "Barangku ini aku beli berharga RM100, sekarang berilah aku keuntungan 10%" lalu diterima oleh orang yang akan membeli .

-Maka penjual diatas mendapat untung RM10 dari modal belian beharga RM100.

Contoh 2: Umpamanya seseorang berkata :"Saya jual rumah ini dengan harga yang saya beli dengan tambahan untung 10%".

Contoh 3: Umpamanya seseorang berkata :"Saya jual kepada anda sebagaimana saya beli serta untung satu dirham pada tiap-tiap sepuluh dirham" jawab pembeli itu, saya terima.

-Maka sahlah jualan itu.

Contoh 4: Umpamanya seseorang berkata :"Aku hendak menjual barang-barangku yang telah kubeli, bila engkau mahu membeli barangku itu semua maka tiap-tiap 10 buah, engkau aku beri sebuah. Jadi yang dibeli adalah 9, sedangkan yang satu lagi adalah hadiah."


WADI’AH (SIMPANAN)

Ertinya barang yang diserahkan (diamanatkan) kepada seseorang supaya barang itu dijaga dengna baik. Jadi barang Wadiah itu beerti barang amanat yang harus dikembalikan kepada orang yang empunya,bila ia datang meminta.

Firman Allah s.w.t:
وَإِنْ كُنْتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَقْبُوضَةٌ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya : "Maka hendaklah orang yang diamanahkan itu menyempurnakan apa yang diamanahkan kepadanya,dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah". (Al-Baqarah 283)

Firman Allah s.w.t:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruhmu,supaya amanat itu diserahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang empunya)". (An-nisa' 58)


BAI’USSALAM (PENANGGUHAN PENYERAHAN BARANG)

Perkataan Salam itu asal maknanya serah atau tangguh, maksudnya disini iaitu menjual sesuatu barang yang disifatkan kepada tanggungan seseorang yakni jual secara pesanan atau order(memesan barang).

Contoh 1: Umpamanya Zaid berkata kepada si Ali :"Buatkanlah saya satu seluar dari kain woll yang berwarna kuning muda, ukurannya 105cm panjang, 70cm pinggang, 25.5cm besar kaki, 43cm lebar pinggul, kocek belakang satu dan sebagainya dengan harga RM100.

Firman Allah s.w.t :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلا يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الأخْرَى وَلا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا وَلا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلا تَرْتَابُوا إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلا تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلا شَهِيدٌ وَإِنْ تَفْعَلُوا فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang(yang diberi tempoh) hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. (Al-Baqarah 282)


AL-IJARAH (UPAHAN)

Menurut istilah Bahasa Arab,kalimah Ijarah merujuk kepada bayaran yang diberikan kepada orang yang melakukan sesuatu kerja sebagai ganjaran kepada apa yang dilakukannya.

Contoh 1: Ahmad datang membawa sepotong kain kepada seorang tukang jahit untuk dibuat seluar, tukang jahit itu menjamin dalam pengakuannya, bahawa seluar tersebut akan selesai tempoh 3 hari. Setelah sampai waktunya, si Ahmad datang mengambil seluarnya dan menyerahkan wang sebanyak RM 50 kepada tukang jahit itu.

Firman Allah s.w.t :
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأمِينُ
قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِنْدِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ


Maksudnya: Salah seorang diantara perempuan yang berdua itu berkata:"Wahai ayahku ambillah dia menjadi orang upahan(mengembala kambing kita),sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa)"aku hendak mengahwinkan dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini,dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama 8 tahun,dalam pada itu jika engkau genapkan menjadi 10 tahun,maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu,engkau akan dapati aku insyaallah,dari orang-orang yang baik layanannya". (Al-Qasas 26-27)


AR-RAHNU (PAJAK GADAI)

Menjadikan harta benda sebagai jaminan atas hutang iaitu maksudnya menjadikan sesuatu barang sebagai cagaran bagi sesuatu hutang dan menjadi bayaran sekiranya tidak terdaya membayar hutang itu nanti.

Firman Allah s.w.t :
وَإِنْ كُنْتُمْ عَلَى سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَقْبُوضَةٌ فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya : "Dan jika kamu sedang dalam perjalanan (lalu kamu berhutang) dan tidak kamu peroleh orang yang akan menuliskannya maka boleh diserahkan saja jaminan yang dapat di pegang". (Al-Baqarah 283)

Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya :

"Dari Aisyah r.a bahawa nabi s.a.w pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan cara berjanji dan dirungguhkannya(digadaikannya) sehelai baju besi".
(Riwayat Al-Bukhari&Muslim)


AL-WAKALAH (BERWAKIL)

Ertinya seseorang yang menyerahkan sesuatu urusannya kepada orang lain pada apa yang boleh diwakilkan menurut syarak,agar orang yang diwakilkan itu dapat melakukan sesuatu yang diserahkan kepadanya Selagi yang menyerahkan itu masih hidup.

Al-Wakalah ini lebih berhubung dengan muamalat & munakahat seperti bab jual-beli dan bab perkahwinan dan lain-lain. Tidak sah mewakilkan sembahyang,puasa dan lain-lain hal yang bersangkut-paut dengan ibadah kecuali ibadah haji & umrah(kedua-duanya boleh diwakilkan),sebab ibadah itu adalah perhubungan manusia dengan tuhannya.

Firman Allah s.w.t :
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِنْ أَهْلِهَا إِنْ يُرِيدَا إِصْلاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: "Maka kirimlah(utuslah) seorang hakim dari keluarga yang laki-laki dan seorang hakim dari keluarga perempuan,jika kedua-duan orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan". (An-Nisa' 35)


AL-MUDHARABAH (BERKONGSI UNTUNG)

Pada bahasa ialah musafir untuk berniaga.

Firman Allah s.w.t :
إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَى مِنْ ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ وَطَائِفَةٌ مِنَ الَّذِينَ مَعَكَ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ عَلِمَ أَنْ لَنْ تُحْصُوهُ فَتَابَ عَلَيْكُمْ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَى وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الأرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا وَمَا تُقَدِّمُوا لأنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : "Dan yang lainnya orang-orang yang musafir dibumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah". (Al-Muzammil 20)

Mudharabah juga dikenali dengan nama qiradh iaitu potong,kerana orang yang memiliki harta memotong sebahagian hartanya untuk diniagakan dengan harta itu.

Mudharabah juga dikenali sebagai Mu'amalah yang dimaksudkan disini ialah aqad perjanjian yang dibuat oleh dua pihak :


Pihak pertama:

Memberi sejumlah wang kepada pihak kedua supaya berniaga,dengan syarat keuntungan dibahagikan antara keduanya mengikut persetujuan sebagaimana yang dijanjikan seperti 1/2,1/3 dan seterusnya.

Pihak kedua :

Berusaha atau berniaga dengan modal yang diberikan oleh pihak pertama mengikut segala syarat yang dipersetujui kedua pihak.


AL-QARDH AL-HASAN (HUTANG TANPA SYARAT/JANJI)

Ialah hutang tanpa syarat atau janji untuk membayar balik lebih daripada hutang tetapi memberi saguhati kepada tuan punya hutang semasa membayar,bukan kerana syarat atau janji.

Contoh 1 :

Seorang berhutang daripada seorang lain tanpa syarat atau janji sebarang bayaran lebih atau manfaat, semasa akad atau di luar akad atau sebelum hutang itu di jelaskan tetapi apabila menjelaskan hutangnya orang yang berhutang itu memberi saguhati atau hadiah kepada tuan punya hutang.

Contoh 2 :

Ali membayar hutangnya kepada Abu sebanyak RM50 beserta RM3 berupa saguhati.


AL-BAI BITHAMAN AJIL (JUALAN DENGAN HARGA TANGGUH)

Jualan dengan harga tangguh atau jualan dengan bayaran ansuran ialah menjual sesuatu dengan disegerakan penyerahan barang yang dijual kepada pembeli dan di tangguhkan bayaran harganya sehingga ke satu masa yang di tetapkan atau dengan bayaran beransur-ansur.

Contohnya :

Umpamanya kerusi antik, harga tunai RM2000, jika tangguh RM2200.


Rujukan & Petikan di ambil dari Kitab :

1) Kitab Matla'al Badrain-Syeikh Daud Fattani di susun oleh Ibnu rahmat
2) Fiqh Syafie Jilid 2-Ustaz H.Idris Ahmad S.H
3) Syarah Hadith 40-Khalil Ibrahim Mulla Khotir
4) Terbitan Sasbadi-Ustaz Hamil@Amir Abdul Hameed
5) Fiqh Muamalat &Jenayah/Fiqh 11(PPJJ UKM)
i) Dr.Muhammad Hj Md Daud
ii) Dr.Ahmad Kamaruddin Hj Hamzah
6) Konsep Syariah Dalam Sistem Perbankan Islam
i) BIMB Institute Of Research And Traning Sdn.Bhd(BIRT).

Friday, April 1, 2011

BAB MUAMALAT (BHG PERTAMA)

Bab 1 : Pengertian Muamalat

Muamalat itu adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya.

Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam .

Muamalat yang dimaksudkan ialah dalam bidang ekonomi yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat.

Segala harta yang ada di alam ini samada di muka bumi, dilaut atau di dasar adalah milik Allah s.w.t secara mutlak. Manusia disuruh memiliki harta yang di sediakan oleh Allah s.w.t melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang di anugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah s.w.t dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.

Firman Allah S.W.T :


هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ ذَلُولا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya : Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya) (Surah Al-Mulk Ayat 15)

Mencari harta kekayaan amat di galakkan oleh Islam, kerana harta merupakan alat bagi mencapai kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan harta tersebut seseorang itu dapat memenuhi keperluan hidupnya di samping dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap agama.

Dalam mencari harta kekayaan,umat Islam di kehendaki menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebaikan dan kebajikan untuk faedah bersama. Bagi memastikan kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh manusia dilaksanakan dengan baik dan mencapai keredhaan Allah s.w.t. Islam telah menggariskan beberapa peraturan bagi mencapai matlamat tersebut.


Bab 1.1 : Peraturan-peraturan Muamalat

1. Mencari harta kekayaan dengan cara yang baik dan diredhai oleh Allah s..w.t

2. Mengamalkan akhlak-akhlak yang mulia dalam menjalankan urusan ekonomi dengan pihak yang lain seperti amanah, adil, jujur, tidak menipu dan lain-lain.

3. Menjalankan sesuatu kegiatan ekonomi yang dapat memberi faedah kepada seluruh manusia.

4. Semua kegiatan yang dijalankan hendaklah berteraskan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan syariat Islam. Keimanan kepada Allah merupakan benteng untuk menghalang seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak di ingini.

5. Semua kegiatan yang dijalankan bertujuan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. Kebaikan-kebaikan yang dilakukan semasa menjalankan kegiatan ekonomi secara tidak langsung akan memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan sesama Islam dan yang bukan Islam.


Bab 1.2 : Tujuan Muamalat

1) Iaitu supaya didalam kehidupan manusia tidak akan berlaku sesuatu kecurangan seperti rampas-merampas,ceroboh-menceroboh pada pemilikan serta tipudaya dan sebagainya.

2) Kehendak manusia itu sendiri ialah meletakkan manusia nilai dan taraf yang tinggi sehingga beroleh keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

3) Muamalat juga menentukan peraturan-peraturan berusaha dan bekerja untuk manusia dengan jalan yang halal.

Sabda Rasulullah s.a.w : maksudnya :

Daripada Abdullah bin An – Nukman bin Basyir r.anhuma katanya :" Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang halal itu telah nyata (jelas hukumnya) dan yang haram itu juga telah nyata (jelas hukumnya) dan di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu terdapat perkara-perkara syubhah (yang tidak jelas akan kehalalan dan keharamannya) yang tidak di ketahui oleh ramai manusia, maka barangsiapa yang berjaga-jaga dari perkara-perkara yang syubhah sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dengan agama dan kehormatannya dan barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah maka sesungguhnya ia telah terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram, seumpama pengembala yang mengembala di sekitar padang rumput yang berpagar hampir- hampir binatang gembalaannya masuk dan memakan rumput-rampai yang berpagar ini . Maka ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada padanya kawasan larangan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kawasan larangan Allah adalah perkara - perkara yang telah di haramkannya . Dan ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat satu ketul daging, jika ia baik maka baiklah keseluruhan tubuh dan sekiranya ia rosak maka rosak pulalah keseluruhan jasad, sesungguhnya ia adalah hati." (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)



Bab 1.3 : Peranan Muamalat

Mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Muamalat yang di jalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan, pemerasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya,inilah matlamat muamalat dalam Islam demi kesejahteraan umat manusia.

Muamalat dalam Islam bertujuan menghindarkan berlakunya sebarang penindasan sesama manusia. Islam menegah umatnya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang akan menyusahkan pihak yang di tindas.

Supaya semua kegiatan ekonomi yang dijalankan bersih daripada sebarang perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t,kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang keji seperti riba’, rasuah, menipu atau sebagainya yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya :

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya : Sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang mengumpulkan harta daripada punca haram kemudian dia sedekahkan harta itu,dia tidak akan mendapat pahala,bahkan dosa yang akan menimpanya” (Riwayat Ibnu Khuzaimah,Ibnu Hibban dan Al-Halim)

Bermuafakat secara Islam melahirkan manusia yang berakhlak mulia dalam menjalankan suatu amanat Allah s.w.t. Memudahkan manusia untuk merasai kurniaan Allah s.w.t dengan cara yang betul dan diredhainya. Sekiranya tiada peraturan bermuamalat,manusia akan melakukan apa saja untuk memperoleh harta yang banyak,mereka juga akan mengunakan harta mengikut nafsu tanpa memikirkan kepentingan orang lain.

Mengalakkan manusia supaya rajin bekerja untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga,masyarakat dan negara. Melahirkan masyarakat yang saling bekerjasama, tolong –menolong dan bantu-membantu untuk kebaikan dan kebajikan bersama.

Supaya harta kekayaan yang disediakan oleh Allah s.w.t tidak hanya di monopoli oleh golongan tertentu sahaja. Semua manusia berhak mendapat dan memiliki harta mengikut keupayaan masing-masing asalkan dengan cara yang betul dan diredhai Allah s.w.t


Bab 1.4: Fadhilat Muamalat

1. Memperolehi harta kekayaan dengan cara yang diredhai oleh Allah s.w.t.

2. Seseorang itu dapat menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebajikan.

3. Seseorang yang menggunakan hartanya untuk faedah orang lain akan beroleh pahala daripada Allah s.w.t.

4. Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah akan mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t:

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنْفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُمْ مُسْتَخْلَفِينَ فِيهِ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَأَنْفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

Maksudnya :Berimanlah kamu kepada Allah dan rasulnya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil,maka orang yang beriman antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah) maka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah Al-Hadid Ayat 7 )

5. Peraturan-peraturan dalam bermuamalat mengikut Islam secara tidak langsung melahirkan manusia yang berakhlak mulia .

6. Mewujudkan masyarakat yang adil, bertanggungjawab, amanah, jujur dan terhindar daripada melakukan perbuatan yang tidak baik.

7. Antara kesan-kesan yang timbul sekiranya muamalat yang dijalankan tidak mengikut syariat Islam termasuklah :

a) Membawa kepada pergaduhan dan permusuhan
b) Melahirkan sebuah masyarakat yang tidak aman.
c) Melahirkan individu yang bersikap mementingkan diri sendiri.
d) Mendapat harta dengan cara yang tidak halal.
e) Menggunakan harta pada perkara-perkara yang tidak diredhai oleh Allah dan membazir.
f) Melahirkan manusia yang bersifat tamak, kedekut, haloba dan sanggup menindas orang lain demi kepentingan diri sendiri.


Rujukan & Petikan di ambil dari Kitab :

1) Kitab Matla'al Badrain-Syeikh Daud Fattani di susun oleh Ibnu rahmat
2) Fiqh Syafie Jilid 2-Ustaz H.Idris Ahmad S.H
3) Syarah Hadith 40-Khalil Ibrahim Mulla Khotir
4) Terbitan Sasbadi-Ustaz Hamil@Amir Abdul Hameed
5) Fiqh Muamalat &Jenayah/Fiqh 11(PPJJ UKM)

i) Dr.Muhammad Hj Md Daud
ii) Dr.Ahmad Kamaruddin Hj Hamzah

6) Konsep Syariah Dalam Sistem Perbankan Islam

i) BIMB Institute Of Research And Traning Sdn.Bhd(BIRT).