Tuesday, March 1, 2011

Kenali Iblis dan Syaitan sebagai Pedoman Buat Kita Waspada.....

Huraian dibawah merupakan beberapa siri dari beberapa buku yang ada, dan semoga bermanfaat. Kebenaran hanya datang dari Allah dan kekurangan dan kesalahan adalah kerana kebodohan penulis sendiri. Adapun maksud dan tujuan dari penulisan ini adalah untuk waspada bahawa dalam suatu perilaku kebaikan masih terdapat jerat syaitan lebih-lebih lagi yang nyata-nyata merupakan suatu kemungkaran.

Dalam perjalanan kehidupan manusia untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, sudah menjadi ketetapan Allah bahawa iblis dan keturunannya syaitan bertekad akan dan selalu menjerumuskan manusia agar pencapaian kebahagiaan manusia yang hakiki tersebut gagal.

Ketika seorang hamba baik yang sedang berada dalam kesesatan atau kemungkaran, mahupun yang sedang dalam proses memperbaiki diri (taubat), Iblis dan syaitan tidak akan pernah berputus asa untuk menjerumuskan hamba Allah agar menjadi pengikutnya. Jika gagal dengan cara satu, dia akan gunakan cara dua, jika gagal dia akan gunakan cara tiga dan seterusnya, dan seterusnya....

Penjerumusan seorang hamba oleh syaitan boleh dalam berbagai bentuk dan cara, baik sesuatu yang kelihatan atau pun tidak secara buruk dan baiknya perilaku manusia. Maksudnya, kalau ianya berupa keburukan sudah jelas perilaku syaitan terdapat di dalamnya, misal engkar perintah Allah, pembunuhan, zalim, merugikan orang lain, fitnah, musyrik, mabuk dan lain-lain. Tetapi boleh juga perangkap terdapat pada suatu perilaku yang bermula dari sesuatu yang baik. Misal, seorang ahli ibadah yang sangat rajin beribadah, sehingga teman-teman atau sesiapa sahaja memujinya yang akan membuat dia terjerat kepada sifat ujub apalagi takabbur (walau tidak terasa), maka syaitan telah berhasil menjeratnya. Atau misalnya, ketika manusia sedang solat, padahal manusia itu mampu melaksanakannya dengan diawali wudhu yang sempurna, pelaksanaannya tepat pada waktu, tetapi pada saat melaksanakan solatnya, dia dibuat tergesa-gesa sehingga seperti istilah dari Nabi s.a.w. ”....bagaikan ayam yang sedang mematuk makanan”, maka yang demikian itu bererti, cambuk atau rantai yang memang ”selalu” diikatkan oleh syaitan pada leher manusia yang sedang solat berhasil menarik-narik cambuk tersebut ke atas dan kebawah yang membuat solatnya terkesan seperti ”ayam mematuk makanannya”, sehingga mengakibatkan gerakannya tiada tama'ninah, mensia-siakan solat.

Jadi apapun bentuknya, syaitan akan selalu mendampingi manusia supaya terjerat di dalam perangkapnya. Oleh kerana itu, mari kita semak beberapa hal yang boleh kita jadikan panduan agar kita mengetahui setiap atau beberapa perilaku kita yang didalamnya terdapat jerat syaitan.

Mengamati perilaku iblis dan syaitan

Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan dari api dan bersifat ”ruhaniah” dan dilengkapi akal dan diperintahkan untuk mengabdi kepada Allah seperti halnya manusia. Beberapa penampilan jin dihadapan manusia terdapat dalam 3 bentuk:

a. Menyerupai anjing, kucing, ular, kalajengking dan berbagai serangga tanah
b. Menyerupai angin yang berhembus kencang dan berdesis
c. Menyerupai manusia, iaitu Jin yang memeluk Agama Allah. Ketentuan pahala dan dosa berlaku baginya.

Syaitan merupakan anak keturunan Iblis dan juga jin yang ingkar (kafir).

Iblis merupakan nenek moyang syaitan yang pada awalnya setingkat dengan malaikat

Kelompok Iblis dan syaitan

Al-Quraisy berkata, ”iblis memiliki 5 (keturunan) yang selanjutnya menjadi kelompok pasukan-pasukannya berupa syaitan” lebih lengkapnya sebagai berikut:

1. Tsabr, iaitu syaitan yang bertugas untuk menyesatkan manusia yang sedang ditimpa musibah, seperti kematian, kecelakaan, dan kebakaran. Mereka menangis meraung-raung sambil merobek-robek atau mencarik-carik pakaian, menampar-nampar pipinya dan meneriakkan kata-kata yang bernada menyalahkan Allah SWT dan tidak menerima musibah tersebut dengan wajar

2. A’War, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia melalui nafsu syahwatnya. Syahwat dalam pengertian global: syahwat terhadap harta, keluarga, lawan jenis yang bukan muhrim, kedudukan, dan lain-lain yang sifatnya datang dari suatu hasrat tak terkendalikan.

3. Mabsuth, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia melalui perbuatan bohong dan menipu.

4. Dasim, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia dalam perceraian suami-isteri, bermusuhan dengan saudara, rakan-rakan sekerja sehingga peringkat memutuskan tali silaturrahim. Termasuk, tidak mudah memaafkan kesalahan orang lain, dan tidak bertekad meminta maaf pada saat memiliki kesalahan kepada orang lain yang mengakibatkan hubungan silaturrahim terputus.

5. Zalanbur, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia yang berada di pasar-pasar, pasaraya dan dalam dunia perniagaan. Sehingga dalam kehidupan di pasar, pasaraya terjadi seperti lupa waktu beribadah, dan juga dalam bidang perniagaan terjadi kezaliman, seperti menipu dalam timbangan, menipu dalam jualan, tidak menitikberatkan soal halal-haram samada dalam bentuk barang dagangan, baik barangnya maupun caranya.

Syaitan sebagai musuh manusia sesungguhnya sangat arif dalam soal membolak-balikan hati manusia. Perkara utama yang syaitan lakukan untuk memesongkan hati manusia adalah dengan mengawal hawa nafsu manusia. (hawa nafsu bererti segala hal mengenai hasrat untuk mencapai sesuatu yang tidak terkawal) Sehingga kita harus waspada setiap waktu sepanjang perjalanan hidup ini.


Al-Quraisyi berkata kepada Ahmad bin Hanbal, ”Setiap pagi, iblis mengumpukan tenteranya di muka bumi”. Lalu Iblis berkata kepada mereka, ”Siapa yang berhasil menyesatkan hati umat Islam maka aku akan memberinya mahkota di atas kepalanya,”

Lalu ada syaitan berkata dengan sambutan tegas, ”Aku akan terus menggoda umat islam hingga mereka menceraikan isterinya.”

”Itu tidak cukup kerana mereka akan menikah/rujuk semua”, kata iblis

”aku akan menghasut umat islam sehingga mereka menderhakai orang tuanya, ”kata syaitan lagi.

Itu tidak cukup kerana mereka akan meminta maaf dan mentaati orang tuanya lagi”,jawab iblis.

”Aku akan menggoda umat islam terus menerus sehingga mereka akan melakukan zina,” kata syaitan yang lain.

”buah fikiran yang bagus”, kata iblis

”Aku akan menyesatkan umat islam melalui nafsu perutnya agar gemar meminum minuman keras,” kata syaitan lainnya.

”kamu juga bagus, kerana gemar pada minuman keras, manusia akan lalai dan lebih cenderung kepada permusuhan dan kejahatan-kejahatan syahwatnya”, kata iblis

”aku akan menghasut umat islam hingga mereka akan saling berbunuhan,”kata syaitan lain.

”syabas! Syabas!, itu yang betul, ” demikian kata iblis.

”Tidak satupun perintah Allah kepada hamba-Nya, kecuali iblis dan syaitan menghalanginya dengan dua tipu dayanya, iaitu menyesatkan manusia yang patuh kepada perintah Allah agar melampaui batas, antara lain dengan menambah ibadah yang tidak pernah diperintahkan, dan yang kedua bagi hamba Allah yang kurang mematuhinya dan disesatkan dengan sikap masa bodoh dan lalai”

Jika menonton berita, setiap hari ada sahaja berita hasil dari hasutan iblis dan syaitan seperti perkara yang dinyatakan di atas iaitu berzina/perkosaan, mabuk dan pembunuhan. Inilah dia hasil dari misi pasukan syaitan dan iblis tiap hari.

”sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan hanya mengajak golongannya agar menjadi penghuni neraka (Surah Fathir: 6)

”...dan janganlah sehingga kamu terpedaya oleh penipu dalam mentaati Allah” (Surah Luqman 33)

”Bukankah telah mAku perintah kepadamu wahai anak cucu Adam agar kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu (Surah Yassin 60)

Masih banyak perkara yang harus kita pelajari dalam usaha menghindarkan diri terhadap hasutan syaitan. Terdapat sekitar 13 muslihat syaitan yang harus kita waspada dan insyaAllah akan dikongsikan kemudian.

Sebelum atau pada saat kita berada dalam usaha ke arah memperbaiki diri, pada saat kita mengingat Allah, kita juga harus ingat dan sentiasa waspada dengan hasutan syaitan walau hasutan syaitan yang paling kecil/halus sekalipun dengan suatu keyakinan bahawa ”Kenyataan Iblis dan syaitan akan selalu ada dan SUDAH DIPASTIKAN akan memesongkan hati manusia ke arah kemurkaan dan kesesatan walau kita sedang berada dalam kebaikan"

Diantara yang perlu kita lakukan untuk berusaha berlindung kepada Allah agar menghindari dari bisikan dan pendekatan syaitan dalam diri kita adalah seperti berikut:

1. Isti’adzah; selalulah membaca Ta’awudz dalam setiap permulaan untuk melakukan sesuati seperti solat, membaca Al-Quran dan lain-lain aktiviti. Allah lah yang HANYA menguasai iblis dan syaitan, ertinya jika kita berlindung, maka mohon perlindungan kepada yang menguasainya, iaitu Allah SWT.

2. Al-mu’awwidzatain; membaca surah Al-Falaq dan An-Nas pada waktu-waktu tertentu, misal sebelum solat, selesai solat, sebelum pergi kerja, sebelum tidur, selesai tidur, dalam perjalanan, ketika timbul rasa marah, rasa kesal, rasa benci tidak kira dimana. Yang terutama pada saat-saat kita merasakan ada “bisikan” di dalam hati.

3. Membaca Ayat Kursi

4. Membaca surah Al-Baqarah. Terutama surah 285-286. Dalam suatu hadis dari Suhail dari ayahnya Abu Hurairah, Rasullah bersabda ”janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya rumah yang dibacakan surah Al Baqarah itu tidak akan dimasuki syaitan”

5. Selalulah berzikir, terutama kalimah Tahlil (Laa ilaha illallah) sebanyak mungkin.

6. Bertekadlah untuk MENUTUP pintu syaitan dalam diri kita dengan cara menyatakan PERANG terhadap mereka. Kekuatan lain yang utama dalam usaha menutup pintu syaitan adalah dengan BENTENG ILMU.

At-Tirmidzi meriwayatkan dalam sebuah hadis dari Ibn ’Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ”seorang faqih (orang berilmu) akan lebih berat dihadapi syaitan daripada seribu orang ahli ibadah” Ibn Abbas berkata, ”beberapa syaitan berkata kepada iblis, ”Paduka, kami merasa lebih senang dengan kematian seorang berilmu dibandingkan dengan kematian seorang ahli ibadah. Orang berilmu sangat sulit kami tundukkan, sedangkan ahli ibadah dapat kami tundukan dengan mudah....”

Sebagaimana kisah dari Syaikh Abdul Qadir Jailani yang menuturkan, ”pada suatu hari sedang melakukan perjalanan (safar), aku merasa sangat kepanasan. Waktu aku hampir mati kehausan, waktu itu ada awan hitam menaungiku dan meniupkan angin sejuk hingga air liur dalam diriku mengalir lagi. Tiba-tiba dari awan itu terdengar suara memanggilku, ”Wahai abdul qadir, aku adalah tuhanmu!”, Lalu aku bertanya kepadanya, ”Engkau kah Allah yang tidak ada tuhan selain-Nya?” Untuk kedua kalinya, suara itu menjawab ”Wahai abdul qadir, aku adalah tuhanmu. Aku telah menghalalkan apa yang haram bagimu!”
Aku berkata kepadanya, ”Sebenarnya engkau adalah syaitan!. Ketika itu, awan pun tercerai berai. Dan dari arah belakang aku mendengar suara, ”Wahai abdul qadir, engkau telah selamat dari tipu daya dan muslihatku kerana engkau benar-benar memahami agamamu. Padahal, sebelumnya, aku telah berhasil memperdaya tujuh puluh (70) orang dengan tipu daya dan muslihat yang serupa.” Seorang bertanya kepada Abdul Qadir, ”bagaimana engkau boleh mengetahui bahawa itu adalah syaitan?” Abdul Qadir menjawab,”Dari ucapannya, ”aku telah menghalalkan apa yang haram untukmu, sebab sepeninggalan Rasulullah s.a.w., tidak ada lagi yang berhak menghalalkan dan mengharamkan.”

Syaik Abdul Qadir jailani berhasil mengelak dari tipu dan dan muslihat itu, kerana dia memang orang yang berilmu dan memahami islam dengan ilmu yang benar. Boleh dibayangkan sekiranya kejadian itu berlaku kepada orang biasa seperti kita, mungkinkah kita melakukan hal yang serupa dengan Abdul Qadir?, atau malah kita meyakini bahawa yang bersuara itu adalah Allah?.

Ringkasan ini dibuat untuk berkongsi kebaikan, Kebenaran hanya datang dari Allah semata-mata. Semoga segala apa yang dikongsikan bermanafaat untuk kita bersama dalam usaha mengekang hasutan iblis dan syaitan.

Wallahu A'lam


Sumber:
1. buku ”3T (Taubat, Tasbih, Tahajud)” karya Zainal Ali Akbar
2. buku ”kiat menghindari jebakan syaitan” (terjemahan dari Makaid Syaithan)

No comments:

Post a Comment