Friday, March 11, 2011

ILMU TAUHID (BHG KELIMA)

6. Al – Wahdaniyyah.

Ertinya : Esa Allah Ta'ala pada zat , pada sifat dan pada perbuatan. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan berbilang pada zat ,pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil (yang berhubung) atau bilangan yang munfasil (yang bercerai).

Makna Esa Allah s.w.t. pada zat itu iaitu menafikan Kam Muttasil pada Zat (menafikan bilangan yang berhubung dengan zat) seperti tiada zat Allah Ta'ala tersusun daripada darah , daging , tulang ,urat dan lain-lain. Dan menafikan Kam Munfasil pada zat (menafikan bilangan yang ber-
cerai pada zat Allah Ta'ala)seperti tiada zat yang lain menyamai zat Allah Ta'ala.

Makna Esa Allah s.w.t pada sifat iaitu menafikan Kam muttasil pada Sifat (menafikan bilangan yang berhubung pada sifatnya) iaitu tidak sekali-kali bagi Allah Ta'ala pada satu-satu jenis sifatnya dua qudrat dan menafikan Kam Munfasil pada sifat ( menafikan bilangan–bilangan yang bercerai pada sifat ) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna.

Makna Esa Allah s.w.t. pada perbuatan iaitu menafikan Kam Muttasil pada perbuatan (menafikan bilangan yang bercerai –cerai pada perbuatan) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Allah bahkan segala apa yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Allah s.w.t sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikat-nya seperti kufur dan maksiat sama ada perbuatan dirinya atau
perbuatan yang lainnya ,semuanya perbuatan Allah s.w.t dan tidak sekali-kali hamba mempunyai perbuatan pada hakikatnya hanya pada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas.

Maka wajiblah bagi Allah Ta'ala bersifat Wahdaniyyah dan ternafi bagi Kam yang lima itu iaitu :
1) Kam Muttasil pada zat.
2) Kam Munfasil pada zat.
3) Kam Muttasil pada sifat.
4) Kam Munfasil pada sifat.
5) Kam Munfasil pada perbuatan.

Maka tiada zat yang lain , sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat , sifat dan perbuatan Allah s.w.t. Dan tertolak segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada
menyengutukan Allah Ta'ala dan perkara-perkara yang menjejaskan
serta merosakkan iman.



7. Al – Qudrah :

Ertinya : Kuasa qudrah Allah s.w.t. memberi bekas pada mengadakan meniadakan tiap-tiap sesuatu.

Pada hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang thabit (tetap) berdiri pada zat Allah s.w.t. yang mengadakan tiap-tiap yang ada dan meniadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan iradah.

Adalah bagi manusia itu usaha dan ikhtiar tidak boleh memberi bekas pada mengadakan atau meniadakan, hanya usaha dan ikhtiar pada jalan menjayakan sesuatu. Kepercayaan dan iktiqad manusia di dalam perkara ini berbagai-bagai fikiran dan fahaman seterusnya membawa berbagai-bagai kepercayaan dan iktiqad.

1) Iktiqad Qadariah :

Perkataan qadariah iaitu nisbah kepada qudrat . Maksudnya orang yang beriktiqad akan segala perbuatan yang dilakukan manusia itu sama ada baik atau jahat semuanya terbit atau berpunca daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri dan sedikitpun tiada bersangkut-paut dengan kuasa Allah s.w.t.

2) Iktiqad Jabariah :

Perkataan Jabariah itu nisbah kepada Jabar (Tergagah) dan maksudnya orang yang beriktiqad manusia dan makhluk bergantung kepada qadak dan qadar Allah semata-mata (tiada usaha dan ikhtiar atau boleh memilih samasekali).

3) Iktiqad Ahli Sunnah Wal – Jamaah :

Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaahialah orang yang mengikut perjalanan Nabi dan perjalanan orang-orang Islam iaitu beriktiqad bahawa hamba itu tidak digagahi semata-mata dan tidak memberi bekas segala perbuatan yang disengajanya, tetapi ada perbuatan yang di sengaja pada zahir itu yang dikatakan usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas sebenarnya sengaja hamba itu daripada Allah Ta'ala jua. Maka pada segala makhluk ada usaha dan ikhtiar pada zahir dan tergagah pada batin dan ikhtiar serta usaha hamba adalah tempat pergantungan taklif (hukum) ke atasnya dengan suruhan dan tegahan (ada pahala dan dosa).



8. Al – Iradah :

Ertinya : Menghendaki Allah Ta'ala. Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau tiadanya.

Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada Zat Allah Ta'ala yang menentukan segala perkara yang harus atau setengah yang harus atas mumkin . Maka Allah Ta'ala yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang diperbuatnya. Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada Allah Ta'ala tentang rezeki , umur , baik , jahat , kaya , miskin dan sebagainya serta wajib pula beriktiqad manusia ada mempunyai nasib ( bahagian ) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Janganlah kamu lupakan nasib ( bahagian ) kamu di dalam dunia " .
( Surah Al – Qasash : Ayat 77 )


Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah perintah Allah Ta'ala dan menjauhi akan segala larangan dan tegahannya dan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.



9. Al – Ilmu :

Ertinya : Mengetahui Allah Ta'ala .

Maksudnya nyata dan terang meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada yang Maujud (ada) atau yang Ma'adum (tiada). Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada (thabit) qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta'ala.

Allah Ta'ala Maha Mengetahui akan segala sesuatu sama ada perkara Itu tersembunyi atau rahsia dan juga yang terang dan nyata. Maka Ilmu Allah Ta'ala Maha Luas meliputi tiap-tiap sesuatu di Alam yang fana' ini.


10. Al – Hayat .

Ertinya : Hidup Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala. Segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat Idrak (pendapat) Iaitu : sifat qudrat , iradat , Ilmu , Sama’ Bashar dan Kalam.


11. Al - Samu’ :

Ertinya : Mendengar Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada Zat Allah Ta’ala. Iaitu dengan terang dan nyata pada tiap-tiap yang maujud sama ada yang maujud itu qadim seperti ia mendengar kalamnya atau yang ada itu harus sama ada atau telah ada atau yang akan diadakan.

Tiada terhijab ( terdinding ) seperti dengan sebab jauh , bising , bersuara , tidak bersuara dan sebagainya. Allah Ta'ala Maha Mendengar akan segala yang terang dan yang tersembunyi. Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Dan ingatlah Allah sentiasa Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
( Surah An-Nisa'a - Ayat 148 )



12. Al – Bashar :

Ertinya : Melihat Allah Ta'ala .

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta'ala. Allah Ta'ala wajib bersifat Maha Melihat sama ada yang dapat dilihat oleh manusia atau tidak , jauh atau dekat , terang atau gelap , zahir atau tersembunyi dan sebagainya. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan ".
( Surah Ali Imran - Ayat 163 )




13 . Al – Kalam :

Ertinya : Berkata-kata Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada, yang qadim lagi azali, berdiri pada zat Allah Ta'ala. Menunjukkan apa yang diketahui oleh ilmu daripada yang wajib, maka ia menunjukkan atas yang wajib sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Aku Allah , tiada tuhan melainkan Aku .........".
( Surah Taha - Ayat 14 )


Dan daripada yang mustahil sebagaimana firman Allah Ta'ala yang
bermaksud :

" ........( kata orang Nasrani ) bahawasanya Allah Ta'ala yang ketiga daripada tiga..........".
( Surah Al-Mai'dah - Ayat 73 )


Dan daripada yang harus sebagaimana firman Allah Ta'ala yang
bermaksud :

" Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu".
( Surah Ash. Shaffaat – Ayat 96 )


Kalam Allah Ta'ala itu satu sifat jua tiada berbilang. Tetapi ia berbagai-bagai jika dipandang dari perkara yang dikatakan iaitu :

1) Menunjuk kepada 'amar (perintah) seperti tuntutan mendiri solat dan lain-lain kefardhuan.
2) Menunjuk kepada nahyu (tegahan) seperti tegahan mencuri dan lain-lain larangan.
3) Menunjuk kepada khabar (berita) seperti kisah-kisah Firaun dan lain-lain.
4) Menunjuk kepada wa'ad (janji baik) seperti orang yan taat dan beramal soleh akan dapat balasan syurga dan lain-lain.
5) Menunjuk kepada wa'ud (janji balasan seksa) seperti orang yang menderhaka kepada ibubapa akan dibalas dengan azab seksa yang amat berat.


14. Kaunuhu Qadiran :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Berkuasa Mengadakan Dan Mentiadakan.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Qudrat.


15.Kaunuhu Muridan :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Menghendaki dan menentukan tiap-tiap sesuatu.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Iradat.

No comments:

Post a Comment