Sunday, March 6, 2011

ILMU TAUHID (BHG KEDUA)


HUKUM ‘AQAL

Sesungguhnya setiap orang yang hendak mengenal Allah s.w.t. dan mengetahui sifat-sifatnya , maka wajiblah lebih dahulu ia mengetahui akan hukum 'aqal dan bahagiannya.

Pengertian Hukum 'Aqal :

Hukum ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain dengan tidak berkehendak kepada dicuba pada menetapkan sesuatu perkara itu ( Adat ) dan tidak tergantung kepada sesuatu perbuatan yang diperbuat oleh mukallaf ( bersalahan dengan hukum Syari'e ).

Pengertian 'Aqal :

Adalah 'Aqal itu satu sifat yang dijadikan Allah s.w.t. pada manusia sehingga dengan itu manusia berbeza dengan haiwan. Maka dengannya boleh menerima ilmu Nazhariyyah ( Ilmu yang berkehendakkan berfikir ) dan boleh mentadbirkan segala pekerjaan dengan fikiran yang halus dan daripadanya tempat lahirnya berbagai-bagai manafaat dan kebahagiaan kepada manusia.

Dan aqal itu berhajat kepada undang-undang Syarak dan undang-undang Syarak juga tidak boleh berjalan mengikut yang dikehendaki melainkan berhajat kepada 'aqal. Dan di antara keduanya berhajat antara satu dengan yang lain ( ' Aqal berhajat kepada Syarak dan Syara' berhajat kepada 'Aqal ) .

Bahagian Hukum 'Aqal :

Adalah hukum 'aqal itu terbahagi kepada tiga :

1) Wajib 'Aqli iaitu perkara yang tiada diterima 'aqal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada.Yang demikian wajib bagi Allah s.w.t. bersifat qidam maka maksudnya ialah mesti ada Allah s.w.t bersifat qidam.

2) Mustahil 'Aqli iaitu perkara yang tidak diterima 'aqal akan adanya , hakikatnya mesti tiada . Yang demikian mustahil Allah s.w.t. bersifat baharu maka maksudnya tidak sekali-kali Allah s.w.t. itu bersifat baharu.

3) Harus 'Aqli iaitu perkara yang diterima 'aqal adanya dan tiadanya, maka hakikatnya boleh menerima ada dan tiada seperti keadaan seseorang itu adakalanya boleh bergerak atau diam.

Bahagian Wajib 'Aqli :

Adalah wajib 'aqli terbahagi dua :

1) Wajib 'aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan kenyataan seperti menghukumkan satu itu tetap separuh daripada dua .

2) Wajib 'aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatang- kan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya itu seperti menghukumkan wajib adanya Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini berserta dengan bahasan dan dalil-dalilnya.

Bahagian Mustahil 'Aqli :

Adalah Mustahil 'Aqli terbahagi dua :

1) Mustahil 'Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil seperti contoh menghukumkan tiada terima ;aqal satu itu separuh daripada tiga.

2) Mustahil 'Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumannya itu seperti menghukumkan tiada terima 'aqal ada yang mensyirik bagi Allah s.w.t. maka dengan itu 'aqal menghukumkan mustahil ada syirik bagi Allah s.w.t itu melainkan dengan diadakan bahasan dengan mendatangkan dalil.

Bahagian Harus 'Aqli :

Adalah Harus A'qli itu terbahagi dua :

1) Harus 'Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh terima ada dan tiada dengan tidak berkehendakkan bahasan dan mendatangkan dalil seperti menghukumkan keadaan seseorang itu adakalanya ia bergerak atau diam .

2) Harus 'Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh dijadikan atau tiada boleh dengan berkehendak kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti contoh memberikan ganjaran pahala kepada orang yang tidak beramal , maka 'aqal menghukumkan hal itu adalah harus melainkan dengan diadakan bahasan dan dalil-dalil yang menunjukkan harus pada Allah s.w.t. memberikan seperti itu .

KEJADIAN ALAM

Sesungguhnya apabila seseorang itu berfikir dan meneliti kejadian alam ini maka ia dapat petunjuk bahawa Allah s.w.t yang telah menjadikannya.

1. Melihat sesuatu kejadian yang ada disekeliling kita seperti kerusi atau meja dan sebagainya maka kita dapati kerusi atau meja tersebut tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang membuatnya dan yang mengadakannya.

Maka dengan itu kita beri’tiqad dan percaya alam ini tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang menjadikan dan menciptakannya tentulah Allah s.w.t yang Maha Pencipta.

2. Kita meneliti dan mengkaji dengan lebih jauh lagi akan perbuatan-perbuatan orang yang membuat kerusi atau meja ada yang berbagai bentuk dan rupa, yang mana mereka sentiasa membuat dan mengukir kerusi atau meja tadi dengan lebih baik dan lebih halus lagi ukirannya tetapi tidak pernah lengkap dan sempurna.

Maka itu kelemahan dan kekurangan manusia yang mengikut kadar dan ilmu serta kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala. Maka kita menyedari bahawa Allah Ta’ala adalah Maha Sempurna di dalam mencipta kejadian alam ini.

3. Kita melihat akan kejadian langit dan bumi ini dan alam cakerawala ini daripada manusia, bulan, matahari, haiwan, tumbuh-tumbuhan yang mana setiap jenis dijadikan dengan cukup lengkap dan sempurna. Contohnya manusia yang dijadikan adalah sebaik-baik kejadian iaitu: berakal, bertutur, mendengar dan lain-lain sifat lagi.

Dan apabila kita perhatikan alam cekerawala seperti bumi, langit, bulan, matahari dan lain-lain yang mana semuanya dicipta untuk manafaat dan keperluan semua makhluk yang mana semua itu melemahkan akal para cerdik pandai memikirkan segala kejadian tersebut yang tiada tolok bandingnya. Maka nyatalah di sini bahawa penciptanya mempunyai kuasa yang Maha Sempurna, Ilmu yang Maha luas dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan.

Sesungguhnya dari Kaedah Syar’iyyah dan berita para Nabi bahawa yang menjadikan alam ini ialah Allah s.w.t kerana segala perbuatanNya menunjukkan bekas bagi segala sifat yang Maha Suci dan tidaklah makhluk dapat mengetahui hakikatnya kerana segala makhluk ciptaanNya sentiasa bersifat lemah dan mempunyai segala kekurangan.

Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )

No comments:

Post a Comment