Friday, March 18, 2011

ILMU TASAWWUF (BHG KEDUA)

Ikhlas

1. Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

2. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )


3. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t.

4. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

5. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.

Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin


Taubat

1. Iaitu kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.

2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )


3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :

i. Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.
ii.Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.
iii. Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi.
iv. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.
v. Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.

4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum (terpelihara daripada dosa) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.

5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:

i. Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
ii. Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
iii. Meningkatkan ketaqwaan diri.
iv. Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan berbuat dosa dan maksiat.
v. Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup di dunia dan akhirat.

Zuhud

1. Ertinya meninggalkan dunia melainkan kadar yang patut daripadanya.

2. Zuhud yang sempurna ialah meninggalkan perkara lain selain Allah S.W.T.

3. Dunia ialah tiap-tiap perkara yang tidak dituntut oleh syarak dan ianya sebagai tempat bercucuk-tanam (berbuat kebaikan dan amalan soleh) untuk akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.

4. Setiap manusia berkehendak kepada beberapa perkara bagi meneruskan hidup yang mana manusia berkehendak kepada makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain lagi.

5. Oleh yang demikian, sifat zuhud itu adalah mencari keperluan hidup sekadar yang boleh membantu ia untuk beribadah kepada Allah S.W.T. ( zuhud orang awam ).


Dipetik daripada - Hidup Bertaqwa Oleh Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Kamus (M/S 269-273)

No comments:

Post a Comment