Friday, March 25, 2011

BAB AKHLAK (BHG PERTAMA)

Bab 1 : Adab Niat

1. Niat memiliki peranan yang amat penting di dalam segala kegiatan dan amalan agama kerana nilaian Allah Ta'ala terhadap semua amal perbuatan itu bergantung pada niatnya.

2. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud :

" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar ".

3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkan ".

4. Maka niat yang baik itu adalah dianggap sebagai satu amal soleh dan memperolehi pahala serta ganjaran daripada Allah s.w.t.

5. Sesiapa yang berniat dengan niat yang baik, maka dia akan mendapat pahala dan ganjaran yang baik, manakala sesiapa yang berniat buruk maka dia akan diberi balasan dosa dan balasan yang setimpal dengan dosanya.

6. Kaum muslimin mengakui niat itu sebagai rukun dan syarat dalam semua amalan dan bukan hanya diucapkan atau dilafazkan oleh lidah sahaja .


Bab 2 : Adab Kepada Allah

1. Anugerah dan rahmat yang diberikan oleh Allah Ta'ala kepada manusia tidak terhitung banyaknya iaitu semenjak manusia diciptakan daripada nutfah (setitis air mani) di dalam rahim ibunya sehingga dia kembali menghadap Allah s.w.t.

2. Manusia hendaklah mensyukuri segala rahmat dan nikmat Allah s.w.t dengan melakukan segala suruhan dan perintahnya dan menjauhi segala tegahan dan larangannya serta selalu memujiNya sama ada dengan kata-kata atau amal perbuatan serta memanfaatkan segala yang dianugerahkan hanya untuk beribadah kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya"
( Surah Ibrahim - Ayat 34 )


3. Cara ini merupakan adab kepada Allah s.w.t. sebagaimana Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah (datangnya)......."
( Surah An- Nahl - Ayat 53 )


4. Kaum muslimin meyakini bahawa Allah s.w.t Maha Mengetahui di atas segala-galanya dan sentiasa memperhatikan setiap tingkah laku manusia sehingga hati mereka sentiasa takut kepada Allah dengan mengingatiNya serta mengagungkanNya.

5. Mereka merasa malu berbuat perkara mungkar dan maksiat kepada Allah s.w.t. untuk melanggar apa-apa tegahan dan laranganNya. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). ( Surah Al-Baqarah - Ayat 152 )

6. Kaum Muslimin mengetahui dan melihat bahawa Allah s.w.t. menguasai diri setiap manusia yang sentiasa menyerahkan diri kepadaNya serta bertawakal kepadaNya . Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" .... Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal , jika kamu benar-benar orang yang beriman ". ( Surah Al - Maidah - Ayat 23 )

7. Kaum Muslimin mencari akan rahmat dan kasih sayang Allah dengan merendahkan diri dan sentiasa berdoa mencari keredhaanNya dengan ucapan dan amalan yang soleh.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : " ..... dan rahmatKu meliputi segala sesuatu...." .
( Surah Al-A'raf - Ayat 156 )


8. Setiap amalan yang soleh dan dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaatan yang bersungguh-sungguh akan dibalas dengan pahala yang berlipatganda serta dijanjikan syurga yang kekal selama-lamanya .

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya , maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan ".
( Surah An-Nur - Ayat 52 )


9. Kaum Muslimin yang sentiasa memelihara adab dengan Allah akan mendapat kedudukan yang mulia dan darjat yang tinggi serta mendapat rahmat dan nikmat di sisi Allah s.w.t.


Bab 3 : Adab Kepada Al-Quran

1. Kaum Muslimin beriktiqad bahawa kemuliaan dan kesucian serta keutamaan ayat-ayat Allah s.w.t. iaitu Kitab Al-Qur'an adalah keunggulan yang tertinggi.

2. Al-Qur'an adalah sebesar-besar mukjizat kurniaan Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman.

3. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :-

" Bacalah olehmu Al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari qiamat memberi pertolongan kepada yang membacanya" (Riwayat Muslim)

4. Insan yang berpegang teguh dengan Al- Qur'an kerana ia akan mendapat keselamatan dan kesejateraan di dunia dan di akhirat.

5. Di dalam hadith- hadith Rasulullah s.a.w. memberi keutamaan akan keagungan, kesucian dan kemuliaan Al- Qur'an di dalam memperkukuhkan keimanan kaum muslimin. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Sebaik -baik kamu adalah yang belajar Al- Qur'an dan mengajarkannya" (Riwayat Bukhari) " Ahli Al- Quran adalah keluarga Allah dan orang pilihannya" (Riwayat An- Nasa'i)

6. Adab - adab di dalam membaca Al- Qur'an ialah :-

i) Berwudhuk
ii) Dibaca di dalam suci daripada hadas
iii) Dibaca di dalam keadaan mengadap kiblat
iv) Dibaca dengan tartil dan tidak terlalu cepat
v) Dibaca dengan khusyuk, tadabbur (mengamat -amati) dan menghayati dengan bersungguh-sungguh.
vi) Di baca dengan memperelokkan suaranya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud :-

" Hiasilah olehmu Al- Qur'an dengan suaramu " (Riwayat Ahmad)

No comments:

Post a Comment