Saturday, March 26, 2011

BAB AKHLAK (BHG KEDUA)

Bab 4 : Adab Terhadap Rasulullah s.a.w

1) Allah telah mewajibkan setiap mukmin untuk hormat terhadap Nabi Muhammad S.A.W seperti yang ditegaskan dalam firman Allah :

“ Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya.....” ( Al-Hujurat 49:1 )

2) Sesungguhnya Allah mewajibkan orang yang beriman untuk taat dan cinta kepada Rasullullah seperti di dalam firmannya :

“ Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul...”
( Muhammad 47:33)


3) Allah menjadikan Rasullullah sebagai pemimpin dan hakim seperti dalam firmannya :

“ Sesungguhnya kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu.....” ( An-Nisa’ 4:105 )

4) Allah telah menetapkan bahawa Rasullullah adalah manusia terbaik akhlak dan budi pekertinya. Beliau memiliki kesempurnaan diri dan jiwa sehingga beliau merupakan makhluk yang paling baik dan sempurna.

Beberapa cara beradab kepada Nabi Muhammad S.A.W antaranya :

- Hendaklah mentaati Nabi Muhammad S.A.W di samping mengikuti jejak langkahnya dalam urusan dunia dan agama.

- Menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai orang yang paling dicintai, dihormati dan diagungkan dari seluruh makhluk Allah.

- Mengagung dan menghormati Nabi Muhammad S.A.W apabila namanya disebut dan berselawat serta salam ke atasnya, mengakui kebenarannya dan menghargai sifat-sifatnya.

- Membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W samada soal agama dan dunia.

- Merendahkan suara di makam dan masjidnya bagi yang berpeluang menziarahinya.

- Mencintai para salihin dan para pengikutnya kerana mereka mencintai Nabi Muhammad S.A.W serta memusuhi golongan fasiq kerana mereka membenci Nabi Muhammad S.A.W.

( Rujukan : Bimbingan Mukmin )



Bab 5 : Adab Terhadap Diri Sendiri

Kaum muslimin percaya bahwa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah :

“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” ( Asy-Syam [ 91] 9-10)

Rasullullah bersabda :

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….”
( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)


Oleh yang demikian kaum muslim haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :

a. Taubat

Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”
(at-Tahrim[66] : 8)


Dan sabda Rasullullah :

“ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali ” ( Muslim )

b. Muraqabah ( Pengawasan )

Umat Islam sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga mereka yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi.Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah :

“ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....” ( an-Nisa [4] : 125 )

Rasullullah juga bersabda :

” Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......” (Muttafaq ’alaih)

c. Muhassabah

Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri

Allah berfirman :

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ” (al-Hasyr [59] : 18)

d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)

Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan.

Allah telah berfirman :

“ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....” (Yusuf [12] : 53 )

Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih. Allah berfirman :

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (al-Ankabut : 69)

Sebagai umat Islam kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T.

Friday, March 25, 2011

BAB AKHLAK (BHG PERTAMA)

Bab 1 : Adab Niat

1. Niat memiliki peranan yang amat penting di dalam segala kegiatan dan amalan agama kerana nilaian Allah Ta'ala terhadap semua amal perbuatan itu bergantung pada niatnya.

2. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud :

" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar ".

3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkan ".

4. Maka niat yang baik itu adalah dianggap sebagai satu amal soleh dan memperolehi pahala serta ganjaran daripada Allah s.w.t.

5. Sesiapa yang berniat dengan niat yang baik, maka dia akan mendapat pahala dan ganjaran yang baik, manakala sesiapa yang berniat buruk maka dia akan diberi balasan dosa dan balasan yang setimpal dengan dosanya.

6. Kaum muslimin mengakui niat itu sebagai rukun dan syarat dalam semua amalan dan bukan hanya diucapkan atau dilafazkan oleh lidah sahaja .


Bab 2 : Adab Kepada Allah

1. Anugerah dan rahmat yang diberikan oleh Allah Ta'ala kepada manusia tidak terhitung banyaknya iaitu semenjak manusia diciptakan daripada nutfah (setitis air mani) di dalam rahim ibunya sehingga dia kembali menghadap Allah s.w.t.

2. Manusia hendaklah mensyukuri segala rahmat dan nikmat Allah s.w.t dengan melakukan segala suruhan dan perintahnya dan menjauhi segala tegahan dan larangannya serta selalu memujiNya sama ada dengan kata-kata atau amal perbuatan serta memanfaatkan segala yang dianugerahkan hanya untuk beribadah kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya"
( Surah Ibrahim - Ayat 34 )


3. Cara ini merupakan adab kepada Allah s.w.t. sebagaimana Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah (datangnya)......."
( Surah An- Nahl - Ayat 53 )


4. Kaum muslimin meyakini bahawa Allah s.w.t Maha Mengetahui di atas segala-galanya dan sentiasa memperhatikan setiap tingkah laku manusia sehingga hati mereka sentiasa takut kepada Allah dengan mengingatiNya serta mengagungkanNya.

5. Mereka merasa malu berbuat perkara mungkar dan maksiat kepada Allah s.w.t. untuk melanggar apa-apa tegahan dan laranganNya. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). ( Surah Al-Baqarah - Ayat 152 )

6. Kaum Muslimin mengetahui dan melihat bahawa Allah s.w.t. menguasai diri setiap manusia yang sentiasa menyerahkan diri kepadaNya serta bertawakal kepadaNya . Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" .... Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal , jika kamu benar-benar orang yang beriman ". ( Surah Al - Maidah - Ayat 23 )

7. Kaum Muslimin mencari akan rahmat dan kasih sayang Allah dengan merendahkan diri dan sentiasa berdoa mencari keredhaanNya dengan ucapan dan amalan yang soleh.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : " ..... dan rahmatKu meliputi segala sesuatu...." .
( Surah Al-A'raf - Ayat 156 )


8. Setiap amalan yang soleh dan dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaatan yang bersungguh-sungguh akan dibalas dengan pahala yang berlipatganda serta dijanjikan syurga yang kekal selama-lamanya .

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya , maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan ".
( Surah An-Nur - Ayat 52 )


9. Kaum Muslimin yang sentiasa memelihara adab dengan Allah akan mendapat kedudukan yang mulia dan darjat yang tinggi serta mendapat rahmat dan nikmat di sisi Allah s.w.t.


Bab 3 : Adab Kepada Al-Quran

1. Kaum Muslimin beriktiqad bahawa kemuliaan dan kesucian serta keutamaan ayat-ayat Allah s.w.t. iaitu Kitab Al-Qur'an adalah keunggulan yang tertinggi.

2. Al-Qur'an adalah sebesar-besar mukjizat kurniaan Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman.

3. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :-

" Bacalah olehmu Al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari qiamat memberi pertolongan kepada yang membacanya" (Riwayat Muslim)

4. Insan yang berpegang teguh dengan Al- Qur'an kerana ia akan mendapat keselamatan dan kesejateraan di dunia dan di akhirat.

5. Di dalam hadith- hadith Rasulullah s.a.w. memberi keutamaan akan keagungan, kesucian dan kemuliaan Al- Qur'an di dalam memperkukuhkan keimanan kaum muslimin. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Sebaik -baik kamu adalah yang belajar Al- Qur'an dan mengajarkannya" (Riwayat Bukhari) " Ahli Al- Quran adalah keluarga Allah dan orang pilihannya" (Riwayat An- Nasa'i)

6. Adab - adab di dalam membaca Al- Qur'an ialah :-

i) Berwudhuk
ii) Dibaca di dalam suci daripada hadas
iii) Dibaca di dalam keadaan mengadap kiblat
iv) Dibaca dengan tartil dan tidak terlalu cepat
v) Dibaca dengan khusyuk, tadabbur (mengamat -amati) dan menghayati dengan bersungguh-sungguh.
vi) Di baca dengan memperelokkan suaranya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud :-

" Hiasilah olehmu Al- Qur'an dengan suaramu " (Riwayat Ahmad)

Saturday, March 19, 2011

ILMU TASAWWUF (BHG KETIGA)

Sabar

Iaitu menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.

Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah subhanahu wata‘ala ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.

2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.

3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.

Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.

Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Syukur

Iaitu mengaku dan memuji Allah atas nikmat yang diberi dan menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah subhanahu wata‘ala.

Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada makhlukNya adalah dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut merupakan suatu kewajipan kepada Allah subhanahu wata‘ala.

Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana orang yang tidak berterima kasih adalah orang yang tidak mengenang budi. Oleh itu, hendaklah digunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk menambahkan ibadah kepada Allah dan sangatlah keji dan hina menggunakan nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat.


Tawakkal

Iaitu menetapkan hati dan berserah kepada Allah pada segala perkara yang berlaku serta jazam (putus) pada i`tiqad bahawa Allah subhanahu wata‘ala yang mengadakan dan memerintahkan tiap-tiap sesuatu.

Berserah kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan sebagainya.


Mahabbah

Iaitu kasihkan Allah subhanahu wata‘ala dengan mengingatiNya pada setiap masa dan keadaan.

Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan segala perintahNya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta perkara-perkara yang membawa kemarahanNya.

Zikrulmaut (Mengingati Mati)

Iaitu sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.

Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak akan kembali lagi.

Friday, March 18, 2011

ILMU TASAWWUF (BHG KEDUA)

Ikhlas

1. Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

2. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )


3. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t.

4. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

5. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.

Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin


Taubat

1. Iaitu kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.

2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )


3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :

i. Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.
ii.Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.
iii. Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi.
iv. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.
v. Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.

4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum (terpelihara daripada dosa) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.

5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:

i. Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
ii. Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
iii. Meningkatkan ketaqwaan diri.
iv. Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan berbuat dosa dan maksiat.
v. Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup di dunia dan akhirat.

Zuhud

1. Ertinya meninggalkan dunia melainkan kadar yang patut daripadanya.

2. Zuhud yang sempurna ialah meninggalkan perkara lain selain Allah S.W.T.

3. Dunia ialah tiap-tiap perkara yang tidak dituntut oleh syarak dan ianya sebagai tempat bercucuk-tanam (berbuat kebaikan dan amalan soleh) untuk akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.

4. Setiap manusia berkehendak kepada beberapa perkara bagi meneruskan hidup yang mana manusia berkehendak kepada makanan, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain lagi.

5. Oleh yang demikian, sifat zuhud itu adalah mencari keperluan hidup sekadar yang boleh membantu ia untuk beribadah kepada Allah S.W.T. ( zuhud orang awam ).


Dipetik daripada - Hidup Bertaqwa Oleh Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Kamus (M/S 269-273)

ILMU TASAWWUF (BHG PERTAMA)

1. Pengertian Ilmu Tasawwuf :

Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela .

2. Ilmu tasawwuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah .

3. Syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainah:

a) Banyak bersabar .
b) Banyak menderita yang di alami oleh jiwa .

4. Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :

a) Taubat .

b) Khauf ( Takut )

c) Zuhud

d) Sabar.

e) Syukur.

f) Ikhlas.

g) Tawakkal.

h) Mahabbah ( Kasih Sayang )

i) Redha.

j) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )


5. Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :

a) Banyak Makan

b) Banyak bercakap.

c) Marah.

d) Hasad.

e) Bakhil.

f) Cintakan kemegahan.

g) Cintakan dunia .

h) Bangga Diri.

i) Ujub ( Hairan Diri ).

j) Riya' ( Menunjuk-nunjuk ).


Khauf

1. Khauf bererti takut akan Allah s.w.t., iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. serta takutkan kemurkaanNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

2. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan kepada Akulah ( Allah ) sahaja hendaklah kamu merasa gerun dan takut bukan kepada sesuatu yang lain".
( Surah Al-Baqarah - Ayat 40 )


3. Seseorang itu tidak akan merasai takut kepada Allah s.w.t. jika tidak mengenalNya. Mengenal Allah s.w.t. ialah dengan mengetahui akan sifat-sifat ketuhanan dan sifat -sifat kesempurnaan bagi zatNya.

4. Seseorang itu juga hendaklah mengetahui segala perkara yang disuruh dan segala perkara yang ditegah oleh agama.

5. Dengan mengenal Allah s.w.t. dan mengetahui segala perintah dan laranganNya, maka seseorang itu akan dapat merasai takut kepada Allah s.w.t.

6. Rasa takut dan gerun kepada Allah s.w.t. akan menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. dan seterusnya patuh dan tekun mengerjakan perkara yang disuruhnya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas.

Sifat Redha

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

a. Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
b. Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )


Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan, Baginda akan berkata :" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda akan mengucapkan: " Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )


Rujukan : Tasauf di Dalam Islam - Datuk Hj.Md.Yunus bin Hj. Md. Yatim.
( Bekas Mufti Negeri Melaka )

Monday, March 14, 2011

ILMU TAUHID (BHG KEENAM - Akhir)

16.Kaunuhu 'Aliman :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Mengetahui akan Tiap-tiap sesuatu.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala , tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Al-Ilmu.



17.Kaunuhu Haiyan :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Hidup.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Hayat.



18.Kaunuhu Sami'an :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Mendengar akan tiap-tiap yang Maujud.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Sama'.


19.Kaunuhu Bashiran :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Melihat akan tiap-tiap yang Maujudat (Benda yang ada).

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Bashar.


20.Kaunuhu Mutakalliman :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Berkata-kata.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum , iaitu lain daripada sifat Qudrat.



Sifat Mustahil Bagi Allah s.w.t

Wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui sifat-sifat yang mustahil bagi Allah yang menjadi lawan daripada dua puluh sifat yang wajib baginya. Maka dengan sebab itulah di nyatakan di sini sifat-sifat yang mustahil satu-persatu :

1. ‘Adam bererti “tiada”

2. Huduth bererti “baharu”

3. Fana’ bererti “binasa”

4. Mumathalatuhu Lilhawadith bererti “menyerupai makhluk”

5. Qiyamuhu Bighayrih bererti “berdiri dengan yang lain”

6. Ta’addud bererti “berbilang-bilang”

7. ‘Ajz bererti “lemah”

8. Karahah bererti “terpaksa”

9. Jahl bererti “jahil/bodoh”

10. Mawt bererti “mati”

11. Samam bererti “tuli”

12. ‘Umy bererti “buta”

13. Bukm bererti “bisu”

14. Kaunuhu ‘Ajizan bererti “keadaannya yang lemah”

15. Kaunuhu Karihan bererti “keadaannya yang terpaksa”

16. Kaunuhu Jahilan bererti “keadaannya yang jahil/bodoh”

17. Kaunuhu Mayyitan bererti “keadaannya yang mati”

18. Kaunuhu Asam bererti “keadaannya yang tuli”

19. Kaunuhu A’ma bererti “keadaannya yang buta”

20. Kaunuhu Abkam bererti “keadaannya yang bisu”



Sifat Harus Bagi Allah s.w.t

Adalah sifat yang harus pada hak Allah Ta’ala hanya satu sahaja iaitu Harus bagi Allah mengadakan sesuatu atau tidak mengadakan sesuatu atau di sebut sebagai mumkin. Mumkin ialah sesuatu yang harus ada dan tiada.


Wallahu'alam

Friday, March 11, 2011

ILMU TAUHID (BHG KELIMA)

6. Al – Wahdaniyyah.

Ertinya : Esa Allah Ta'ala pada zat , pada sifat dan pada perbuatan. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan berbilang pada zat ,pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil (yang berhubung) atau bilangan yang munfasil (yang bercerai).

Makna Esa Allah s.w.t. pada zat itu iaitu menafikan Kam Muttasil pada Zat (menafikan bilangan yang berhubung dengan zat) seperti tiada zat Allah Ta'ala tersusun daripada darah , daging , tulang ,urat dan lain-lain. Dan menafikan Kam Munfasil pada zat (menafikan bilangan yang ber-
cerai pada zat Allah Ta'ala)seperti tiada zat yang lain menyamai zat Allah Ta'ala.

Makna Esa Allah s.w.t pada sifat iaitu menafikan Kam muttasil pada Sifat (menafikan bilangan yang berhubung pada sifatnya) iaitu tidak sekali-kali bagi Allah Ta'ala pada satu-satu jenis sifatnya dua qudrat dan menafikan Kam Munfasil pada sifat ( menafikan bilangan–bilangan yang bercerai pada sifat ) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna.

Makna Esa Allah s.w.t. pada perbuatan iaitu menafikan Kam Muttasil pada perbuatan (menafikan bilangan yang bercerai –cerai pada perbuatan) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Allah bahkan segala apa yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Allah s.w.t sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikat-nya seperti kufur dan maksiat sama ada perbuatan dirinya atau
perbuatan yang lainnya ,semuanya perbuatan Allah s.w.t dan tidak sekali-kali hamba mempunyai perbuatan pada hakikatnya hanya pada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas.

Maka wajiblah bagi Allah Ta'ala bersifat Wahdaniyyah dan ternafi bagi Kam yang lima itu iaitu :
1) Kam Muttasil pada zat.
2) Kam Munfasil pada zat.
3) Kam Muttasil pada sifat.
4) Kam Munfasil pada sifat.
5) Kam Munfasil pada perbuatan.

Maka tiada zat yang lain , sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat , sifat dan perbuatan Allah s.w.t. Dan tertolak segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada
menyengutukan Allah Ta'ala dan perkara-perkara yang menjejaskan
serta merosakkan iman.



7. Al – Qudrah :

Ertinya : Kuasa qudrah Allah s.w.t. memberi bekas pada mengadakan meniadakan tiap-tiap sesuatu.

Pada hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang thabit (tetap) berdiri pada zat Allah s.w.t. yang mengadakan tiap-tiap yang ada dan meniadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan iradah.

Adalah bagi manusia itu usaha dan ikhtiar tidak boleh memberi bekas pada mengadakan atau meniadakan, hanya usaha dan ikhtiar pada jalan menjayakan sesuatu. Kepercayaan dan iktiqad manusia di dalam perkara ini berbagai-bagai fikiran dan fahaman seterusnya membawa berbagai-bagai kepercayaan dan iktiqad.

1) Iktiqad Qadariah :

Perkataan qadariah iaitu nisbah kepada qudrat . Maksudnya orang yang beriktiqad akan segala perbuatan yang dilakukan manusia itu sama ada baik atau jahat semuanya terbit atau berpunca daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri dan sedikitpun tiada bersangkut-paut dengan kuasa Allah s.w.t.

2) Iktiqad Jabariah :

Perkataan Jabariah itu nisbah kepada Jabar (Tergagah) dan maksudnya orang yang beriktiqad manusia dan makhluk bergantung kepada qadak dan qadar Allah semata-mata (tiada usaha dan ikhtiar atau boleh memilih samasekali).

3) Iktiqad Ahli Sunnah Wal – Jamaah :

Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaahialah orang yang mengikut perjalanan Nabi dan perjalanan orang-orang Islam iaitu beriktiqad bahawa hamba itu tidak digagahi semata-mata dan tidak memberi bekas segala perbuatan yang disengajanya, tetapi ada perbuatan yang di sengaja pada zahir itu yang dikatakan usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas sebenarnya sengaja hamba itu daripada Allah Ta'ala jua. Maka pada segala makhluk ada usaha dan ikhtiar pada zahir dan tergagah pada batin dan ikhtiar serta usaha hamba adalah tempat pergantungan taklif (hukum) ke atasnya dengan suruhan dan tegahan (ada pahala dan dosa).



8. Al – Iradah :

Ertinya : Menghendaki Allah Ta'ala. Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau tiadanya.

Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada Zat Allah Ta'ala yang menentukan segala perkara yang harus atau setengah yang harus atas mumkin . Maka Allah Ta'ala yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang diperbuatnya. Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada Allah Ta'ala tentang rezeki , umur , baik , jahat , kaya , miskin dan sebagainya serta wajib pula beriktiqad manusia ada mempunyai nasib ( bahagian ) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Janganlah kamu lupakan nasib ( bahagian ) kamu di dalam dunia " .
( Surah Al – Qasash : Ayat 77 )


Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah perintah Allah Ta'ala dan menjauhi akan segala larangan dan tegahannya dan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.



9. Al – Ilmu :

Ertinya : Mengetahui Allah Ta'ala .

Maksudnya nyata dan terang meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada yang Maujud (ada) atau yang Ma'adum (tiada). Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada (thabit) qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta'ala.

Allah Ta'ala Maha Mengetahui akan segala sesuatu sama ada perkara Itu tersembunyi atau rahsia dan juga yang terang dan nyata. Maka Ilmu Allah Ta'ala Maha Luas meliputi tiap-tiap sesuatu di Alam yang fana' ini.


10. Al – Hayat .

Ertinya : Hidup Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala. Segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat Idrak (pendapat) Iaitu : sifat qudrat , iradat , Ilmu , Sama’ Bashar dan Kalam.


11. Al - Samu’ :

Ertinya : Mendengar Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada Zat Allah Ta’ala. Iaitu dengan terang dan nyata pada tiap-tiap yang maujud sama ada yang maujud itu qadim seperti ia mendengar kalamnya atau yang ada itu harus sama ada atau telah ada atau yang akan diadakan.

Tiada terhijab ( terdinding ) seperti dengan sebab jauh , bising , bersuara , tidak bersuara dan sebagainya. Allah Ta'ala Maha Mendengar akan segala yang terang dan yang tersembunyi. Sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Dan ingatlah Allah sentiasa Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".
( Surah An-Nisa'a - Ayat 148 )



12. Al – Bashar :

Ertinya : Melihat Allah Ta'ala .

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta'ala. Allah Ta'ala wajib bersifat Maha Melihat sama ada yang dapat dilihat oleh manusia atau tidak , jauh atau dekat , terang atau gelap , zahir atau tersembunyi dan sebagainya. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan ".
( Surah Ali Imran - Ayat 163 )




13 . Al – Kalam :

Ertinya : Berkata-kata Allah Ta'ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada, yang qadim lagi azali, berdiri pada zat Allah Ta'ala. Menunjukkan apa yang diketahui oleh ilmu daripada yang wajib, maka ia menunjukkan atas yang wajib sebagaimana firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

" Aku Allah , tiada tuhan melainkan Aku .........".
( Surah Taha - Ayat 14 )


Dan daripada yang mustahil sebagaimana firman Allah Ta'ala yang
bermaksud :

" ........( kata orang Nasrani ) bahawasanya Allah Ta'ala yang ketiga daripada tiga..........".
( Surah Al-Mai'dah - Ayat 73 )


Dan daripada yang harus sebagaimana firman Allah Ta'ala yang
bermaksud :

" Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu".
( Surah Ash. Shaffaat – Ayat 96 )


Kalam Allah Ta'ala itu satu sifat jua tiada berbilang. Tetapi ia berbagai-bagai jika dipandang dari perkara yang dikatakan iaitu :

1) Menunjuk kepada 'amar (perintah) seperti tuntutan mendiri solat dan lain-lain kefardhuan.
2) Menunjuk kepada nahyu (tegahan) seperti tegahan mencuri dan lain-lain larangan.
3) Menunjuk kepada khabar (berita) seperti kisah-kisah Firaun dan lain-lain.
4) Menunjuk kepada wa'ad (janji baik) seperti orang yan taat dan beramal soleh akan dapat balasan syurga dan lain-lain.
5) Menunjuk kepada wa'ud (janji balasan seksa) seperti orang yang menderhaka kepada ibubapa akan dibalas dengan azab seksa yang amat berat.


14. Kaunuhu Qadiran :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Berkuasa Mengadakan Dan Mentiadakan.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Qudrat.


15.Kaunuhu Muridan :

Ertinya : Keadaan Allah Ta'ala Yang Menghendaki dan menentukan tiap-tiap sesuatu.

Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta'ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma'adum, iaitu lain daripada sifat Iradat.

ILMU TAUHID (BHG KEEMPAT)

Adalah sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t. yang wajib diketahui dengan tafsil (satu persatu) iaitu 20 sifat :

1. Wujud : Ertinya Ada

Iaitu tetap dan benar yang wajib bagi zat Allah Ta'ala yang tiada disebabkan dengan sesuatu sebab. Maka wujud ( Ada ) – disisi Imam Fakhru Razi dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi bukan ia a'in maujud dan bukan lain daripada a'in maujud , maka atas qaul ini adalah wujud itu Haliyyah (yang menepati antara ada dengan tiada) .

Tetapi pada pendapat Imam Abu Hassan Al-Ashaari wujud itu 'ain Al-maujud , kerana wujud itu zat maujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan kepada zat. Kepercayaan bahawa wujudnya Allah s.w.t. bukan sahaja di sisi agama Islam tetapi semua kepercayaan di dalam dunia ini mengaku menyatakan Tuhan itu ada.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Dan jika kamu tanya orang-orang kafir itu siapa yang menjadikan langit dan bumi nescaya berkata mereka itu Allah yang menjadikan……………"
( Surah Luqman : Ayat 25 )


2. Qidam : Ertinya Sedia

Pada hakikatnya menafikan ada permulaan wujud Allah s.w.t kerana Allah s.w.t. menjadikan tiap-tiap suatu yang ada, yang demikian tidak dapat tidak keadaannya lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu itu. Jika sekiranya Allah Ta'ala tidak lebih dahulu daripada tiap-tiap sesuatu, maka hukumnya adalah mustahil dan batil. Maka apabila disebut Allah s.w.t. bersifat Qidam maka jadilah ia qadim. Di dalam Ilmu Tauhid ada satu perkataan yang sama maknanya dengan Qadim iaitu Azali. Setengah ulama menyatakan bahawa kedua-dua perkataan ini sama maknanya iaitu sesuatu yang tiada permulaan baginya. Maka qadim itu khas dan azali itu am. Dan bagi tiap-tiap qadim itu azali tetapi tidak boleh sebaliknya, iaitu tiap-tiap azali tidak boleh disebut qadim. Adalah qadim dengan nisbah kepada nama terbahagi kepada empat bahagian :

1 ) Qadim Sifati ( Tiada permulaan sifat Allah Ta'ala )
2 ) Qadim Zati ( Tiada permulaan zat Allah Ta'ala )
3 ) Qadim Idhafi ( Terdahulu sesuatu atas sesuatu seperti terdahulu bapa nisbah kepada anak )
4 ) Qadim Zamani ( Lalu masa atas sesuatu sekurang-kurangnya satu tahun )

Maka Qadim Haqiqi ( Qadim Sifati dan Qadim Zati ) tidak harus dikatakan lain daripada Allah Ta'ala.


3. Baqa' : Ertinya Kekal

Sentiasa ada, kekal ada dan tiada akhirnya Allah s.w.t . Pada hakikatnya ialah menafikan ada kesudahan bagi wujud Allah Ta'ala. Adapun yang lain daripada Allah Ta'ala , ada yang kekal dan tidak binasa Selama-lamanya tetapi bukan dinamakan kekal yang hakiki ( yang sebenar ) Bahkan kekal yang aradhi ( yang mendatang jua seperti Arasy, Luh Mahfuz, Qalam, Kursi, Roh, Syurga, Neraka, jisim atau jasad para Nabi dan Rasul ).

Perkara –perkara tersebut kekal secara mendatang tatkala ia bertakluq dengan Sifat dan Qudrat dan Iradat Allah Ta'ala pada mengekalkannya. Segala jisim semuanya binasa melainkan 'ajbu Az-zanabi ( tulang kecil seperti biji sawi letaknya di tungking manusia, itulah benih anak Adam ketika bangkit daripada kubur kelak ). Jasad semua nabi-nabi dan jasad orang-orang syahid berjihad Fi Sabilillah yang mana ianya adalah kekal aradhi jua. Disini nyatalah perkara yang diiktibarkan permulaan dan kesudahan itu terbahagi kepada tiga bahagian :

1) Tiada permulaan dan tiada kesudahan iaitu zat dan sifat Alllah s.w.t.
2) Ada permulaan tetapi tiada kesudahan iaitu seperti Arash , Luh Mahfuz , syurga dan lain-lain lagi.
3) Ada permulaan dan ada kesudahan iaitu segala makhluk yang lain daripada perkara yang diatas tadi ( Kedua ).


4. Mukhalafatuhu Ta'ala Lilhawadith. Ertinya : Bersalahan Allah Ta'ala dengan segala yang baharu.

Pada zat , sifat atau perbuatannya sama ada yang baru , yang telah ada atau yang belum ada. Pada hakikat nya adalah menafikan Allah Ta'ala menyerupai dengan yang baharu pada zatnya , sifatnya atau perbuatannya.

Sesungguhnya zat Allah Ta'ala bukannya berjirim dan bukan aradh Dan tiada sesekali zatnya berdarah, berdaging, bertulang dan juga bukan jenis leburan, tumbuh-tumbuhan, tiada berpihak, tiada bertempat dan tiada dalam masa. Dan sesungguhnya sifat Allah Ta'ala itu tiada bersamaan dengan sifat yang baharu kerana sifat Allah Ta'ala itu qadim lagi azali dan melengkapi ta'aluqnya. Sifat Sama' ( Maha Mendengar ) bagi Allah Ta'ala berta'aluq ia pada segala maujudat tetapi bagi mendengar pada makhluk hanya pada suara sahaja. Sesungguhnya di dalam Al-Quraan dan Al-Hadith yang menyebut muka dan tangan Allah s.w.t., maka perkataan itu hendaklah kita iktiqadkan thabit (tetap) secara yang layak dengan Allah Ta'ala Yang Maha Suci daripada berjisim dan Maha Suci Allah Ta'ala bersifat dengan segala sifat yang baharu.


5. Qiamuhu Ta'ala Binafsihi : Ertinya : Berdiri Allah Ta'ala dengan sendirinya .

Tidak berkehendak kepada tempat berdiri (pada zat) dan tidak berkehendak kepada yang menjadikannya. Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan Allah s.w.t. berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya. Allah s.w.t itu terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu sama ada pada perbuatannya atau hukumannya.

Allah s.w.t menjadikan tiap-tiap sesuatu dan mengadakan undang-undang semuanya untuk faedah dan maslahah yang kembali kepada sekalian makhluk. Allah s.w.t menjadikan sesuatu ( segala makhluk ) adalah kerana kelebihan dan belas kasihannya bukan berhajat kepada faedah. Allah s.w.t. Maha Terkaya daripada mengambil apa-apa manafaat di atas kataatan hamba-hambanya dan tidak sesekali menjadi mudharat kepada Allah Ta'ala atas sebab kemaksiatan dan kemungkaran hamba-hambanya. Apa yang diperintahkan atau ditegah pada hamba-hambanya adalah perkara yang kembali faedah dan manafaatnya kepada hamba-hambanya jua.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Barangsiapa berbuat amal yang soleh (baik) maka pahalanya itu pada dirinya jua dan barangsiapa berbuat jahat maka balasannya (seksaannya) itu tertanggung ke atas dirinya jua ".
( Surah Fussilat : Ayat 46 )


Syeikh Suhaimi r.a.h berkata adalah segala yang maujudat itu dengan nisbah berkehendak kepada tempat dan kepada yang menjadikannya, terbahagi kepada empat bahagian :

1) Terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadikannya iaitu zat Allah s.w.t.

2) Berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya iaitu segala aradh ( segala sifat yang baharu ).

3) Terkaya daripada zat tempat berdiri tetapi berkehendak kepada yang menjadikannya iaitu segala jirim. ( Segala zat yang baharu ).

4) Terkaya daripada yang menjadikannya dan berdiri ia pada zat iaitu sifat Allah Ta'ala.

Tuesday, March 8, 2011

ILMU TAUHID (BHG KETIGA)

MENGENAL ALLAH S.W.T.


1. Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.

2. Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.

3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-

a) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.

b) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan sifatyang wajib tersebut.


4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-

a) Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak dinamakan mengenal Allah s.w.t.

b) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.

c) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan taqlid.


5. Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir. Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).

6. Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.

7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-

a) Taqlid Jazam (putus)
- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).

b) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau waham(tiada putus).


8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.

9. Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.

10. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.

Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )

Sunday, March 6, 2011

ILMU TAUHID (BHG KEDUA)


HUKUM ‘AQAL

Sesungguhnya setiap orang yang hendak mengenal Allah s.w.t. dan mengetahui sifat-sifatnya , maka wajiblah lebih dahulu ia mengetahui akan hukum 'aqal dan bahagiannya.

Pengertian Hukum 'Aqal :

Hukum ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain dengan tidak berkehendak kepada dicuba pada menetapkan sesuatu perkara itu ( Adat ) dan tidak tergantung kepada sesuatu perbuatan yang diperbuat oleh mukallaf ( bersalahan dengan hukum Syari'e ).

Pengertian 'Aqal :

Adalah 'Aqal itu satu sifat yang dijadikan Allah s.w.t. pada manusia sehingga dengan itu manusia berbeza dengan haiwan. Maka dengannya boleh menerima ilmu Nazhariyyah ( Ilmu yang berkehendakkan berfikir ) dan boleh mentadbirkan segala pekerjaan dengan fikiran yang halus dan daripadanya tempat lahirnya berbagai-bagai manafaat dan kebahagiaan kepada manusia.

Dan aqal itu berhajat kepada undang-undang Syarak dan undang-undang Syarak juga tidak boleh berjalan mengikut yang dikehendaki melainkan berhajat kepada 'aqal. Dan di antara keduanya berhajat antara satu dengan yang lain ( ' Aqal berhajat kepada Syarak dan Syara' berhajat kepada 'Aqal ) .

Bahagian Hukum 'Aqal :

Adalah hukum 'aqal itu terbahagi kepada tiga :

1) Wajib 'Aqli iaitu perkara yang tiada diterima 'aqal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada.Yang demikian wajib bagi Allah s.w.t. bersifat qidam maka maksudnya ialah mesti ada Allah s.w.t bersifat qidam.

2) Mustahil 'Aqli iaitu perkara yang tidak diterima 'aqal akan adanya , hakikatnya mesti tiada . Yang demikian mustahil Allah s.w.t. bersifat baharu maka maksudnya tidak sekali-kali Allah s.w.t. itu bersifat baharu.

3) Harus 'Aqli iaitu perkara yang diterima 'aqal adanya dan tiadanya, maka hakikatnya boleh menerima ada dan tiada seperti keadaan seseorang itu adakalanya boleh bergerak atau diam.

Bahagian Wajib 'Aqli :

Adalah wajib 'aqli terbahagi dua :

1) Wajib 'aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan kenyataan seperti menghukumkan satu itu tetap separuh daripada dua .

2) Wajib 'aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatang- kan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya itu seperti menghukumkan wajib adanya Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini berserta dengan bahasan dan dalil-dalilnya.

Bahagian Mustahil 'Aqli :

Adalah Mustahil 'Aqli terbahagi dua :

1) Mustahil 'Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil seperti contoh menghukumkan tiada terima ;aqal satu itu separuh daripada tiga.

2) Mustahil 'Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumannya itu seperti menghukumkan tiada terima 'aqal ada yang mensyirik bagi Allah s.w.t. maka dengan itu 'aqal menghukumkan mustahil ada syirik bagi Allah s.w.t itu melainkan dengan diadakan bahasan dengan mendatangkan dalil.

Bahagian Harus 'Aqli :

Adalah Harus A'qli itu terbahagi dua :

1) Harus 'Aqli Dharuri - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh terima ada dan tiada dengan tidak berkehendakkan bahasan dan mendatangkan dalil seperti menghukumkan keadaan seseorang itu adakalanya ia bergerak atau diam .

2) Harus 'Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh dijadikan atau tiada boleh dengan berkehendak kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti contoh memberikan ganjaran pahala kepada orang yang tidak beramal , maka 'aqal menghukumkan hal itu adalah harus melainkan dengan diadakan bahasan dan dalil-dalil yang menunjukkan harus pada Allah s.w.t. memberikan seperti itu .

KEJADIAN ALAM

Sesungguhnya apabila seseorang itu berfikir dan meneliti kejadian alam ini maka ia dapat petunjuk bahawa Allah s.w.t yang telah menjadikannya.

1. Melihat sesuatu kejadian yang ada disekeliling kita seperti kerusi atau meja dan sebagainya maka kita dapati kerusi atau meja tersebut tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang membuatnya dan yang mengadakannya.

Maka dengan itu kita beri’tiqad dan percaya alam ini tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang menjadikan dan menciptakannya tentulah Allah s.w.t yang Maha Pencipta.

2. Kita meneliti dan mengkaji dengan lebih jauh lagi akan perbuatan-perbuatan orang yang membuat kerusi atau meja ada yang berbagai bentuk dan rupa, yang mana mereka sentiasa membuat dan mengukir kerusi atau meja tadi dengan lebih baik dan lebih halus lagi ukirannya tetapi tidak pernah lengkap dan sempurna.

Maka itu kelemahan dan kekurangan manusia yang mengikut kadar dan ilmu serta kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala. Maka kita menyedari bahawa Allah Ta’ala adalah Maha Sempurna di dalam mencipta kejadian alam ini.

3. Kita melihat akan kejadian langit dan bumi ini dan alam cakerawala ini daripada manusia, bulan, matahari, haiwan, tumbuh-tumbuhan yang mana setiap jenis dijadikan dengan cukup lengkap dan sempurna. Contohnya manusia yang dijadikan adalah sebaik-baik kejadian iaitu: berakal, bertutur, mendengar dan lain-lain sifat lagi.

Dan apabila kita perhatikan alam cekerawala seperti bumi, langit, bulan, matahari dan lain-lain yang mana semuanya dicipta untuk manafaat dan keperluan semua makhluk yang mana semua itu melemahkan akal para cerdik pandai memikirkan segala kejadian tersebut yang tiada tolok bandingnya. Maka nyatalah di sini bahawa penciptanya mempunyai kuasa yang Maha Sempurna, Ilmu yang Maha luas dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan.

Sesungguhnya dari Kaedah Syar’iyyah dan berita para Nabi bahawa yang menjadikan alam ini ialah Allah s.w.t kerana segala perbuatanNya menunjukkan bekas bagi segala sifat yang Maha Suci dan tidaklah makhluk dapat mengetahui hakikatnya kerana segala makhluk ciptaanNya sentiasa bersifat lemah dan mempunyai segala kekurangan.

Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )

Saturday, March 5, 2011

ILMU TAUHID (BHG PERTAMA)

Pengertian Tauhid

Mengesakan Allah , tuhan yang tiada sekutu bagiNya, yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, kesucian, kebesaran dan keadilan .

Pengertian Iman

Keyakinan yang kukuh dengan hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota.

Rukun Iman dan Pengertiannya

1. Percaya kepada Allah

Sifat Allah
Wajib : 20
Mustahil : Lawan Sifat 20
Harus : 1

2. Percaya kepada Malaikat

Malaikat yang wajib dipercayai secara tafsil :

a. Jibril - Menyampaikan wahyu
b. Mikail - Membawa rezeki
c. Israfil - Meniup sangkakala
d. 'Izrail - Mencabut nyawa
e. Munkar - Menyoal mayat di dalam kubur
f. Nakir - Menyoal mayat di dalam kubur
g. Raqib - Mencatit amalan kebajikan
h. Atid - Mencatit amalan kejahatan
i. Malik - Menjaga pintu neraka
j. Ridwan - Menjaga pintu syurga

3. Percaya kepada Kitab

Kitab Samawi
a. Al-Quran - Nabi Muhammad s.a.w. (Bahasa Arab)
b. Injil - Nabi Isa a.s. (Bahasa Siryani)
c. Zabur - Nabi Daud a.s. (Bahasa Qibti)
d. Taurat - Nabi Musa a.s. (Bahasa Ibrani)


4. Percaya kepada Rasul

1. Adam 2. Idris 3. Nuh 4. Hud 5. Saleh 6. Ibrahim 7. Luth
8. Ismail 9. Ishak 10. Ya'qub 11. Yusuf 12. Ayub 13. Syu'aib
14. Musa 15. Harun 16. Zulkifli 17. Daud 18. Sulaiman
19. Ilyas 20. Ilyasa' 21. Yunus 22. Zakaria 23. Yahya 24. Isa
25. Muhammad S.A.W.


5. Percaya kepada Hari Akhirat

6. Percaya kepada Qadha’ dan Qadar

a. Erti Qadha' adalah perlaksanaan setiap satu perkara
b. Erti Qadar pula adalah ketentuan setiap satu perkara
c. Oleh itu percaya kepada Qadha' dan Qadar adalah setiap perkara yang terjadi itu adalah kehendak dan ketentuan Allah


PERMULAAN ILMU TAUHID

Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid
Perkataan 'Mabadi' itu bahasa Arab jama' daripada perkataan mabda' Bererti : Punca , mula terbit . Maksudnya keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga Pembukaan sesuatu ilmu. Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :

1) Nama ilmu ini :
Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu 'Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya :
Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadith.

3) Kandungannya :
Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allah dan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I'ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan tersebut.

4) Tempat bahasannya (Maudhu'nya) adalah empat :

a. Pada zat Allah Ta'ala dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padaNya.

b. Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib bagiNya, Sifat-sifat yang mustahil atasNya dan sifat yang harus padanya.

c. Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.

d. Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari Qiamat.


5) Faedah Ilmu Tauhid :
Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain :
Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan :
Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta'ala ialah nabi Adam a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.

8) Hukumnya :
Iaitu fardhu A'in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .

9) Kelebihannya :
Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya."
( Riwayat Hakim )


10) Kesudahan ilmu ini :
Iaitu dapat membezakan di antara 'aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.


Sumber : www.al-azim.com

Friday, March 4, 2011

Kenali JIN IFRIT

Ifrit adalah nama bagi segolongan jin kafir yang di antara mereka diberi kekuatan dan kepintaran oleh Allah s.w.t. yang mempunyai hati yang busuk terhadap manusia.

Dalam peristiwa antara Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis, termaktub di dalam al-Quran tentang kisah burung Hud-hud yang memberitahu kepada Nabi Sulaiman tentang adanya seorang raja perempuan di negeri Saba', yang terletak di selatan semenanjung Arab. Dalam Surah an-Nahl ayat 34 diceritakan tentang kesuburan tanah Saba' yang dapat mengeluarkan hasil bumi berlipat ganda. Ratu Saba' yang bernama Balqis mempunyai singahsana yang diperbuat daripada emas, bertatahkan batu permata yang mahal-mahal dan indah-indah. Dikatakan bahawa nama ayahnya ialah Shurahil, ibunya daripada bangsa jin bukan manusia.

Menurut Ath-Tha'labi dan al-Hafiz Ibn Kathir, bapa Ratu Balqis adalah raja besar. la enggan berkahwin dengan seorang perempuan Yaman. la telah jatuh cinta dengan seorang perempuan jin namanya Rayhanah binti As-Sakn dan melahirkan Ratu Balqis. Nama yang dipilih oleh ibunya untuk Ratu Balqis ialah Talqamah. Setengah pendapat mengatakan Balqamah.

Burung Hud-hud telah memberitahu Nabi Sulaiman bahawa Ratu Balqis dan kaumnya sujud kepada matahari (an-Naml ayat 24). Diterangkan juga bahawa biarpun kepercayaan mereka kepada Allah itu ada, namun yang mereka utamakan adalah penyembahan terhadap matahari. Syaitan telah memesongkan kepercayaan mereka. Mereka telah dipujuk-pujuk, dirayu oleh iblis dan syaitan hingga mereka terpedaya. Mereka merasakan bahawa amalan dan kepercayaan yang mereka lakukan itu adalah amalan yang baik dan benar.

Mendengarkan berita Hud-hud itu, Nabi Sulaiman telah berjanii akan menyelidiki kebenaran kata-kata tersebut. Setelah itu Nabi Sulaiman telah memerintahkan Hud-hud menghantar surat kepada Ratu Balqis. Baginda telah memanggil pembesar-pembesarnya apabila menerima surat yang menyuruhnya tunduk dan tidak membesarkan diri itu. Ratu Balqis mengatakan bahawa surat tersebut adalah surat mulia dari seorang raja yang besar lagi perkasa, yang memakai nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Para pembesar sepakat menjawab bahawa mereka mempunyai kelengkapan yang kuat dan cukup namun demikian segala keputusan terletak pada ratu sendiri.

Ratu Balqis telah mengambil keputusan untuk memberi hadiah kepada Nabi Sulaiman (an-Naml ayat 35), kerana menurut kebiasaannya hadiah itu boleh mempengaruhi keputusan seseorang. Menurut tafsir Ibn Abbas, Ratu Balqis berkata kepada para pembesarnya kalau hadiah itu diterima, ini menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman itu hanya seorang raja dan perlu diperangi. Jika hadiah itu ditolak ini menunjukkan bahawa ia adalah seorang yang perlu diikuti. Nabi Sulaiman telah menolak hadiah tersebut dan mengancam akan memerangi Ratu Balqis.

Setelah utusannya kembali semula ke Saba', Ratu Balqis merasakan bahawa kerajaannya tidak berupaya hendak melawan Nabi Sulaiman. Tidak ada faedahnya kalau ia bersikap membesarkan diri. Kemudian baginda memerintahkan utusan itu kembali semula mengadap Nabi Sulaiman dengan berita ia akan segera datang bersama raja-raja dalam negerinya untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut tentang agama yang diperkatakannya itu. Setelah itu baginda pun memerintahkan pengawal-pengawal istana mengemas singahsana yang diperbuat daripada emas padu bertatahkan maknikam, batu zamrud, zabarzad dan mutiara itu untuk disimpan dalam sebuah peti besar tujuh lapis dan disuruh kunci serta dipelihara dengan baik agar tidak ada yang mendekati duduk di atasnya atau melihatnya sehingga ia kembali dari menemui Nabi Sulaiman. Kemudian baginda pun keluar menuju ke Sham bersama-sama rombongannya.

Semasa Ratu Balqis dalam perjalanan menuju ke istana Nabi Sulaiman, dalam masa yang sama, Nabi Sulaiman telah memerintahkan jin-jin melaporkan perjalanan tersebut. Setelah beberapa hari sahaja lagi rombongan itu akan tiba ke istana Nabi Sulaiman, baginda telah bertanya kepada orang-orang besarnya jika ada di antara mereka yang boleh membawa singgahsana Ratu Balqis ke tempat Nabi Sulaiman sebelum ia datang menyerah diri menerima agama yang didakwahkan. Mendengarkan pertanyaan tersebut salah satu ifrit telah berjanji bahawa ia akan membawa singahsana Ratu Balqist sebelum Nabi Sulaiman berdiri dari tempat duduknya. Ifrit berjanii dengan mengatakan bahawa yang dikatakan itu adalah benar. Singahsana tersebut tidak akan rosak, tidak akan terdapat cacat cela barang sedikit pun terhadap singahsana tersebut biarpun antara Palastin dan Saba itu jaraknya beratus-ratus batu seperti yang tersebut dalam al-Quran

Surah an-Naml ayat 38 & 39. (Maksudnya)

(Nabi Sulaiman) berkata, wahai orang-orang besar, siapakah di antara kamu yang akan membawakan singahsananya sebelum dia datang kepadaku dalam keadaan berserah diri. Berkata ifrit (yang cerdik) daripada bangsa jin, aku akan datangkan kepadamu sebelum engkau berdiri dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku berupaya dan boleh dipercayai untuk melakukan demikian.

Mendengarkan janji ifrit sedemikian rupa, seorang lelaki alim ahli kitab bernama Asif bin Burkhya, yang dikatakan sebagai setiausaha peribadi Nabi Sulaiman telah sanggup mendatangkan singahsana tersebut sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip. Kesanggupan ini termaktub dalam :-

Surah an-Naml ayat 40: (Maksudnya)

Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab, Aku akan datangkan singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkelip. Maka setelah dilihatnya singgahsana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: Ini adalah kurnia Tuhanku untuk menguji aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (alam nikmatnya). Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Lagi Maha Mulia.


Terdapat berbagai-bagai riwayat tentang lelaki ahli al-Kitab yang sanggup membawa singahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata yang mencabar keupayaan ifrit tadi. Selain nama Asif tadi, ada riwayat mengatakan bahawa orang tadi ialah Nabi Hidir, manakala riwayat lain pula mengatakan bahawa orang itu sebenarnya ialah Nabi Sulaiman sendiri.

Biar apa perbezaan riwayat mengenainya, maksud sebenar yang perlu difahami di sini ialah ifrit yang tersebut dalam al-Quran ini adalah daripada jenis jin yang bijak dan mempunyai keupayaan luar biasa, yang umumnya kebijaksanaan seperti ini tidak dapat ditandingi atau dilakukan oleh manusia biasa. Namun demikian berdasarkan peristiwa tersebut ternyata bahawa manusia yang berilmu itu lebih bijak dan berupaya mengalahkan kekuatan ifrit yang begitu perkasa dan bijaksana. Jelasnya bahawa ifrit adalah daripada golongan jin. Di antara mereka ada yang bijak dan tidak bijak. Namun demikian, umumya tabiat ifrit adalah untuk merosakkan manusia. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ifrit pernah datang untuk menggoda supaya Rasulullah terputus daripada mengerjakan sembahyangnya:

Sesungguhnya ada satu ifrit daripada golongan jin mencuba ke atasku (lalu melintas di hadapanku) malam tadi untuk mengoda agar sembahyangku putus.

Tuesday, March 1, 2011

Kenali Iblis dan Syaitan sebagai Pedoman Buat Kita Waspada.....

Huraian dibawah merupakan beberapa siri dari beberapa buku yang ada, dan semoga bermanfaat. Kebenaran hanya datang dari Allah dan kekurangan dan kesalahan adalah kerana kebodohan penulis sendiri. Adapun maksud dan tujuan dari penulisan ini adalah untuk waspada bahawa dalam suatu perilaku kebaikan masih terdapat jerat syaitan lebih-lebih lagi yang nyata-nyata merupakan suatu kemungkaran.

Dalam perjalanan kehidupan manusia untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, sudah menjadi ketetapan Allah bahawa iblis dan keturunannya syaitan bertekad akan dan selalu menjerumuskan manusia agar pencapaian kebahagiaan manusia yang hakiki tersebut gagal.

Ketika seorang hamba baik yang sedang berada dalam kesesatan atau kemungkaran, mahupun yang sedang dalam proses memperbaiki diri (taubat), Iblis dan syaitan tidak akan pernah berputus asa untuk menjerumuskan hamba Allah agar menjadi pengikutnya. Jika gagal dengan cara satu, dia akan gunakan cara dua, jika gagal dia akan gunakan cara tiga dan seterusnya, dan seterusnya....

Penjerumusan seorang hamba oleh syaitan boleh dalam berbagai bentuk dan cara, baik sesuatu yang kelihatan atau pun tidak secara buruk dan baiknya perilaku manusia. Maksudnya, kalau ianya berupa keburukan sudah jelas perilaku syaitan terdapat di dalamnya, misal engkar perintah Allah, pembunuhan, zalim, merugikan orang lain, fitnah, musyrik, mabuk dan lain-lain. Tetapi boleh juga perangkap terdapat pada suatu perilaku yang bermula dari sesuatu yang baik. Misal, seorang ahli ibadah yang sangat rajin beribadah, sehingga teman-teman atau sesiapa sahaja memujinya yang akan membuat dia terjerat kepada sifat ujub apalagi takabbur (walau tidak terasa), maka syaitan telah berhasil menjeratnya. Atau misalnya, ketika manusia sedang solat, padahal manusia itu mampu melaksanakannya dengan diawali wudhu yang sempurna, pelaksanaannya tepat pada waktu, tetapi pada saat melaksanakan solatnya, dia dibuat tergesa-gesa sehingga seperti istilah dari Nabi s.a.w. ”....bagaikan ayam yang sedang mematuk makanan”, maka yang demikian itu bererti, cambuk atau rantai yang memang ”selalu” diikatkan oleh syaitan pada leher manusia yang sedang solat berhasil menarik-narik cambuk tersebut ke atas dan kebawah yang membuat solatnya terkesan seperti ”ayam mematuk makanannya”, sehingga mengakibatkan gerakannya tiada tama'ninah, mensia-siakan solat.

Jadi apapun bentuknya, syaitan akan selalu mendampingi manusia supaya terjerat di dalam perangkapnya. Oleh kerana itu, mari kita semak beberapa hal yang boleh kita jadikan panduan agar kita mengetahui setiap atau beberapa perilaku kita yang didalamnya terdapat jerat syaitan.

Mengamati perilaku iblis dan syaitan

Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan dari api dan bersifat ”ruhaniah” dan dilengkapi akal dan diperintahkan untuk mengabdi kepada Allah seperti halnya manusia. Beberapa penampilan jin dihadapan manusia terdapat dalam 3 bentuk:

a. Menyerupai anjing, kucing, ular, kalajengking dan berbagai serangga tanah
b. Menyerupai angin yang berhembus kencang dan berdesis
c. Menyerupai manusia, iaitu Jin yang memeluk Agama Allah. Ketentuan pahala dan dosa berlaku baginya.

Syaitan merupakan anak keturunan Iblis dan juga jin yang ingkar (kafir).

Iblis merupakan nenek moyang syaitan yang pada awalnya setingkat dengan malaikat

Kelompok Iblis dan syaitan

Al-Quraisy berkata, ”iblis memiliki 5 (keturunan) yang selanjutnya menjadi kelompok pasukan-pasukannya berupa syaitan” lebih lengkapnya sebagai berikut:

1. Tsabr, iaitu syaitan yang bertugas untuk menyesatkan manusia yang sedang ditimpa musibah, seperti kematian, kecelakaan, dan kebakaran. Mereka menangis meraung-raung sambil merobek-robek atau mencarik-carik pakaian, menampar-nampar pipinya dan meneriakkan kata-kata yang bernada menyalahkan Allah SWT dan tidak menerima musibah tersebut dengan wajar

2. A’War, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia melalui nafsu syahwatnya. Syahwat dalam pengertian global: syahwat terhadap harta, keluarga, lawan jenis yang bukan muhrim, kedudukan, dan lain-lain yang sifatnya datang dari suatu hasrat tak terkendalikan.

3. Mabsuth, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia melalui perbuatan bohong dan menipu.

4. Dasim, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia dalam perceraian suami-isteri, bermusuhan dengan saudara, rakan-rakan sekerja sehingga peringkat memutuskan tali silaturrahim. Termasuk, tidak mudah memaafkan kesalahan orang lain, dan tidak bertekad meminta maaf pada saat memiliki kesalahan kepada orang lain yang mengakibatkan hubungan silaturrahim terputus.

5. Zalanbur, iaitu syaitan yang bertugas menyesatkan manusia yang berada di pasar-pasar, pasaraya dan dalam dunia perniagaan. Sehingga dalam kehidupan di pasar, pasaraya terjadi seperti lupa waktu beribadah, dan juga dalam bidang perniagaan terjadi kezaliman, seperti menipu dalam timbangan, menipu dalam jualan, tidak menitikberatkan soal halal-haram samada dalam bentuk barang dagangan, baik barangnya maupun caranya.

Syaitan sebagai musuh manusia sesungguhnya sangat arif dalam soal membolak-balikan hati manusia. Perkara utama yang syaitan lakukan untuk memesongkan hati manusia adalah dengan mengawal hawa nafsu manusia. (hawa nafsu bererti segala hal mengenai hasrat untuk mencapai sesuatu yang tidak terkawal) Sehingga kita harus waspada setiap waktu sepanjang perjalanan hidup ini.


Al-Quraisyi berkata kepada Ahmad bin Hanbal, ”Setiap pagi, iblis mengumpukan tenteranya di muka bumi”. Lalu Iblis berkata kepada mereka, ”Siapa yang berhasil menyesatkan hati umat Islam maka aku akan memberinya mahkota di atas kepalanya,”

Lalu ada syaitan berkata dengan sambutan tegas, ”Aku akan terus menggoda umat islam hingga mereka menceraikan isterinya.”

”Itu tidak cukup kerana mereka akan menikah/rujuk semua”, kata iblis

”aku akan menghasut umat islam sehingga mereka menderhakai orang tuanya, ”kata syaitan lagi.

Itu tidak cukup kerana mereka akan meminta maaf dan mentaati orang tuanya lagi”,jawab iblis.

”Aku akan menggoda umat islam terus menerus sehingga mereka akan melakukan zina,” kata syaitan yang lain.

”buah fikiran yang bagus”, kata iblis

”Aku akan menyesatkan umat islam melalui nafsu perutnya agar gemar meminum minuman keras,” kata syaitan lainnya.

”kamu juga bagus, kerana gemar pada minuman keras, manusia akan lalai dan lebih cenderung kepada permusuhan dan kejahatan-kejahatan syahwatnya”, kata iblis

”aku akan menghasut umat islam hingga mereka akan saling berbunuhan,”kata syaitan lain.

”syabas! Syabas!, itu yang betul, ” demikian kata iblis.

”Tidak satupun perintah Allah kepada hamba-Nya, kecuali iblis dan syaitan menghalanginya dengan dua tipu dayanya, iaitu menyesatkan manusia yang patuh kepada perintah Allah agar melampaui batas, antara lain dengan menambah ibadah yang tidak pernah diperintahkan, dan yang kedua bagi hamba Allah yang kurang mematuhinya dan disesatkan dengan sikap masa bodoh dan lalai”

Jika menonton berita, setiap hari ada sahaja berita hasil dari hasutan iblis dan syaitan seperti perkara yang dinyatakan di atas iaitu berzina/perkosaan, mabuk dan pembunuhan. Inilah dia hasil dari misi pasukan syaitan dan iblis tiap hari.

”sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan hanya mengajak golongannya agar menjadi penghuni neraka (Surah Fathir: 6)

”...dan janganlah sehingga kamu terpedaya oleh penipu dalam mentaati Allah” (Surah Luqman 33)

”Bukankah telah mAku perintah kepadamu wahai anak cucu Adam agar kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu (Surah Yassin 60)

Masih banyak perkara yang harus kita pelajari dalam usaha menghindarkan diri terhadap hasutan syaitan. Terdapat sekitar 13 muslihat syaitan yang harus kita waspada dan insyaAllah akan dikongsikan kemudian.

Sebelum atau pada saat kita berada dalam usaha ke arah memperbaiki diri, pada saat kita mengingat Allah, kita juga harus ingat dan sentiasa waspada dengan hasutan syaitan walau hasutan syaitan yang paling kecil/halus sekalipun dengan suatu keyakinan bahawa ”Kenyataan Iblis dan syaitan akan selalu ada dan SUDAH DIPASTIKAN akan memesongkan hati manusia ke arah kemurkaan dan kesesatan walau kita sedang berada dalam kebaikan"

Diantara yang perlu kita lakukan untuk berusaha berlindung kepada Allah agar menghindari dari bisikan dan pendekatan syaitan dalam diri kita adalah seperti berikut:

1. Isti’adzah; selalulah membaca Ta’awudz dalam setiap permulaan untuk melakukan sesuati seperti solat, membaca Al-Quran dan lain-lain aktiviti. Allah lah yang HANYA menguasai iblis dan syaitan, ertinya jika kita berlindung, maka mohon perlindungan kepada yang menguasainya, iaitu Allah SWT.

2. Al-mu’awwidzatain; membaca surah Al-Falaq dan An-Nas pada waktu-waktu tertentu, misal sebelum solat, selesai solat, sebelum pergi kerja, sebelum tidur, selesai tidur, dalam perjalanan, ketika timbul rasa marah, rasa kesal, rasa benci tidak kira dimana. Yang terutama pada saat-saat kita merasakan ada “bisikan” di dalam hati.

3. Membaca Ayat Kursi

4. Membaca surah Al-Baqarah. Terutama surah 285-286. Dalam suatu hadis dari Suhail dari ayahnya Abu Hurairah, Rasullah bersabda ”janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya rumah yang dibacakan surah Al Baqarah itu tidak akan dimasuki syaitan”

5. Selalulah berzikir, terutama kalimah Tahlil (Laa ilaha illallah) sebanyak mungkin.

6. Bertekadlah untuk MENUTUP pintu syaitan dalam diri kita dengan cara menyatakan PERANG terhadap mereka. Kekuatan lain yang utama dalam usaha menutup pintu syaitan adalah dengan BENTENG ILMU.

At-Tirmidzi meriwayatkan dalam sebuah hadis dari Ibn ’Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ”seorang faqih (orang berilmu) akan lebih berat dihadapi syaitan daripada seribu orang ahli ibadah” Ibn Abbas berkata, ”beberapa syaitan berkata kepada iblis, ”Paduka, kami merasa lebih senang dengan kematian seorang berilmu dibandingkan dengan kematian seorang ahli ibadah. Orang berilmu sangat sulit kami tundukkan, sedangkan ahli ibadah dapat kami tundukan dengan mudah....”

Sebagaimana kisah dari Syaikh Abdul Qadir Jailani yang menuturkan, ”pada suatu hari sedang melakukan perjalanan (safar), aku merasa sangat kepanasan. Waktu aku hampir mati kehausan, waktu itu ada awan hitam menaungiku dan meniupkan angin sejuk hingga air liur dalam diriku mengalir lagi. Tiba-tiba dari awan itu terdengar suara memanggilku, ”Wahai abdul qadir, aku adalah tuhanmu!”, Lalu aku bertanya kepadanya, ”Engkau kah Allah yang tidak ada tuhan selain-Nya?” Untuk kedua kalinya, suara itu menjawab ”Wahai abdul qadir, aku adalah tuhanmu. Aku telah menghalalkan apa yang haram bagimu!”
Aku berkata kepadanya, ”Sebenarnya engkau adalah syaitan!. Ketika itu, awan pun tercerai berai. Dan dari arah belakang aku mendengar suara, ”Wahai abdul qadir, engkau telah selamat dari tipu daya dan muslihatku kerana engkau benar-benar memahami agamamu. Padahal, sebelumnya, aku telah berhasil memperdaya tujuh puluh (70) orang dengan tipu daya dan muslihat yang serupa.” Seorang bertanya kepada Abdul Qadir, ”bagaimana engkau boleh mengetahui bahawa itu adalah syaitan?” Abdul Qadir menjawab,”Dari ucapannya, ”aku telah menghalalkan apa yang haram untukmu, sebab sepeninggalan Rasulullah s.a.w., tidak ada lagi yang berhak menghalalkan dan mengharamkan.”

Syaik Abdul Qadir jailani berhasil mengelak dari tipu dan dan muslihat itu, kerana dia memang orang yang berilmu dan memahami islam dengan ilmu yang benar. Boleh dibayangkan sekiranya kejadian itu berlaku kepada orang biasa seperti kita, mungkinkah kita melakukan hal yang serupa dengan Abdul Qadir?, atau malah kita meyakini bahawa yang bersuara itu adalah Allah?.

Ringkasan ini dibuat untuk berkongsi kebaikan, Kebenaran hanya datang dari Allah semata-mata. Semoga segala apa yang dikongsikan bermanafaat untuk kita bersama dalam usaha mengekang hasutan iblis dan syaitan.

Wallahu A'lam


Sumber:
1. buku ”3T (Taubat, Tasbih, Tahajud)” karya Zainal Ali Akbar
2. buku ”kiat menghindari jebakan syaitan” (terjemahan dari Makaid Syaithan)