Thursday, February 10, 2011

Siapakah Penghuni Syurga Dan Neraka?

Kisah kebangkitan dihari kiamat mempunyai pelbagai cerita. Dalam kitab-kitab agama, dalam kitab suci Al-Quran, dalam hadis Nabi s.a.w. ada dijelaskan semua masalah ini.

Setelah dibangkitkan, manusia akan dikumpulkan dalam satu padang, apa yang disebutkan “Padang Mahsyar” yang luasnya hanya Allah s.w.t. sahaja yang Maha Mengetahuinya. Disini semua makhluk akan diperhitungkan tentang amalan kebajikan semasa hidup di dunia. Allah s.w.t. sudah memberitahu menerusi Nabi dan RasulNYA mengenai hari kiamat ini.

Nasib orang-orang yang tidak percaya terhadap adanya hari kiamat terutama orang-orang kafir, maka waktu itulah mereka akan tahu bahawa kejadian kiamat itu benar-benar berlaku dan terjadi. Mereka menyesal. Apa yang mahu disesalkan, kerana semuanya sudah terlambat. Mahu pulang semula ke dunia kerana mahu berbuat amal, sudah terlambat, kerana “dunia” sudah tidak ada lagi. Dunia sudah musnah sama sekali.

Yang ada ialah dunia baru yang Allah s.w.t. ciptakan. Maka di Mahsyar ini makhluk akan dihisab dan ditimbang amal mereka. Mereka yang amalannya berat, akan dimasukkan Allah ke dalam syurga dengan nikmat. Mereka yang timbangan amalannya ringan, maka akan dimasukkan ke neraka.

Bagi orang-orang mukmin, akan menjalani hukuman dalam neraka selama mana dosa-dosa yang dibuatnya di dunia dulu. Bagi orang-orang yang derhaka, dan yang ingkar terhadap perintah Allah terutama orang-orang kafir akan terus dimasukkan ke dalam neraka bagi menjalani hukuman atas kemaksiatan yang dilakukannya dulu.

Pada hari kebangkitan (yaumul ba’ats) seluruh manusia akan digiring ke Padang Mahsyar untuk menjalani proses perhitungan (hisab). Di sana akan diputuskan siapa yang berhak masuk syurga dan siapa yang berhak masuk neraka, sesuai dengan berat-ringan (timbangan) amal perbuatannya. Kenikmatan syurga dan seksaan neraka adalah hasil akhir dari proses Hari Kiamat.

Para penghuni syurga akan kekal dengan kenikmatan syurga, begitu pula para penghuni neraka akan kekal dengan seksaan neraka kecuali sebahagian penghuni neraka yang mempunyai kadar keimanan – meskipun sedikit – kerana mereka akan diangkat ke syurga.

Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: “Adapun orang-orang yang celaka, maka (tempatnya) di dalam neraka, di dalamnya mereka mengeluarkan dan menarik nafas (dengan merintih). Mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki. Adapun orang-orang yang berbahagia, maka tempatnya di dalam syurga mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain); sebagai kurnia yang tiada putus-putusnya.” (Huud: 106-108).

Di depan telah disinggung bahawa masa di syurga dan neraka adalah masa yang kekal. Logiknya bererti nikmat yang diterima penghuni syurga tidak akan terputus (berhenti), begitu juga seksaan yang diderita penghuni neraka (tidak akan terputus juga). Tapi jika kita menelaah kembali ayat di atas, ayat tersebut menyatakan bahawa kekekalan masa, baik di syurga mahupun di neraka dinafikan oleh potongan ayat. “Mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali jika Tuhanmu menghendaki (yang lain).” Bagaimana bertentangan antara dua persepsi ini?

Jawapannya adalah bahawa penghuni neraka tidak hanya diseksa dengan api neraka saja, tetapi dengan berbagai jenis seksaan – selain seksa api neraka – seperti kedinginan yang mencekam dan berbagai seksaan lainnya yang lebih pedih dan kejam. Seksaan itulah (selain seksaan api neraka) yang dimaksud dengan ayat di atas. Maksudnya, mereka (penghuni neraka) diseksa dengan api neraka untuk selamanya, tapi tidak selalu diseksa dengan seksaan selain api neraka. Demikian halnya dengan penghuni syurga, selain mendapat syurga yang kekal, mereka juga mendapatkan berbagai kenikmatan syurga – di mana hanya Allah s.w.t. yang tahu akan hakikatnya.

No comments:

Post a Comment