Thursday, February 3, 2011

SEJARAH PENSYARIATAN SOLAT...



BAHAGIAN KETIGA – TERAKHIR

Perlaksanaan ibadat solat selepas kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. terbahagi kepada 2 peringkat. Yang pertama adalah sebelum Israk dan yang kedua selepas berlakunya Israk.

SOLAT SEBELUM PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Selepas Baginda diutuskan menjadi Rasul, tugas Beliau adalah menumpukan kepada memperbetulkan aqidah, konsep, pandangan hidup serta keimanan kepada Allah s.w.t. Yang Maha Esa dan meninggalkan pemujaan berhala. Disamping itu, Rasulullah dan sahabat juga melaksanakan amalan-amalan praktikal bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. seperti ibadat solat.

Para ulama' telah mempastikan bahwa ibadat solat yg dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya sebelum peristiwa Israk adalah solat di waktu malam (Qiyam al-Lail) Solat dalam bentuk ini telah difardhukan ke atas Baginda dan sahabat selama setahun. Baginda dan para sahabat melaksanakan solat tersebut dalam bilangan waktu dan rakaat yang tidak ditetapkan.

Sesetengah pendapat yang lain pula mengatakan bahwa Rasulullah dan sahabatnya mengerjakan solat 2 kali dalam sehari, iaitu solat Fajar (Subuh) 2 rakaat dan solat petang (Asar) 2 rakaat. Berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi.”

Menurut Abu Abdullah b Muhammad Al-Qurtubi, maksud ayat di atas ialah solat fajar dan solat Asar. Malah 2 rakaat Fajar dan 2 rakaat Asar dikerjakan di Mekah sebelum difardhukan solat lima waktu. Persoalannya adakah solat pagi dan petang itu difardhukan sebelum peristiwa Israk Mikraj.

Imam Asy-Syafi’i menjelaskan dengan katanya : “ Aku telah mendengar mereka yang aku percayai berkata, “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memfardhukan solat, kemudian Allah menasakhkannya dengan memfardhukan solat lima waktu.”

Menghurai penjelasan di atas, Imam Asy-Syafi’I menyebut dengan katanya, “Seolah-olah maksud firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Muzammil ayat 1 – 3 yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang berselimut!, Bangunlah dimalam hari, kecuali sedikit sahaja atau separuh malam atau sedikit dari separuh malam.”

Ayat ini kemudian dimansuhkan oleh ayat diakhir surah Al-Muzammil ayat 20 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengetahui bahwa kamu berdiri (solat) kurang dari dua pertiga malam atau seperdua malam atau sepertiga malam atau sedikit dari separuh malam” sehinggalah kepada ayat yang bermaksud “Bacalah apa yang mudah bagi kamu dari Al-Quran”.

Imad Ad-Din Abu Al-Fida Ismail Ibnu Kathir menerangkan : “Solat yang difardhukan sebelum peristiwa Israk adalah sebanyak 2 kali, solat sebelum naik matahari dan solat diwaktu matahari jatuh dalam waktu Asar. Solat malam juga difardhukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya selama setahun. Kemudian Allah s.w.t. menasakhkan semuanya di malam Israk dan digantikan dengan solat lima waktu, tetapi diantara solat lima waktu itu, solat fardhu subuh dan Asar, yang mana solat subuh didirikan sebelum mahari naik dan solat Asar didirikan sebelum matahari terbenam”.

Walau bagaimanapun, tiada pendapat yang sharih mengenai kefardhuan solat berkenaan. Beberapa ayat dari Al-Quran ada menyentuh perkara tersebut namun tidak menyatakan secara jelas bahawa solat-solat itu difardhukan. Contohnya didalam surah Qaf ayat 39 dan surah Al-Imran ayat 41 yang memerintahkan supaya Rasulullah s.a.w. bertasbih pagi dan petang, tidak menunjukkan solat pagi dan petang itu difardhukan.

Mmenurut sesetengah pengkaji bahawa perkataan bertasbih itu boleh dikategorikan kepada dua iaitu yang pertama “Solat” dan yang kedua diertikan tasbih itu sendiri.

Kesimpulannya disini bahawa Rasulullah dan para sahabat telah melaksanakan dan mengerjakan solat sebelum peristiwa Israk dan Mikraj.

BENTUK SOLAT SELEPAS PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Semua dari kita mengetahui dan perlu tahu bila berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj dan dimalam itulah berlakunya ataupun difardhukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya supaya melaksanakan perintah solat lima waktu.

Kemudian keesokkan harinya, ketika matahari gelincir, Allah s.w.t. mengutuskan Jibril supaya mengajarkan cara melakukan solat dan waktunya kepada Baginda. Ini berdasarkan hadis dari Abdullah b Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

Jibril mengimamkan aku (Muhammad) solat disisi Kaabah sebanyak 2 kali. Dia (Jibril) mendirikan solat Zohor bersamaku pada hari pertama semasa matahari gelincir. Dia mendirikan solat Asar bersamaku ketika baying sesuatu menyamainya. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku ketika orang berpuasa membuka puasanya. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika syafaq ( mega merah) hilang. Dia mendirikan solat Subuh bersamaku ketika diharamkan makan dan minum kepada orang berpuasa. Kemudian pada hari keduanya pula, Dia (Jibril) mendirkan solat Zohor bersama aku ketika bayang sesuatu objek menyamai objek asalnya. Dia mengerjakan solat Asar bersamaku ketika bayang sesuatu objek dua kali ganda besarnya dari objek asal. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku semasa orang berbuka puasa. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika malam berlalu satu pertiga. Dia mendirikan Subuh ketika bumi sudah cerah. Kemudian (Jibril) berpaling kepada aku sambil berkata “Wahai Muhammad! Waktu solat di antara kedua-dua waktu ini. Waktu ini juga merupakan waktu solat para nabi terdahulu”.

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa waktu solat, bentuk dan caranya bukanlah direka oleh Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. telah berfirman :

“ Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya tiada yang lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (surah Al-Najm ayat 3 – 4)

Dalam masalah ini, bilangan rakaat solat lima waktu yang difardhukan menjadi perselisihan di kalangan fuqaha, pengkaji dan penyelidik. Misalnya, al-Sya’bi, Hassan al-Basri, Maimum b Muhran dan Muhammad b Ishaq berpendapat bilangan rakkat solat lima waktu semasa difardhukan adalah dua rakaat. Kemudian selepas Baginda berhijrah ke Madinah barulah ditambah menjadi empat bagi solat Zohor, Asar dan Isyak, dalam solat bermukim atau hadr, dan dikekalkan rakaat bagi solat subuh dan solat ketika dalam musafir. Manakala Maghrib ditambah satu rakaat menjadi 3 rakaat.

Namun demikian, Abdullah b Abbas, Nafi’ b Jubair dan menurut riwayat lain dari Hassan al-Basri berpendapat bahawa bilangan rakaat bagi solat empat rakaat di dalam solat hadr dan dua rakaat dalam solat musafir adalah difardhukan semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Walau bagaimanapun pendapat yang mengatakan bilangan rakaat bagi semua solat fadhu adalah dua rakaat selepas peristiwa Israk dan Mikraj dan berubah selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu empat rakaat bagi Zohor, Asar dan Isyak manakala dikekalkan bagi solat Subuh dan ditambah 1 rakaat bagi solat Maghrib menjadi tiga rakaat adalah lebih kuat. Pendapat ini disokong oleh hadis riwayat Aisyah yang bermaksud :

“Solat difardhukan, samada ketika bermukim sebanyak dua rakaat, dua rakaat, kemudian selepas Baginda berhijrah ke Madinah dan menetap disana, ditambah pada solat hadr sebanyak dua rakaat, dua rakaat dan dikekalkan pada solat fajar dua rakaat kerana bacaan di dalam solat fajar ini panjang. Begitu juga dengan solat maghrib kerana ia solat witir di siang hari.”

2 comments: