Wednesday, February 2, 2011

SEJARAH PENSYARIATAN SOLAT...

BAHAGIAN KEDUA

Seperti yang telah dibincangkan pada bahagian pertama berhubung pensyariatan solat, membuktikan bahawa ibadah solat ini telah disyariatkan dalam risalah nabi terdahulu. Namun cara, bilangan rakaat dan waktu-waktu dalam syariat para nabi itu merupakan persoalan yang masih kabur dan merupakan persoalan yang menarik untuk dikaji.

PERTAMA : WAKTU SOLAT

Berhubung waktu solat, terdapat hadis yang menjelaskan bahawa Malaikat Jibril a.s. mengajar kepada Rasulullah s.a.w. waktu-waktu solat, sebagaimana yang dijelaskan pada bahagian pertama. Diakhir hadis tersebut dinyatakan bahawa Malaikat Jibril a.s. menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w. bahwa waktu-waktu itulah juga yang menjadi waktu-waktu solat bagi para nabi terdahulu. Namun begitu, tidak dijelaskan samada nabi terdahulu juga menunaikan solat lima waktu seperti yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Namun begitu terdapat beberapa catatan yang menyentuh perkara tersebut. Diantaranya al-Imam Al-Ramli ada menyebut di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj katanya: “Solat subuh untuk nabi Adam, solat Zohor untuk nabi Daud, solat asar untuk nabi Sulaiman, solat Maghrib untuk nabi Ya’kub dan solat Isya’ untuk nabi Yunus.”

Dalam catatan yang lain pula, al-Thahawi meriwayatkan, al-Kasani ada menyebut bahawa dia mendengar Abu Abdul Rahman Abdullah b Muhammad berkata: “Sesungguhnya ketika nabi Adam bertaubat daripada keaibannya ketika fajar, Beliau mendirikan solat 2 rakaat. Lalu sempena dari tu dijadikan solat Subuh. Dikorbankan Ismail ketika Zohor, maka Nabi Ibrahim mendirikan solat 4 rakaat. Maka dari sini dijadikan solat Zohor. Ketika ‘Uzaiz a.s. dibangkitkan, dikatakan kepadanya ‘berapa lamakah engkau tinggal?’ Beliau menjawab: ‘Satu hari’, lalu beliau melihat matahari, beliau berkata lagi: ‘atau setengah hari’, beliau pun mengerjakan solat 4 rakaat dan sempena itu, dijadikan solat Asar. Dikatakan kepada Aziz a.s. dan Daud a.s. kedua-dua mereka diampunkan ketika Maghrib. Beliau (Daud) berdiri mengerjakan solat 4 rakaat, beliau memanjangkan ketika dalam rakaat ketiga. Lalu dijadikan solat Maghrib 3 rakaat. Orang pertama yang mendirikan solat Isya’ (waktu) yang akhir ialah Nabi Muhammad s.a.w.

Catatan di atas menerangkan waktu solat tertentu kepada para nabi tertentu dan diwaktu-waktu tertentu. Rasulullah s.a.w. merupakan orang pertama mengerjakan solat Isya’ adalah sahih. Ini dikuatkan dengan riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Abu Daud daripada Muaz, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu lambat solat ini (Isya’) sesungguhnya kamu diberi kelebihan diantara seluruh umat dengannya. Umat sebelum kamu belum mendirikan solat ini”.

Disamping solat khusus tersebut, nabi terdahulu juga sering mendirikan solat sebagai mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Terutamanya mereka mendirikan solat ketika dalam kesusahan, kesukaran dan berhadapan dengan musuh.

KEDUA : CARA, BENTUK DAN RAKAAT SOLAT

Tiada catatan khusus menerangkan cara, bentuk dan bilangan rakaat dinyatakan sepertimana solat yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimanapun di dalam surah Al-Baqarah ayat 125 ada menerangkan bahwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mendirikan solat dengan melakukan perbuatan rukuk dan sujud.

Begitu juga di dalam surah Al-Imran ayat 43 menjelaskan Maryam mendirikan solat dengan melakukan rukuk dan sujud. Disamping rukuk dan sujud, Nabi Ibrahim juga berdiri ketika menunaikan solat sebagaimana dijelaskan di dalam kisahnya dengan Firaun.

Kesimpulannya, berdiri, rukuk dan sujud adalah diantara perbuatan solat para nabi terdahulu. Walaupun catatan didapati didalam kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Maryam, namun boleh diyakini bahawa beginilah cara solat para nabi terdahulu.

Berhubung arah kiblat para nabi terdahulu mendirikan solat, terdapat sesetengah riwayat mengatakan mereka semua mengadap kearah Kaabah. Dalam sesetengah riwayat yang lain pula mengatakan Nabi Musa a.s. mengerjakan solat dengan mengadap kearah Baitul Maqdis.

bersambung....

No comments:

Post a Comment