Wednesday, February 2, 2011

SEJARAH PENSYARIATAN SOLAT...




BAHAGIAN PERTAMA

Pensyariatan Solat

Solat merupakan ibadah yang menghubungkan seseorang hamba dengan Allah S.W.T., membuktikan ketaatan, kepatuhan serta sentiasa mengingatiNya. Solat juga mendidik jiwa seseorang memahami hakikat ketaqwaan, ketenangan, kesabaran, tawakkal, jihad dan Allah S.W.T. sahajalah tempat bergantung dalam segala urusan kehidupan. Solat adalah amalan yang asal dalam agama.

Oleh sebab itu, ia merupakan sunnah yang mengiringi risalah-risalah dari langit. Allah S.W.T. mentaklifkan ibadah solat kepada mereka yang dipilih memikul amanah nubuwwah, kerana ibadah solat ini menghubungkan manusia secara terus dengan Allah S.W.T. Ibadah solat juga menjadi bekalan kekuatan rohani dalam melaksanakan amanah yang besar ini.

Taklifan solat ini bukan sekadar untuk diri mereka sahaja, malah Allah S.W.T. mewasiatkan agar disampaikan kepada anak cucu dan juga kepada generasi seterusnya. Nabi Ibrahim a.s. telah berdoa kepada Allah S.W.T. supaya beliau dan anak cucunya beriltizam mengerjakan solat. Permohonan itu telah dirakamkan di dalam firman Allah S.W.T. yang bermasud : “Ya Tuhan, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang mendirikan solat. Ya Tuhan Kami, Perkenankanlah doaku”. (surah Ibrahim ayat 40).

Solat dalam Syariat Nabi Terdahulu

Allah S.W.T. mengutuskan para Nabi bermula dari Nabi Adam a.s. sehingga ke Nabi Muhammad s.a.w. membawa misi menegakan konsep tauhid dan ubudiyyah kepada Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Esa. Sementara syariat pula dari Nabi ke Nabi mengikut reality persekitaran kaum masing-masing. Namun begitu, ibadah solat telah disyariatkan dalam setiap risalah para nabi, semenjak dari dahulu sehingga zaman ini. Ibadah solah merupakan kefardhuan amali pertama dalam setiap risalah, untuk membenarkan akidah keimanan dan merealisasikan perngertian pengabdian kepada Allah S.W.T..

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan Al-Sunnah yang menerangkan mengenai pensyariatan ibaadah solat dalam syariat para nabi terdahulu. Antaranya ialah, firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Kami telah perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: Bersihkanlah rumahku untuk orang-orang tawaf, orang (mereka) yang iktiqaf, (mereka) yang ruku’ dan yang sujud”. (surah al-Baqarah ayat 125)

Firman Allah S.W.T lagi yang membawa maksud : “Kami telah menjadikan mereka itu (Ishaq dan Ya’kub) sebagai pemimpin yang memberi petunjuk kepada perintah Kami dan telah kami wahyukan kepada mereka yang mengerjakan kebajikan, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan hanya kepada Kamilah mereka selalu mengabdikan diri”. (surah al-Anbiya’ ayat 73)

Lagi firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Ceritalah wahai Muhammad kepada mereka, kisah Ismail yang tersebut di dalam Al-Quran, sesungguhnya dia adalah rasul dan nabi. Dia menyuruh para ahlinya mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan dia adalah seorang yang diredhai disisi TuhanNya”. (surah Maryam ayat 54 – 55)

Abdullah b Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

“Jibril mengimamkan aku (Muhammad) solat disisi Kaabah sebanyak 2 kali. Dia (Jibril) mendirikan solat Zohor bersamaku pada hari pertama semasa matahari gelincir. Dia mendirikan solat Asar bersamaku ketika bayang sesuatu menyamainya. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku ketika orang berpuasa membuka puasanya. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika syafaq ( mega merah) hilang. Dia mendirikan solat Subuh bersamaku ketika diharamkan makan dan minum kepada orang berpuasa. Kemudian pada hari keduanya pula, Dia (Jibril) mendirikan solat Zohor bersama aku ketika bayang sesuatu objek menyamai objek asalnya. Dia mengerjakan solat Asar bersamaku ketika bayang sesuatu objek dua kali ganda besarnya dari objek asal. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku semasa orang berbuka puasa. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika malam berlalu satu pertiga. Dia mendirikan Subuh ketika bumi sudah cerah. Kemudian (Jibril) berpaling kepada aku sambil berkata “Wahai Muhammad! Waktu solat di antara kedua-dua waktu ini. Waktu ini juga merupakan waktu solat para nabi terdahulu”.

Dan banyak lagi ayat yang mensyariat solat ini dilaksanakan. Kesimpulannya, kenyataan dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah membuktikan bahawa solat adalah ibadah asal yang disyariatkan dalam risalah nabi terdahulu.

1 comment: