Saturday, February 12, 2011

MENGUBATI PENYAKIT HASAD DENGKI.....

Agama Islam adalah agama yang suci dan diterima oleh Allah S.W.T. Ia mengajar manusia menjadi hamba yang beriman, taat dan berakhlak baik. Pada asasnya agama islam didirikan dan dibangunkan oleh kekuatan yang unggul iaitu Iman dan ukhuwah. Tidak mungkin Islam dapat ditegakkan dalam suasana perpecahan.

Rasulullah s.a.w. telah berjaya mendidik para sahabat supaya menyintai saudara mereka lebih dari diri mereka sendiri dan tidak berhasad dengki atau iri hati tetapi sanggup berkorban untuk kepentingan bersama.

Kini penyakit mazmumah itu telah menular dengan meluasnya di kalangan umat Islam sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan. Keadaan ini disebabkan daripada hati yang berpenyakit. Tiada sebarang ubat yang dapat menyembuhkan penyakit ini melainkan kesedaran diri sendiri daripada terus melarat.

Punca utama penyakit ini tidak lain kerana manusia terlalu cinta kepada dunia dan menjadikannya sebagai tunggak kehidupan. Masing-masing cuba memenuhi kehendak dan selera sendiri dan tidak memikirkan masalah atau kesusahan orang lain. Kasih sayang sudah tiada lagi dan kebanyakkan arahan Rasulullah s.a.w. sudah diketepikan.

Setelah kita mengetahui puncanya, mudahlah kita mengubatinya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu menyintai saudara kamu sepertimana kamu menyintai diri kamu sendiri."

Daripada hadis itu, dapatlah kita fahami bahawa imanlah yang menjadi ubat paling mujarab. Untuk mendapatkan iman hanyalah dengan berasa takut kepada Allah, gerun kepada Neraka-Nya dan rindukan Syurga-Nya. Setelah itu kita kembali kepada suruhan Allah dan Rasul-Nya iaitu berbaik-baik dan berkasih sayang serta menganggap segala nikmat itu adalah kurniaan Allah S.W.T.

Dalam kehidupan ini, kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Hendaklah kita selalu ingatkan diri kita bahawa orang yang bersifat dengan sifat Mazmumah bukan dikalangan ahli syurga. Bukan sahaja Allah dan Rasul benci, bahkan seluruh manusia membencinya. Oleh itu, marilah kita tanamkan sifat tawaddhuk sesama manusia dan mudah-mudahan kita terhindar dari penyakit mazmumah.

No comments:

Post a Comment