Saturday, February 12, 2011

MENGINGATI MATI...




Mati pasti akan tiba. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati."

Samada seseorang itu mahu mati atau tidak, kematian itu pasti akan datang. Tidak akan terlewat atau dipercepatkan walau sesaat. Sebab itu, dalam ajaran Islam, mengingati mati merupakan sesuatu yang dituntut. Mengingati mati mempunyai kelebihan yang tersendiri bagi orang yang hidup di dunia dan istimewanya untuk akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w. sendiri sentiasa menyebut tentang kematian dan tidak kurang dari 20 kali dalam sehari. Malah Baginda pernah menyarankan kepada umatnya yang bermaksud, "Perbanyakkan mengingat-ingat tentang perkara yang menghapuskan kelazatan (maut)."

Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya tentang siapakah orang yang pintar di antara manusia, jawab baginda, "Mereka itu ialah orang yang memperbanyakkan mengingati mati dan sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Sesungguhnya orang mukmin itu, ketika dijemput oleh maut, digembirakan dengan memperolehi rahmat Allah, maka diapun amat suka untuk bertemu Allah, maka Allah S.W.T. pun suka bertemu dengannya. Manakala orang kafir pula ketika dijemput oleh maut, diberitakan kepadanya akan mendapat azab Allah, lalu dia pun benci bertemu Allah, maka Allah pun benci bertemu dengannya."

Pendapat yang mengatakan bahawa jika mengingati mati akan menyekat kemajuan dan kejayaan adalah pendapat yang silap kerana Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya paling banyak mengingati mati, tetapi sejarah menunjukkan merekalah orang yang paling maju dan bertamadun malah mereka mampu menawan dunia.

Mereka yang berpendapat sedemikian sebenarnya jahil dalam banyak hal. Mereka menyangka orang yang selalu ingat kepada mati akan berkurung di dalam rumah tidak melakukan apa-apa melainkan amal ibadah sahaja.

Tidak bijakkah seseorang yang sentiasa memikirkan sesuatu yang akan tiba lalu membuat persediaan dan perancangan untuk menghadapinya? Untuk itu, kita perlu sentiasa bersedia dengan amalan khidmat kebajikan sebanyak mungkin. Kerana seperti yang kita tahu bahawa segala amal perbuatan kita akan dihisab dan yang akan menentukan dimana kesudahannya selepas itu, apakah ke Syurga yang penuh dengan nikmat atau ke Neraka yang penuh dengan kesengsaraan.

No comments:

Post a Comment