Sunday, January 30, 2011

HATI ADALAH ROH SOLAT




Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah SWT , berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Menurut pendapat al-Imam al–Ghazali ; Tidak syak lagi bahawa tujuan seseorang itu berzikir atau membaca ialah untuk memuji Tuhan, dan yang menjadi tujuan percakapan kita itu tidak lain ialah Allah SWT. Hati manusia itu disebabkan oleh lalai maka ia terdinding dari Tuhan.

Segala percakapan sama ada zikir atau lafaz-lafaz dalam sembahyang adalah ditujukan kepada Allah SWT, namun percakapan itu akan menjadi sia-sia jika tidak disertai dengan hati yang sentiasa ingat akan Allah, kerana hati adalah merupakan perantaraan atau wasilah kepada Tuhan. Bagaimanakah hati boleh jadi perantaraan sekiranya ia dalam keadaan lalai, maka selama itulah segala bacaan itu tidak sampai kepada Tuhan.

Dengan sebab itu ia tidak akan dapat ‘ syuhud ’ bersaksi kepada Tuhan atau melihat Tuhan dalam erti kata melihat dengan pandangan hati. Hati diciptakan oleh Allah SWT untuk mengenal dan melihat Tuhan, namun tidak mungkin hati dapat syuhud kepada Tuhan sedangkan dia dalam keadaan lalai.

Sebab itulah ketika Nabi Musa a.s. ketika diperintahkan supaya bertemu dengan Firaun, dia tidak minta benda lain tetapi dia mohon kepada Tuhan suatu alat untuk berdakwah seperti yang dijelaskan dalam surah Toha ayat 25 yang bermaksud: “ Wahai Tuhanku lapangkanlah untukku dadaku."

Dengan doa Nabi Musa a.s itu bererti baginda memohon bantuan dari Tuhan agar dengan hati yang lapang itu ia dapat melaksanakan tugas dakwah yang besar itu. Tidak mungkin dapat dilaksanakan tugas bertemu dengan Firaun, bagi melaksanakan kerja dakwah terhadap seorang yang sangat memusuhi ajaran Allah, jika pergi bertemu dengan hati yang berserabut.

Berdakwah tehadap Firaun tidak mungkin terlaksana jika dengan hati yang lalai, kerana ucapan dari hati yang lalai itu walau sehebat mana sekalipun sehingga berhari-hari berdakwah, namun tidak ada kesannya.

Orang yang hati lalai di dalam solatnya, meskipun lidahnya bergerak menyebut lafaz zikir dan ayat Fatihah atau surah, namun gerak lidahnya itu bukan dari dorongan hati. Ia hanya bergerak disebabkan kebiasaan, sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan tentulah akan mudah terkeluar dari mulut mereka. Tetapi alangkah jauhnya dari tujuan solat yang difardukan oleh Allah SWT itu, kerana yang dikatakan solat itu ialah hadir hati ketika melakukan ibadah tersebut iaitu hati tidak lalai dari mengikuti setiap perkataan dari perbuatan yang dilakukan dalam solat. Hadir hati di dalam solat itu merupakan nyawa kepada solat tersebut.

Sesungguhnya sesiapa yang tahu rahsia maka dengan sendiri ia harus tahu bahawa lalai itu ialah lawan bagi solat, maksudnya ialah bercanggah dengan tujuan solat seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT iaitu :

“ Dirikanlah solat untuk mengingati – Ku (Allah).”

Kesimpulannya hati yang sentiasa ingat dan mengikuti segala perbuatan dalam solat adalah menjadi nyawa kepada solat tersebut. Apabila hati sentiasa lalai maka solat itu hanya tinggal rangka saja,sedangkan rohnya sudah melayang.

No comments:

Post a Comment