Thursday, January 27, 2011

DOA.....



Berdoa/memohon sesuatu kepada Allah perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak boleh sembarangan, beserta adab-adab dan syarat-syarat yang ditetapkan. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah SWT.

Kehidupan kita perlulah dipenuhi dengan perkara halal. Dari makanan dan segala bentuk perkara perlulah halal dan ianya merupakan salah satu bentuk ketaatan kita kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah apa sahaja yang dipohon akan dimakbulkan Allah.

Berdoalah dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut, merendahkan diri dengan suara yang lembut, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut..” (Surah al-A’raf : Ayat 55)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa”. (at-Tabrani)

Bagi manusia yang tidak mahu berdoa pula, Allah menganggap mereka ini adalah golongan yang sombong dengan Allah. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang takbur (sombong atau merasa besar diri) dari berdoa (tidak mahu berdoa) kepadaKu akan Aku masukkan dia ke Neraka yang amat hina." Surah al-Ghafir ayat 60.

MARILAH KITA CUBA MENGAMALKAN PETUA DARIPADA RASULULLAH S.A.W. SUPAYA DOA-DOA KITA DIMAKBULKAN OLEH ALLAH S.W.T.

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya, siapa yang meminta kepadaKu maka Aku berikan kepadanya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya".

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."



No comments:

Post a Comment