Monday, January 31, 2011

SOLAT; PENGERTIAN DAN SYARAT...

PENGERTIAN SOLAT:

Solat pada bahasa ialah beribadat, rahmat dan doa dan pada syarak ialah beberapa perkataan, perbuatan yang tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Solat adalah yang paling afdhal di antara rukun Islam selepas beriman kepada Allah SWT kemudian puasa kemudian haji kemudian zakat.

Hukum tentang wajib sembahyang sebagaimana Firman Allah Taala :


فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا

Yang bermaksud : Maka dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan. (Surah An-Nisa’ : 103)

Sembahyang difardhukan pada malam Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW iaitu pada malam 27 rejab, selepas 10 tahun 3 bulan Rasulullah dilantik sebagai Nabi.
Firman Allah Taala :

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا

Sesungguhnya sembahyang difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang tertentu,

dan sabda junjungan Nabi Muhammad SAW :

فرض على أمتي ليلة الإسراء خمسين صلاة فلم ازل اراجعه واسأله التخفيف حتى جعلها خمسا في كل يوم وليلة

Yang bermaksud : Telah memfardhukan oleh Allah Taala ke atas umatku pada malam Isra’ mikraj sembahyang 50 waktu , oleh itu aku berulang-ulang mengadap Allah dan meminta kurangkan sembahyang sehingga dikurangkan kepada 5 waktu sehari semalam.

WAKTU-WAKTU SEMBAHYANG

1. Zohor - Awal waktunya gelincir matahari, dan akhirnya apabila
jadilah bayang sesuatu itu sama panjang dengannya.
2. Asar – Awal waktunya ialah apabila selesai waktu Zohor dan
berkekalan hingga lenyap sekalian matahari di ufuk barat.
3. Maghrib - Awal waktunya dengan lenyapnya matahari di ufuk
barat dan berkekalan sehingga sempurna hilang cahaya kemerahan
di ufuk barat.
4. Isyak - Awal waktunya dengan lenyapnya cahaya kemerahan dan
berkekalan sehingga naik fajar.
5. Subuh - Awal waktunya dengan naik fajar dan berkekalan
sehingga naik matahari.

SYARAT-SYARAT WAJIB SEMBAHYANG

1. Islam. Tidak wajib sembahyang kepada orang-orang kafir. Bagi orang Islam yang meninggalkan sembahyang, wajib qadha’ dan begitu juga orang yang murtad wajib qadha’ sembahyang yang ditinggalkan di masa murtadnya.

2. Baligh. (sampai umur pada syarak) sama ada kerana cukup umur 15 tahun qamariah atau bermimpi atau dengan kedatangan haidh. Ada pun kanak-kanak yang belum baligh tetapi berumur 7 tahun yakni kanak yang sudah mumayyiz maka berkewajipan ke atas dua ibu bapa menyuruh anak-anak sembahyang dan apabila genap 10 tahun tetapi tidak mengerjakan sembahyang maka hendaklah dua ibu bapa memukulnya dengan pukulan ringan yang tidak membawa kepada kecederaan.

3. Berakal. Oleh itu tidak sah sembahyang bagi orang gila dan tidak wajib qadha’ ke atasnya. Begitu juga tidak sah sembahyang bagi orang yang pitam dan mabuk dan dan tidak tidak juga wajib qadha’ ke atasnya. Tetapi sekiranya mabuk itu disengajakan wajib qadha’ sembahyang yang ditinggalkan semasa mabuk itu.

4. Suci daripada haidh dan nifas.

5. Sejahtera penglihatan dan pendengaran, yakni orang yang buta dan tuli serentak semenjak kecil yakni belum baligh tidak wajib sembahyang , buta sahaja atau tuli sahaja wajib sembahyang.

6. Sampai seru, oleh itu tidak wajib sembahyang bagi mereka yang tidak sampai seruan Islam.

SYARAT-SYARAT SAH SEMBAHYANG

1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil.

2. Menutup aurat. Aurat lelaki di antara pusat dan lutut dari sudut pandangan sebelah atas dan keliling, begitu juga aurat hamba perempuan. Aurat perempuan dan khunsa seluruh badan kecuali muka dan dua tangan.

3. Mengetahui kaifiat sembahyang yakni peraturan sembahyang termasuk rukun dan sunat dengan sekira-kira dapat membeza antara farhu dan sunatnya.

4. Suci daripada najis yang tidak dimaafkan, sama ada di tubuh di pakaian atau di tempat sembahyang dan jangan menanggung sesuatu yang berhubung dengan najis di dalam sembahyang. Najis yang dimaafkan ialah sedikit darah, sedikit nanah, air kudis dan debu jalan raya.

5. Mengetahui masuk waktu dengan yakin atau dengan dzan masuknya melalui ijtihad.

6. Mengadap kiblat dengan sekelian badan.

7. Jangan menambah rukun fi’li dengan sengaja.

8. Jangan melakukan perkara yang membatalkan puasa di dalam sembahyang seperti makan minum.

WUDHU’ (AIR SEMBAHYANG)

Bersuci adalah perkara yang paling penting di dalam beribadat kepada Allah, oleh itu seseorang yang akan melakukan ibadat sembahyang diwajibkan berwudhu’ terlebih dulu sebagaimana Firman Allah Taala :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا ِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Yang Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. (Surah Al-Maidah : 6)

Sabda Nabi Muhammad SAW :

لا يقبل الله صلاة من احدث حتى يتوضاء

Allah tidak menerima sembahyang seorang yang berhadas sehingga mereka mengambil wudhu’.

CARA-CARA WUDHU’

Fardhu wudhu’ mengandungi enam perkara.

1. Niat.

Niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh sebahagian daripada muka, tidak disyaratkan berkekalan niat sehingga selesai membasuh muka, tetapi jangan memalingkan niat kepada perkara lain.

Lafaz niatnya ialah :

نَوَيْتُ الْوُضُوْءَ
.
Sahaja aku ambil air sembahyang. Atau

نَوَيْتُ الطَّهَارَةَ عَنِ الْحَدَثِ

Sahaja aku bersuci daripada hadas.

2. Membasuh Muka.

Kawasan muka ialah dari sebelah atas bermula dari tempat tumbuh rambut kepada dan sebelah bawahnya ialah dagu, lebarnya ialah dari anak telinga kepada anak telinga yang satu lagi dan kelilingnya dikira kadar bulat muka.

Wajib membasuh semua kawasan muka tersebut dan juga bulu-bulu yang tumbuh di dalam kawasan muka sama ada jarang atau lebat. Janggut, misai dan dua tali tudung (jambang) lelaki yang lebat sekira-kira tidak kelihatan kulit yang di bawahnya memadailah membasuh yang zahirnya sahaja. Jikalau tidak lebat dengan sekira-kira kelihatan kulit yang dibawahnya maka wajib menyampaikan air kepada batinnya dan juga kulit yang di bawahnya.

3. Membasuh dua tangan sehingga dua siku.

Dua siku juga wajib di basuh kerana ianya termasuk anggota wudhu’ dan wajib membasuh barang yang di atas dua tangannya daripada bulu zahir dan batin sama ada lebat atau nipis dan juga di celah kuku.

4. Menyapu kepala

Iaitu menyapu sebahagian daripada kepala atau menyapu sebahagian daripada rambut yang berada di dalam kawasan kepala. Boleh disapu di mana bahagian kepala sama ada di bahagian hadapan, belakang, di sebelah kiri atau di sebelah kanan dengan sekira-kira dinamakan bahagian kepala.

Tidak sah wudhu sekiranya disapu ke atas rambut yang disanggul yang mana apabila diuraikan sanggul itu akan terkeluar daripada kepala. Tidak disyaratkan bahawa menyapu itu dengan digerakkan tangan bahkan memadai dengan meletakkan tangan yang basah ke atas kepala tanpa digerakkan.

5. Membasuh dua kaki sehingga dua buku lali.

Dua buku lali juga wajib dibasuh kerana ianya termasuk anggota wudhu’. Wajib membasuh barang yang ada di atas dua kaki dari bulu dan sebagainya sepertimana juga hukumnya pada membasuh anggota tangan.

Perhatian :
Wajib menghilangkan segala benda yang mencegah sampai air kepada kulit seperti minyak , sisik ikan, getah, dakwat yang tebal yang tidak kelihatan warna kulit, duri atau sebagainya. Adapun kuping kudis atau selupat kulit tidak wajib dihilangkan walaupun mudah pada menghilangkannya.

Hukum ini berlaku pada semua anggota wudhu’.

6. Tertib
Yang dimaksudkan dengan tertib di sini ialah melakukan peraturan mengambil wudhu’ mengikut susunan sebagaimana yang disebut di atas tadi satu persatu melainkan niat kerana niat hendaklah disertakan dengan awal membasuh satu bahagian daripada muka.

Sekiranya seseorang membenar akan empat orang lain membasuh akan anggota wudhu’nya dengan serentak dengan izinnya maka terangkat akan mukanya sahaja.

Adapun jika menyelam seseorang yang berhadas kecil di dalam air dengan berniat wudhu’ maka sahlah wudhu’nya kerana hasil tertib dengan hanya berapa lahzoh yang sedikit sahaja.

SUNAT-SUNAT WUDHU’

Sunat-sunat wudhu’ itu banyak sekali di antaranya ialah :-

1. Membaca :
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

2. Membaca :
بِسْمِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Bacaan-bacaan ini hendaklah pada permulaannya, jika terlupa baca pada permulaannya bolehlah dibaca pada pertengahannya.

3. Membasuh dua tangan hingga pergelangan tangan.

4. Berkumur-kumur.
Hasil berkumur dengan memasukkan air ke dalam mulut, dan yang akmalnya diedarkan air di mulut dan dibuangkannya.

5. Menghisap air ke hidung.
Hasil menghisap air ke hidung dengan memasukkan air ke dalam hidung. Dan sebaik-baiknya ialah dengan dihisapkan air ke hidung dan dihembus keluar.

6. Menyapu sekalian kepala.

7. Menyapu dua telinga luar dan dalam.

8. Menyeliti janggut, misai dan jambang (dua tali tudung)

9. Menyeliti jari-jari tangan dan kaki.
Sekiranya tidak sampai air ke celah-celah jari tanpa diseliti maka ketika itu wajib diseliti.

10. Mendahului tangan kanan dan kaki kanan ke atas yang kiri bahkan makruh mendahulukan yang kiri ke atas yang kanan dan kiri serentak. Adapun dua telinga tidak mengapa disapukan serentak.

11. Basuh dan sapu ke atas anggota-anggota tersebut sebanyak tiga kali. Dan makruh melebihi tiga kali.

11. Muwalah (موالاة) Yakni berturut-turut basuh atau sapu di antara satu anggota dengan anggota yang lain.

12. Mengadap Kiblat.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’

1. Keluar sesuatu daripada salah satu kemaluan (Qubul, dubur) . Adapun keluar sesuatu daripada kemaluan orang mati tidak batal wudhu’nya dan begitu juga khunsa yang mempunyai dua alat kelamin yang mana salah satu dari kedua alat itu keluar sesuatu. Melainkan keluar kedua-duanya sekali. Tidak membatalkan wudhu dengan keluar mani.

2. Tidur dengan tidak tetap papan punggungnya. Adapun tidur dengan tetap papan punggungnya tidak batal wudhu seperti tidur dengan duduk bersila. Tidur berdiri atau melentang atau berguling batal wudhu’.

3. Bersentuh kulit lelaki dengan kulit perempuan yang sah nikah yang mana sudah sampai had syahwat pada uruf (pada kebiasaan orang ramai).

Bersentuh kulit lelaki atau perempuan dengan khunsa tidak batal wudhu’ begitu juga tidak batal wudhu bersentuh sesama khunsa. Bersentuh dengan rambut, gigi atau kuku tidak batal wudhu’.

4. Menyentuh kemaluan anak adam dengan tapak tangan atau perut anak jari.

Bagi lelaki batang zakarnya yang disentuh batal wudhunya, adapun tempat tumbuh bulu yang di sekelilingnya dan dua biji batu itu tidak batal wudhu dengan menyentuhnya.
Kemaluan perempuan yang dimaksudkan ialah dua bibir yang bertangkup dan kawasan sekitarnya.
Dan batal wudhu dengan menyentuh halaqah dubur anak adam.

MAKRUH SEMASA BERWUDHU’

1. Mengurangkan basuh dan sapu dari tiga kali.
2. Melebihkan basuh dan sapunya dari tiga kali.
3. Mendahulukan basuh atau sapu ke atas pihak kiri dari pihak kanan.
4. Serentak pada membasuh kanan dan kiri.
5. Mengambil wudhu' di dalam air yang bertakung yang tetap di situ.
6. Meminta tolong orang lain menjirus ke atas anggota wudhu’.
7. Membasuh di dalam batin mata.
8. Membelakangkan kiblat semasa berwudhu’.
9. Bercakap semasa mengambil wudhu’.

AMALAN-AMALAN SUNAT SEBELUM SEMBAHYANG.

Bagi orang lelaki disunatkan azan dan iqamah sebelum sembahyang dan bagi orang perempuan di sunatkan iqamah sahaja. Walau bagaimanapun harus juga bagi orang perempuan melakukan azan sekiranya tidak dihadiri oleh orang lelaki.

Azan hendaklah dinyaringkan supaya dapat didengari oleh orang ramai yang berada di sekitarnya.

SEMBAHYANG MEMPUNYAI 13 RUKUN

1. Niat

Niat di dalam sembahyang fardhu hendaklah mengandungi qasad , ta’arid , ta’yin , yakni kehendak sembahyang fardhu maghrib atau sebagainya. Niat di dalam sembahyang sunat yang mempunyai waktu atau sebab hendaklah mengandungi qasad dan ta’yin. Dan bagi sembahyang sunat mutlak yakni sembahyang tidak mempunyai waktu dan sebab memadai dengan niat yang mengandungi qasad sahaja.
Niat hendaklah terkandung di dalam lafaz – Allahu Akbar semasa Takbiratul ihram . Jangan terdahulu niat daripada harf alif pada Allah dan jangan terkemudian daripada harf ra’ pada Akbar- (Ar-ramli)

Bagi sembahyang qasar hendaklah ditambah bersama qasad , ta’arud dan ta’yin itu akan qasar , begitu juga bagi sembahyang jemaah hendaklah ditambah niat imam bagi imam dan makmun bagi makmun bersama qasad, ta’arud, ta’yin itu, kerana syarat sah jemaah ialah berjemaah pada awal sembahyang iaitu pada takbiratul Ihram.

2. Qiam (berdiri betul)

Maksud Qiam di sini ialah dengan membetulkan tulang belakang bagi yang berkuasa, oleh itu di dalam melakukan Qiam jangan condong ke mana-mana arah dengan tidak meluruskan tulang belakang. Sekiranya condong tidaklah dinamakan qiam dan batal sembahyang.

3. TAKBIRATUL IHRAM.

Lafaz takbirnya ialah – Allahu akbar.

Sunat diangkatkan kedua tangan semasa berkata Allahuakbar. Angkat itu hendaklah bersetentangan dengan dua bahunya dan dua tapak tangannya dihadapkan ke kiblat kemudian diturunkan kedua belah tangan dengan memegang tangan kanan akan pergelangan tangan kiri dan diletakkan kedua-duanya di paras pusat. Dua tangan yang diangkat itu berserta dengan menyebut lafaz Allahu akbar.

4. Membaca Fatihah

Wajib membaca fatihah bagi imam, orang yang sembahyang seorang diri dan makmum muafiq yakni makmum yang sempat membaca Fatihah di dalam qiam Imam.
Rasulullah SAW bersabda :
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Yang bermaksud : Tidak sah sembahyang bagi mereka yang tidak membaca Fatihah . (Bukhari, Muslim)
Bagi mereka yang tidak tahu membaca fatihah , hendaklah membaca mana-mana ayat sebanyak fatihah atau membaca mana-mana zikir sekadar huruf Fatihah iaitu sebanyak 156 huruf, kalau tidak tau membaca mana-mana ayat-ayat atau zikir hendaklah diam kadar membaca ayat fatihah (yang dianggarkan lebih kurang 20 saat).

Bacaan fatihah hendaklah berturut-turut dan tidak boleh diselang dengan mana-mana ayat atau zikir ataupun semata-mata diam melainkan bagi menyebut amin imam. Bacaan hendaklah dengan betul sebutannya, tidak bertukar baris tashdid atau sebagainya.

5. Rukuk

Rasulullah SAW bersabda :
ثم اركع حتى تطمئن راكعا

Yang Bermaksud : Kemudian hendaklah engkau rukuk sehingga Tama’ninah dalam di dalam rukuk, (muttafaq ‘alaih).

Sunat berzikir semasa rukuk iaitu :
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ

Sebanyak 3 kali.

Sekurang-kurang rukuk hendaklah sampai dua tapak tangan akan kedua kepada lututnya dan yang afdhalnya ialah dengan ratakan belakang dan tengkuk seolah-olah sekeping papan, menegakkan betis dan memegang dua tangan akan dua lutut serta direnggangkan sedikit di antara jari dengan menghalakan belakang tangan ke kiblat. Semasa turun kepada rukuk sunat ditakbirkan dengan lafaz Allahu Akbar serta angkat kedua belah tangan sebagaimana di dalam Takbiratul ihram.

6. I’tidal

Rasulullah SAW bersabda :
ثم ارفع حتى تعتدل قائما

Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga berdiri tegak (Muttafaq ‘alaih)
Disunatkan semasa bangkit dari rukuk dengan mengangkat dua tangan sehingga berbetulan dua telinga seperti mana Takbiratul ihram sambil mengucap :

سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه

dan apabila berdiri tegak pula mengucap

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ .

Bagi sembahyang subuh sunat diqunut semasa i’tidal di dalam rakaat yang kedua sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رفع رأسه من الركوع في صلاة الصبح في الركعة الثانية رفع يديه
فيدعو بهذا الدعاء

Yang bermaksud : Berkata Abu Hurairah RA adalah Rasulullah SAW manakala mengangkat kepalanya daripada rukuk pada sembahyang subuh di rakaat yang kedua baginda mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa ini :
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيْمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَاْفِنِي فِيْمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لِي فِيْمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلاَ يُقْضَىعَلَيْكَ ، إِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ , تَبَارَكْتَ رَبَّناَ وَتعَالَيْتَ .

Sunat selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW diakhir Qunut dan begitu juga selawat dan salam ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat baginda. Sunat menadahkan tangan semasa membaca Qunut dan tidak perlu sapu muka selepas Qunut.

7. Sujud dua kali tiap-tiap rakaat.

Rasulullah SAW bersabda :
ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا

Yang bermaksud : kemudian hendaklah engkau sujud sehinggalah Tama’ninah di dalam sujud (muttafaq ‘alaih)

Kesempurnaan sujud ialah dengan ditakbirkan bagi turun kepada sujud dengan tidak mengangkat dua tangannya . Dan dihantarkan kedua lutut kemudia dua tapak tangan kemudia dahi dan hidung, sebagaiman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sunat dibaca :

سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى
tiga kali.

Semasa sujud hendaklah diletakan dua tapak tangan dengan berbetulan dua bahu dan menganjurkan anak-anak jari ke kiblat serta merapatkan di antara anak-anak jari. Bagi lelaki hendaklah direnggangkan kedua-dua siku dari lambung dan perut dari kedua pehanya pada rukuk dan sujud.
Bagi perempuan hendaklah dirapatkan segala yang tersebut. Diceraikan antara dua kaki kadar sejengkal dengan menyentuh hujung anak jari ke lantai bagi lelaki, bagi perempuan hendaklah dirapatkan sedikit antara kakinya. Wajib diberatkan kepala.

8. Duduk diantara dua sujud.

Rasulullah SAW bersabda :
ثم ارفع حتى تطمئن جالسا

Yang bermaksud : Kemudian hendaklah engkau bangkit sehingga engkau Tama’ninah di dalam duduk.

Kesempurnaan duduk di antara dua sujud ialah menakala bangkit dari sujud hendaklah mengucap Allahu Akbar beserta dengan angkat kepala dan hendaklah duduk Iftirash iaitu duduk atas tapak kaki kiri dan letakkan hujung jari kaki kanan ke lantai. Meletak dua tapak tangan ke atas kedua lutut serta mengunjurkan jari-jari ke kiblat. Di dalam duduk antara dua sujud sunat dibaca doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW :
رَبِّ اغْفِرْلِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِيْ

Janganlah dipanjangkan I’tidal dan duduk antara dua sujud kerana keduanya rukun pendek. Jikalau dipanjangkan i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama panjang dengan membaca fatihah bagi i’tidal dan Tahiyat bagi duduk antara dua sujud dengan diketahui akan haramnya maka batallah sembahyangnya.

9. Tasyahhud (Tahiyat Akhir)

Iaitu membaca Tasyahhud akhir, Tasyahhud yang dipilih oleh As-Syafie daripada hadis Ibnu Abbas RA ialah :
التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاَتُهُ . السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله.
(Riwayat Muslim)

10. Duduk bagi Tasyahhud Akhir

Kesempurnaan duduk bagi Tasyahhud akhir ialah duduk Tawaruk iaitu duduk di atas papan punggung manakala kaki kiri dihulurkan ke sebelah kanan dan diletakkan di bawah betis kanan.
Tangan kanan diletakkan di atas lutut kanan dengan mengenggamkan semua jari kecuali telunjuk hendaklah diluruskan, merapatkan ibu jari lebih ke bawah dari jari telunjuk. Dan mengangkatkan jari telunjuk dengan diluruskan ke kiblat di waktu menyebut kalimah “Illa Allah” di dalam tasyahhud.

Tapak tangan kiri diletakkan di atas lutus kiri dengan menganjurkan jari-jari ke kiblat dengan disamakan paras jari dengan lutut dan merapatkan di antara jari-jari.

11. Solawat atas Nabi Muhammad SAW di dalam tasyahhud akhir.

Para sahabat telah berjumpa dengan Rasulullah SAW bertanya tentang cara selawat ke atas Rasulullah SAW. di dalam sembahyang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
أمرنا الله أن نصلي عليك فكيف نصلي عليك قال : قولوا اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

Yang bermaksud : Kami diperintah oleh Allah supaya menselawatkan ke atas engkau (di dalam sembahyang) dan bagaimana cara kami menselawatkan ke atas engkau – Rasulullah SAW bersabda , katakan oleh kamu :
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد

12. Salam

Yang paling afdhal di dalam sebutan salam ialah Assamualaikum warahmatullah. Apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kanan dengan sekira-kira pipi kanan dapat dilihat oleh orang yang di belakang di samping meniat salam kepada Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.

Dan sunat menceraikan di antara dua salam yakni yang pertama ke kanan dengan salam yang kedua ke kiri atas kadar perceraian yang pendek.

Kemudian memberi salam yang kedua iaitu Assalamualaikum warahmatullah dan apabila selesai menyebut warahmatullah sunat dipalingkan muka ke kiri dengan sekira-kira pipi kiri dapat dilihat oleh orang yang dibelakang di samping meniatkan salam kepada para Malaikat, Manusia dan Jin yang mukmin.

13. Tertib

Hendaklah dilakukan peraturan sembahyang sebagaiman tertib rukun tersebut, di atas. Kecuali niat wajib disertakan di dalam Takbiratul ihram dan Takbiratul Ihram itu pula dilakukan semasa Qiam dan disertakan pembaca Fatihah semasa Qiam itu. Begitu juga membaca tasyahhud akhir di dalam duduk bagi tasyahhud akhir dan salam juga semasa duduk di dalam tasyahhud Akhir.
Selain daripada yang tersebut adalah menurut tertib.

SUJUD SAHWI

Sujud Sahwi ialah dua sujud yang dilakukan selepas membaca tasyahhud dan sebelum salam.
Kaifiat dan cara sujud sahwi adalah sama seperti sujud-sujud lain tentang perbuatan sunat dan wajibnya dan sunat dibaca dibaca semasa sujud ialah :
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو

Di antara perkara-perkara yang menyebabkan sunat sujud sahwi ialah :

1. Meninggalkan sunat Ab’adh iaitu duduk bagi tasyahhud awal, membaca tasyahhud awal, membaca selawat atas Nabi di dalam tasyahhud awal, membaca selawat atas keluarganya dalam tasyahhud akhir, membaca Qunut, berdiri bagi Qunut, membaca selawat atas Nabi dalam Qunut dan membaca selawat atas keluarganya di dalam Qunut.

2. Mengerjakan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang dengan sengaja dan tidak membatalkannya dengan terlupa. Di antaranya memanjangkan rukun pendek, berkata-kata yang sedikit yang tidak melebihi enam perkataan, makan , minum yang sedikit pada ‘uruf , dan melebihi rakaat.

3. Memindahkan Qauli (bacaan) dari tempatnya sama ada Qauli itu rukun , sunat Ab’adh atau sunat Hai’ah.

4. Syak pada bilangan rakaat.

5. Syak pada bacaan sunat Ab’adh.

PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH DI DALAM SEMBAHYANG

Di antara perkara-perkara yang makruh dilakukan dalam sembahyang ialah :

1. Berpaling dengan muka dari kiblat. Adapun berpaling dengan dada dari kiblat batal sembahyang.

2. Mendongakkan dengan muka ke langit.

3. Berludah di dalam sembahyang di hadapan atau di kanannya. Sementara berludah ke kiri atau bawah tapak kaki tidak makruh sekiranya sembahyang bukan di dalam masjid. Adapun di dalam masjid , haram berludah walau di pihak mana sekalipun. Begitu juga haram berludah di dalam masjid walaupun di luar sembahyang. Sekiranya berlaku sesuatu yang memerlukan kepada berludah di dalam sembahyang di masjid hendaklah berludah di kain ataupun disediakan bekas ludah di sebelah kiri.

4. Tidak menutup kepala dan bahu di dalam sembahyang.

5. Terganggu di waktu sembahyang kerana hendak membuang najis sama ada kecil atau besar ataupun kerana hendak membuang angin (kentut).

6. Sembahyang di hadapan makanan atau minuman yang teringin kepadanya.

7. Sembahyang di tengah jalan.

8. Sembahyang di kubur selain dari kubur Nabi, Rasulullah atau syuhada’.

9. Menyingkapkan (mengangkatkan) rambut dan kain kerana hendak turun sujud.

10. Meletakan tangan ke atas mulut tanpa sesuatu hajat.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SEMBAHYANG.

1. Berkata-kata dengan sengaja walaupun satu huruf yang boleh memberi faham akan maksudnya.

2. Melakukan gerakan 3 kali berturut-turut dengan anggota besar seperti tangan, kaki, kepala atau tubuh sama ada sengaja atau tidak.

Melakukan gerakan dengan anggota kecil seperti mengerakkan jari-jari, bibir, lidah, kelopak mata, kemaluan 3 kali atau lebih tidak batal sembahyang selagi tidak qasad bermain-main dengannya, sekiranya diqasadkan bermain-main dengannya, batal sembahyang.

Batal sembahyang dengan mengerakkan sekalian tubuh atau kebanyakkan tubuh atau melompat.
Dimaafkan perbuatan yang banyak di dalam sembahyang شدة الخوف (diwaktu bersangatan takut) kerana peperangan dan sembahyang sunat di dalam musafir khususnya, atas kenderaan yang bergerak.

3. Berhadas besar atau berhadas kecil atau keluar angin dari dubur.

4. Terkena Najis yang tidak dimaafkan

Adapun najis yang dimaafkan tidak mengapa seperti sedikit darah, nanah, air kudis, air bisul, darah tuma, darah kutu dan seumpamanya.

Jika sekiranya jatuh najis yang tidak dimaafkan ke atas seseorang yang sedang sembahyang lalu dengan segera dibuangkan najis itu sebelum lagi berlaku masa Tama’ninah, tidak batal sembahyang.

5. Terbuka aurat

Terbuka aurat ini sama ada disengajakan atau tersalah atau dibuka oleh binatang oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz.

Sekiranya dibuka oleh angin dan ditutup segera yakni sebelum Tama’ninah tidak batal sembahyang selama tidak berulang-ulang dan berturut-turut.

6. Mengubah niat atau digantungkan niat dengan sesuatu, seperti niatnya akan berhenti sembahyang kalau turun hujan atau seumpamanya.

Tidak batal sembahyang seseorang yang menukar niat sembahyang fardhu kepada niat sembahyang sunat mutlak kerana ingin berjemaah sembahyang fardhu.

7. Berpaling dari kiblat dengan dada.
Jika berpaling dari kiblat dengan mukanya tidak batal sembahyang tetapi makruh sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu.

Batal juga sembahyangnya sekiranya dipalingkan oleh orang lain.

Adapun jika berpaling dengan jahil atau terlupa dan segera kembali mengadap kiblat tidak batal sembahyangnya.

8. Makan, minum atau menelan air liur yang bercampur dengan makanan atau minuman.

Makan, minum dengan lupa dan sedikit pada ‘uruf tidak batal sembahyang.

9. Memanjangkan rukun yang pendek iaitu i’tidal dan duduk antara dua sujud dengan sekira-kira sama pada bacaan Fatihah bagi I’tidal dan sama lama pada bacaan tahiyat bagi duduk antara dua sujud.

10. Terkemudian makmum daripada imamnya dengan dua rukun dengan ketiadaan uzur. Atau terdahulu makmum dari imam dengan dua rukun. Adapun terdahulu dengan satu rukun hukumnya haram tetapi sembahyangnya tidak batal.

11. Murtad , wal’iazubillah

12. Niat membatalkan sembahyang.

KESEMPURNAAN SOLAT



Kesempurnaan di dalam melaksanakan solat amat penting dalam menentukan samada solat kita diterima atau pun tidak oleh Allah S.W.T. Kebanyakan kita sekarang ini melaksanakan solat sambil lewa dan menjadi sia-sia sahaja. Ada yang bersolat mengikut keadaan seperti mengikuti majlis atau hanya utk menunjuk kepada org lain.

Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud : “Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.”

Tahukah kita betapa nikmatnya solat itu andai dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan kesempurnaan sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” [Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].

Sebuah Kisah sebagai renungan..

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?
”Hatim berkata, “Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu’ zahir dan batin.”
Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?” Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air”
.

Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya’)
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:

1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratal mustaqim’ dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.”

“Setiap bacaan dan doa didalam solat aku fahami maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”
Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta dipertanggungjawabkan di akhirat kelak”

Kesimpulannya, khusyuk dalam solat amat penting untuk mencapai satu tahap yang amat tinggi disisi Allah S.W.T. Penting bagi kita menghayati dan memahami makna setiap ayat yang dibaca untuk mendapatkan khusyuk dan kesempurnaan dalam melaksanakan solat. Mudah-mudahan amalan kita diberkati dan diredhoi oleh Allah S.W.T.

KHUSYUK DI DALAM SOLAT....















Sahabat Rasulullah s.a.w, Abu Darda' pernah berkata : Khusyuk ialah pengagungan terhadap tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan ia adalah dari syaitan. - Al Asas Fi At Tafsir oleh Said Hawa-

Ramai orang Islam yang mengerjakan solat tetapi berapa ramai yang dapat merasai khusyuk di dalam solatnya? Khusyuk merupakan perkara maknawi yang tidak dapat dilihat namun mampu dirasa oleh sebahagian orang. Sebuah kitab fiqh yang menyentuh secara khusus tentang bab solat ini ialah Muniatul Musolli yang mana solat digambarkan sebagai persembahan hadiah kepada Khaliq. Solat yang tidak khusyuk ibarat prsembahan hadiah yang tidak bernilai dan tidak memberi sebarang makna.

Perumpamaan yang dinukilkan oleh pengarang kitab ini ialah solat itu diibaratkan seperti batang tubuh manusia. Kemuncak bagi matinya fungsi batang tubuh ialah apabila tiada lagi roh atau nyawa yang mendiami batang tubuh tersubut. Jesteru, solat yang tidak khusyuk telah dimenifestasikan oleh pengarang kitab sebagai batang tubuh yang tidak bernyawa, kaku dan mati.

Secara ironisnya, perkara paling asas yang harus difahami oleh setiap orang Islam ialah kebersihan hati menjadi faktor yang membawa kepada kekhusyukan dalam solat, penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan.

Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menyebut bahawa enam unsur ibadah hati yang perlu diberi perhatian ialah kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu. Kehadiaran hati bermaksud, hati tidak merawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat.

Pengagungan dan merasai kehebatan Alllah hasil daripada kefahaman berhubung keagongan dan kebesaran Allah. Harap pula bermaksud, menharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah sahaja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadat yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.

Beberapa pengaruh luaran turut perlu dikawal dan dijaga dalam memastikan seseorang mampu mencapai tahap khusyuk didalam solatnya. Antaranya jika seseorang berasa lapar hendaklah dia menjamah makanan terlebih dahulu sebagaimana sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan muslim bermaksud:"Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan terlebih dahulu".

Dalam kitab Ihya Ulumuddin pada bab rahsia solat dan kepentingannya, Imam al-Ghazali berkata: "pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan dan sekaligus menganggu kekhusyukan seseorang. Oleh itu, menjauhkan diri dari semua perkara tersebut merupakan satu-satunya jalan yang boleh dilakukan. Sebagai contoh, tidak melakukan solat di tempat yang penuh ukiran kesenian atau diatas sejadah yang mempunyai celupan warna yang menarik serta gambar-gambar.

Ketika hendak bertakbiratul ihram hendakalah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh menggangu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan keadaan huru-hara ketika berdapan dengan Allah suatu hari nanti.

Walaubagaimanapun, hawa nafsu memang susah hendak dikawal.Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh menharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat.

Justeru, mujahadah hendaklah dilakukan dan ini adalah satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpankan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dimasukkan kedalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka, kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu..

Sunday, January 30, 2011

HATI ADALAH ROH SOLAT




Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah SWT , berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Menurut pendapat al-Imam al–Ghazali ; Tidak syak lagi bahawa tujuan seseorang itu berzikir atau membaca ialah untuk memuji Tuhan, dan yang menjadi tujuan percakapan kita itu tidak lain ialah Allah SWT. Hati manusia itu disebabkan oleh lalai maka ia terdinding dari Tuhan.

Segala percakapan sama ada zikir atau lafaz-lafaz dalam sembahyang adalah ditujukan kepada Allah SWT, namun percakapan itu akan menjadi sia-sia jika tidak disertai dengan hati yang sentiasa ingat akan Allah, kerana hati adalah merupakan perantaraan atau wasilah kepada Tuhan. Bagaimanakah hati boleh jadi perantaraan sekiranya ia dalam keadaan lalai, maka selama itulah segala bacaan itu tidak sampai kepada Tuhan.

Dengan sebab itu ia tidak akan dapat ‘ syuhud ’ bersaksi kepada Tuhan atau melihat Tuhan dalam erti kata melihat dengan pandangan hati. Hati diciptakan oleh Allah SWT untuk mengenal dan melihat Tuhan, namun tidak mungkin hati dapat syuhud kepada Tuhan sedangkan dia dalam keadaan lalai.

Sebab itulah ketika Nabi Musa a.s. ketika diperintahkan supaya bertemu dengan Firaun, dia tidak minta benda lain tetapi dia mohon kepada Tuhan suatu alat untuk berdakwah seperti yang dijelaskan dalam surah Toha ayat 25 yang bermaksud: “ Wahai Tuhanku lapangkanlah untukku dadaku."

Dengan doa Nabi Musa a.s itu bererti baginda memohon bantuan dari Tuhan agar dengan hati yang lapang itu ia dapat melaksanakan tugas dakwah yang besar itu. Tidak mungkin dapat dilaksanakan tugas bertemu dengan Firaun, bagi melaksanakan kerja dakwah terhadap seorang yang sangat memusuhi ajaran Allah, jika pergi bertemu dengan hati yang berserabut.

Berdakwah tehadap Firaun tidak mungkin terlaksana jika dengan hati yang lalai, kerana ucapan dari hati yang lalai itu walau sehebat mana sekalipun sehingga berhari-hari berdakwah, namun tidak ada kesannya.

Orang yang hati lalai di dalam solatnya, meskipun lidahnya bergerak menyebut lafaz zikir dan ayat Fatihah atau surah, namun gerak lidahnya itu bukan dari dorongan hati. Ia hanya bergerak disebabkan kebiasaan, sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan tentulah akan mudah terkeluar dari mulut mereka. Tetapi alangkah jauhnya dari tujuan solat yang difardukan oleh Allah SWT itu, kerana yang dikatakan solat itu ialah hadir hati ketika melakukan ibadah tersebut iaitu hati tidak lalai dari mengikuti setiap perkataan dari perbuatan yang dilakukan dalam solat. Hadir hati di dalam solat itu merupakan nyawa kepada solat tersebut.

Sesungguhnya sesiapa yang tahu rahsia maka dengan sendiri ia harus tahu bahawa lalai itu ialah lawan bagi solat, maksudnya ialah bercanggah dengan tujuan solat seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT iaitu :

“ Dirikanlah solat untuk mengingati – Ku (Allah).”

Kesimpulannya hati yang sentiasa ingat dan mengikuti segala perbuatan dalam solat adalah menjadi nyawa kepada solat tersebut. Apabila hati sentiasa lalai maka solat itu hanya tinggal rangka saja,sedangkan rohnya sudah melayang.

Saturday, January 29, 2011

Ikhlas Dalam Islam


Ikhlas adalah buah dan intisari dari iman. Seorang tidak dianggap beragama dengan benar jika tidak ikhlas. Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162). Surat Al-Bayyinah ayat 5 menyatakan, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus.” Rasulullah saw. bersabda, “Ikhlaslah dalam beragama; cukup bagimu amal yang sedikit.”

Tatkala Jibril bertanya tentang ihsan, Rasul saw. berkata, “Engkau beribadah kepada Allah seolah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Allah melihatmu.” Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak menerima amal kecuali dilakukan dengan ikhlas dan mengharap redha-Nya.”

Fudhail bin Iyadh memahami kata ihsan dalam firman Allah surat Al-Mulk ayat 2 yang berbunyi, “Liyabluwakum ayyukum ahsanu ‘amala, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya” dengan makna akhlasahu (yang paling ikhlas) dan ashwabahu (yang paling benar). Katanya, “Sesungguhnya jika amal dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak benar, maka tidak diterima. Dan jika amal itu benar tetapi tidak ikhlas, juga tidak diterima. Sehingga, amal itu harus ikhlas dan benar. Ikhlas jika dilakukan kerana Allah Azza wa Jalla dan benar jika dilakukan sesuai sunnah.” Pendapat Fudhail ini disandarkan pada firman Allah swt. di surat Al-Kahfi ayat 110.

Imam Syafi’i pernah memberi nasihat kepada seorang temannya, “Wahai Abu Musa, jika engkau berijtihad dengan sebenar-benar kesungguhan untuk membuat seluruh manusia redha (suka), maka itu tidak akan terjadi. Jika demikian, maka ikhlaskan amalmu dan niatmu karena Allah Azza wa Jalla.”

Kerana itu tak hairan jika Ibnul Qoyyim memberi perumpamaan seperti ini, “Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat.” Dalam kesempatan lain beliau berkata, “Jika ilmu bermanfaat tanpa amal, maka tidak mungkin Allah mencela para pendeta ahli Kitab. Jika ilmu bermanfaat tanpa keikhlasan, maka tidak mungkin Allah mencela orang-orang munafik.”

Makna Ikhlas

Secara bahasa, ikhlas bermakna bersih dari kotoran dan menjadikan sesuatu bersih tidak kotor. Maka orang yang ikhlas adalah orang yang menjadikan agamanya murni hanya untuk Allah saja dengan menyembah-Nya dan tidak menyekutukan dengan yang lain dan tidak riya' dalam beramal. Sedangkan secara istilah, ikhlas bererti niat mengharap redha Allah saja dalam beramal tanpa menyekutukan- Nya dengan yang lain. Memurnikan niatnya dari kotoran yang merosak.

Seseorang yang ikhlas ibarat orang yang sedang membersihkan beras (nampi beras) dari kerikil-kerikil dan batu-batu kecil di sekitar beras. Maka, beras yang dimasak menjadi nikmat dimakan. Tetapi jika beras itu masih kotor, ketika nasi dikunyah akan tergigit kerikil dan batu kecil. Demikianlah keikhlasan, menyebabkan beramal menjadi nikmat, tidak membuat helah, dan segala pengorbanan tidak terasa berat. Sebaliknya, amal yang dilakukan dengan riya akan menyebabkan amal tidak nikmat. Pelakunya akan mudah menyerah dan selalu kecewa.

Kerana itu, bagi seorang da'i makna ikhlas adalah ketika ia mengarahkan seluruh perkataan, perbuatan, dan jihadnya hanya untuk Allah, mengharap redha-Nya, dan kebaikan pahala-Nya tanpa melihat pada kekayaan dunia, penampilan, kedudukan, sebutan, kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian si da'i menjadi tentera fikrah dan akidah, bukan tentera dunia dan kepentingan. Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku.” Da'i yang berkarakter seperti itulah yang punya semboyan ‘Allahu Ghayaatunaa‘, Allah tujuan kami, dalam segala aktiviti mengisi hidupnya.

Buruknya Riya'

Makna riya' adalah seorang muslim memperlihatkan amalnya pada manusia dengan harapan mendapat posisi, kedudukan, pujian, dan segala bentuk keduniaan lainnya. Riya' merupakan sifat atau ciri khas orang-orang munafik. Disebutkan dalam surat An-Nisaa ayat 142, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas penipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat itu) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.”

Riya' juga merupakan salah satu cabang dari kemusyrikan. Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya yang paling aku takuti pada kalian adalah syirik kecil.” Sahabat bertanya, “Apa itu syirik kecil, wahai Rasulullah?” Rasulullah saw. menjawab, “Riya'". Allah berkata di hari kiamat ketika membalas amal-amal hamba-Nya, ‘Pergilah pada yang kamu berbuat riya' di dunia dan perhatikanlah, apakah kamu mendapatkan balasannya?’” (HR Ahmad).

Dan orang yang berbuat riya' pasti mendapat hukuman dari Allah swt. Orang-orang yang telah melakukan amal-amal terbaik, apakah itu mujahid, ustaz, dan orang yang senantiasa berinfak, semuanya diseret ke neraka kerana amal mereka tidak ikhlas kepada Allah. Kata Rasulullah saw., “Siapa yang menuntut ilmu, dan tidak menuntutnya kecuali untuk mendapatkan perhiasan dunia, maka ia tidak akan mendapatkan wangi-wangian syurga di hari akhir.” (HR Abu Dawud)

Ciri Orang Yang Ikhlas

Orang-orang yang ikhlas memiliki ciri yang boleh dilihat, diantaranya:

1. Senantiasa beramal dan bersungguh-sungguh dalam beramal, baik dalam keadaan sendiri atau bersama orang banyak, baik ada pujian ataupun celaan. Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Orang yang riya' memiliki beberapa ciri; malas jika sendirian dan rajin jika di hadapan orang. Semakin bergairah dalam beramal jika dipuji dan semakin berkurang jika dicela.”

Perjalanan waktulah yang akan menentukan seorang itu ikhlas atau tidak dalam beramal. Dengan melalui berbagai macam ujian dan dugaan, baik yang suka maupun duka, seseorang itu dapat dilihat kualiti keikhlasannya dalam beribadah, berdakwah, dan berjihad.

Al-Qur’an telah menjelaskan sifat orang-orang beriman yang ikhlas dan sifat orang-orang munafik, membuka kedok dan kebusukan orang-orang munafik dengan berbagai macam cirinya. Di antaranya disebutkan dalam surat At-Taubah ayat 44-45, “Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhir, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya.”

2. Terjaga dari segala yang diharamkan Allah, baik dalam keadaan bersama manusia atau jauh dari mereka. Disebutkan dalam hadits, “Aku beritahukan bahwa ada suatu kaum dari umatku datang di hari kiamat dengan kebaikan seperti Gunung Tihamah yang putih, tetapi Allah menjadikannya seperti debu-debu yang berterbangan. Mereka adalah saudara-saudara kamu, dan kulitnya sama dengan kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu. Tetapi mereka adalah kaum yang jika sendiri melanggar yang diharamkan Allah.” (HR Ibnu Majah)

Tujuan yang hendak dicapai orang yang ikhlas adalah redha Allah, bukan redha manusia. Sehingga, mereka senantiasa memperbaiki diri dan terus beramal, baik dalam keadaan bersendirian atau ramai, dilihat orang atau tidak, mendapat pujian atau celaan. Kerana mereka yakin Allah Maha melihat setiap amal baik dan buruk sekecil apapun.

3. Dalam dakwah, akan terlihat bahwa seorang da'i yang ikhlas akan merasa senang jika kebaikan dapat direalisasikan di tangan saudaranya sesama da'i, sebagaimana dia juga merasa senang jika terlaksana oleh tangannya.

Para da'i yang ikhlas akan menyedari kelemahan dan kekurangannya. Oleh kerana itu mereka senantiasa membangun amal jama’i dalam dakwahnya. Senantiasa menghidupkan syuro dan mengukuhkan peringkat dan sistem dakwah. Berdakwah untuk kemuliaan Islam dan umat Islam, bukan untuk meraih populariti dan membangga dirinya semata.

Friday, January 28, 2011

NIKMAT SYURGA..



Abu Hurairah r.a. berkata: Ya Rasulullah dari apakah dibuat syurga itu? Jawabnya: Dari Air. Kami bertanya: Beritakan tentang bangunan syurga! Jawabnya yang bermaksud:
Satu bata dari emas dan satu bata dari perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara dan vakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya.

Kemudian Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Tiga macam doa yang tidak akan tertolak: imam (pemimpin hakim) yang adil. Dan orang puasa ketika berbuka. Dan orang yang teraniaya, maka doanya terangkat di atas awan, dilihat oleh Tuhan lalu berfirman. Demi kemuliaan dan kesabaranKu, Aku akan bela padamu walau hanya menanti masanya.

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya di dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya, bacalah: Wa dhilin mamdud (dan naungan yang memanjang terus). Dan di dalam syurga kesenangannya yang tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga, bahkan tidak pernah terlintas dalam hati (perasaan) manusia, bacalah kamu: Maka tidak seorangpun yang mengetahui apa yang tersembunyi bagi mereka dari kesenangan yang memuaskan hari sebagai pembalasan apa yang telah mereka lakukan. Dan tempat pecut di dalam syurga lebih baik dari dunia seisinya. Bacalah ayat yang bermaksud: Maka siapa dijauhkan dari api dan dimasukkan dalam syurga bererti telah untung.

Ibn Abbas r.a. berkata: Sesungguhnya di dalam syurga ada bidadari yang dijadikan dari empat macam: misik, anbar, kafur dan za'faran, sedang tanahnya dicampur dengan air hidup (hayawan) dan setelah dijadikan maka semua bidadari asyik kepadanya, andaikan ia berludah dalam laut tentu menjadi tawar airnya, tercantum di lehernya: Siapa yang ingin mendapat isteri seperti aku maka hendaklah taat kepada Tuhanku.

Mujahid berkata: Bumi syuga dari perak dan tanahnya dari misik dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, sedang daun dan buahnya di bawah itu, maka siapa yang makan sambil berdiri tidak sukar dengan duduk juga tidak sukar dan sambil berbaring juga tidak sukar, kemudian membaca ayat: Dan dimudahkan buah-buahnya sehingga semudah-mudahnya. Sehingga dapat dicapai oleh orang yang berdiri mahupun yang duduk dan berbaring.

Abu Hurairah r.a. berkata: Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Shuhaib r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka ada seruan. Hai ahli syurga Allah akan menepati janjiNya kepada kamu. Mereka berkata: Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihatNya, demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat kepada zat Allah.

Anas bin Malik r.a. berkata: Jibril datang kepada Nabi s.a.w. membawa cermin putih yang ditengahnya ada titik hitam, maka Nabi s.a.w. bertanya kepada Jibril: Apakah cermin yang putih ini? Jawabnya: Ini hari Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada di hari Jumaat, telah dikurniakan untukmu dan umatmu, sehingga umat-umat yang sebelummu berada di belakangmu, iaitu Yahudi dan nashara (Kristian) dan ada saat di hari Jumaat jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk kebaikan pada saat itu pasti ia akan diterima oleh Allah atau berlindung kepada Allah dari suatu bahaya pasti akan dihindarkannya dan hari Jumaat di kalangan kami (malaikat) dinamakan yaumul mazid (hari tambahan). Nabi s.a.w. bertanya: Apakah yaumul mazid itu? Jawab Jibril: Tuhan telah membuat lembah di syurga jannatul firdaus, di sana ada anak bukit dari misik kasturi dan pada tiap hari Jumaat di sana disediakan mimbar-mimbar dari nur (cahaya) yang diduduki oleh para nabi dan ada mimbar-mimbar dari emas bertaburan permata yaqut dan zabarjada di duduki para siddikin suhada' dan salihin, sedang orang-orang ahli ghurof (yang di bilik syurga) berada di belakang mereka di atas bukit kecil itu berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk memuja muji kepada Allah, minta (Kami mohon keredaanMu). Jawab Allah: Aku telah reda kepadamu, keredaan sehingga kamu Aku tempatkan di rumahKu dan Aku muliakan kamu, kemudian Allah menampakkan kepada mereka, sehingga mereka dapat melihat zatNya, maka tidak ada hari yang mereka suka sebagaimana hari Jumaat, kerana mereka merasa bertambahnya kemuliaan kehormatan mereka.

Dalam lain riwayat: Allah menyuruh kepada Malaikat: Berikan makan kepada para waliKu, maka dihidangkan berbagai makanan maka terasa pada tiap suap rasa yang lain dari semula, bahkan lebih lazat, sehingga bila selesai makan, diperintahkan oleh Allah: Berikan minum kepada hamba-hambaKu, maka diberi minuman yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah selesai maka Tuhan berfirman yang bermaksud: Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta nescaya Aku berikan permintaanmu. Jawab mereka. Kami minta redaMu, Kami minta redaMu, dua atau tiga kali. Dijawab oleh Allah: Aku reda kepadamu, bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan kehormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima, maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat zat Allah sekehendak Allah, maka segeralah mereka bersujud kepada Allah sekehendak Allah, sehingga Allah menyuruh mereka: Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat, maka di situ mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat zat Allah yang mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah arsy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan di atas kepala mereka di atas ubun-ubun kuda mereka maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka, sehingga isteri-isteri mereka berkata: Kamu kini lebih elok dari yang biasa.

Abul-Laits berkata: Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi mereka untuk melihatNya. Dan erti nasihat kepadaNya, yakni melihat kebesaran yang belum pernah terlihat sebelumnya, tetapi kebanyakan ahli ilmu mengertikan: Melihat zat Allah tanpa perumpamaan.

Ikramah berkata: Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang umur 33 tahun lelaki dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta setinggi Nabi Adam a.s. muda-muda yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya, memakai tujuh puluh macam perhiasan, yang berubah warnanya tiap-tiap jam, tujuh puluh macam warna, maka dapat melihat mukanya di muka isterinya demikian pula di dadanya, dibetisnya, demikian pula isterinya dapat melihat wajahnya di wajah suaminya, dada dan betisnya, mereka tidak berludah dan tidak beringus, lebih-lebih yang lebih kotor, maka lebih jauh.

Dalam riwayat lain: Andaikan seorang wanita syurga menunjukkan tapak tangannya dari langit nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.

Zaid bin Arqam r.a. berkata: Seorang ahli kitab datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya: Ya Abal-Qasim apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan munum? Jawab Nabi s.a.w.: Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangannya, seorang ahli syurga diberi kekuatan sertus orang dalam makan, minum dan jima' (bersetubuh). Ia berkata: Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kotoran? Jawab Nabi s.a.w.: Hajat seseorang itu berupa peluh (keringat) yang berbau harum bagaikan kasturi.

Mu'tah bin Sumai mengenai firman Allah yang bermaksud: Thuba ialah pohon di syurga yang dahannya dapat menaungi tiap rumah di syurga, di dalamnya berbagai macam buah dan dihinggapi burung-burung besar, sehingga bila seorang ingin burung dapat memanggilnya dan segera jatuh di ata meja makannya dan dapat makan di sayap yang sebelah berupa dinding dan yang lain berupa panggangan, kemudian bila telah selesai ia terbang kembali.

Dari Al'amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak ingus, sisir rambut mereka dari emas, dan ukup-ukup mereka dari kayu gahru yang harum dan peluh mereka kasturi dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s. enam puluh hasta.

Ibn Abbas r.a. berkata: Raulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, lurus, tidak ada rambut di kepala, alis dan kelopak mata, sedang janggut, kumis, ketiak dan kemaluan tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s., enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh orang itu sekuatnya.

Dan tiap orang wali mendapat tujuh puluh perhiasan, tiap perhiasan berbeza warna dengan yang lain, sedang di jari-jarinya ada sepuluh cincin, terukir pada yang pertama: Salam alaikum bima shobartum dan yang kedua Ud khuluha bisalamin aminin yang ketiga: Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun. Dan yang keempat: Rufi'at ankumul ahzanu wal humum. Kelima: Albasakum alhuli wal hulal. Keenam: Zawwa jakum ul hurul iin. Ketujuh: Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun. Kelapan: Rafaq tumunnabiyina wassdidiqin. Kesembilan: Shirtum syababa laa tahromun. Kesepuluh: Sakantum fi jiwari man laa yu'dzil jiran. Ertinya:-

1. Selamat sejahteralah kamu kerana kesabaranmu.
2. Masuklah ke syurga dengan selamat dan aman.
3. Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu.
4. Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita.
5. Kami memberimu pakaian dan perhiasan.
6. Kami kahwinkan kamu dengan bidadari.
7. Untukmu dalam syurga segala keinginan dn menyenangkan padangan matamu.
8. Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan siddiqin.
9. Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya.
10. Kamu tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya.

Abul-Laits berkata: Sesiapa yang ingin mendapat kehormatan itu hendaklah menepati lima macam:-

1.Menahan dari maksiat, kerana firman Allah yang bermaksud: Dan menahan nafsu dari maksiat maka syurga tempatnya.

2.Rela dengan pemberian yang sederhana sebab tersebut dalam hadis: Harga syurga itu ialah tidak rakus pada dunia.

3.Rajin pada tiap taat dan semua amal kebaikan, sebab kemungkinan amal itulah yang menyebabkan pengampunan dan masuk syurga, firman Allah yang bermaksud: Itu syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu.

4.Cinta pada orang-orang yang salih dan bergaul pada mereka sebab mereka diharapkan syafa'atnya sebagaimana dalam hadis yang bermaksud: Perbanyaklah kawan, kerana tiap kawan itu ada syafaatnya pada hari kiamat.

5.Memperbanyak doa dan minta masuk syurga dan husnul khotimah. Sebagaimana ahli nikmat berkata: Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti satu kebodohan. Dan tidak bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti lemah malas dan di syurga ada masa istirehat tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang tidk pernah istirehat di dunia dan ada kepuasan yang tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang meninggalkan berlebihan di dunia dan cukup dengan kesederhanaan yang ada di dunia. Ada seorang zahid makan sayur dan garam, lalu ditegur oleh orang; Kamu cukup dengan itu tanpa roti? Jawabnya: Soya jadikan makan itu untuk syurga sedang kau jadikan untuk tandas, kau makan segala yang lazat dan akhirnya ke tandas, sedang makan sekadar untuk menguatkan taat, semoga saya sampai ke syurga.

Ibrahim bin Adham ketika akan masuk ke tempat pemandian, dilarang oleh penjaganya:

Jangan masuk kecuali jika membayar wangnya, maka ia menangis dan berdoa: Ya Allah seorang untuk masuk ke rumah syaitan tidak diizinkan tanpa upah, maka bagaimana saya akan masuk ke tempat para nabi dan siddiqin tanpa upah (Cuma-Cuma)?

Tersebut dalam wahyu yang diturunkan pada sebahagian para Nabi itu: Hai Anak Adam kau membeli neraka dengan harga mahal dan tidak mahu membeli syurga dengan harga murah, ertinya: Adakalanya pengeluaran untuk maksiat itu banyak dan ringan, tetapi untuk sedekah kebaikan sedikit dan berat.

Abu Hazim berkata: Andaikata syurga itu tidak dapat dicapai kecuali dengan meninggalkan kesukaannya di dunia, nescaya itu ringan dan sedikit untuk mendapat syurga dan andaikan neraka itu tidak dapat dihindari kecuali dengan menanggung semua kesukaran-kesukaran dunia, nescaya itu ringan dan sedikit di samping keselamatan dari neraka. Padahal kamu dapat masuk syurga hanya dengan meninggalkan satu persen dari kesukaanmu dan dapat selamat dari neraka dengan sabar menderita satu persen dari kesukaran.

Yahya bainMu'adz Arrazi berkata: Meninggalkan dunia berat, tetapi meninggalkan syurga lebih berat, sedang maharnya syurga ialah meninggalkan dunia.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Siapa yang minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa: Ya Allah masukkan ia ke syurga dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali, maka neraka berdoa: Ya Allah hindarkan ia dari neraka.

Semoga Allah menghindarkan kami dari neraka dan memasukkan kami ke dalam syurga. Dan andaikan di dalam syurga itu tidak ada apa-apa kecuali bertemu dengan kawan-kawan nescaya itu sudah enak dan baik, maka bagaimana padahal di syurga itu segala kehormatan dan kepuasan itu semua ada.
Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Manusia semua akan berdiri di dekat neraka, kemudian mereka menyeberang di atas sirat (jambatan) di atas neraka, masing-masing menurut amal perbuatannya, ada yang menyeberang bagaikan kilat, ada yang bagaikan angin kencang dan yang bagaikan kuda yang cepat larinya dan seperti lari orang dan ada yang bagaikan terbang burung dan ada yang seperti unta yang cepat dan yang akhir berjalan di atas kedua ibu jari kakinya, kemudian tersungkur dalam neraka dan sirat itu licin, halus, tipis, tajam semacam pedang, berduri sedang di kanan kirinya Malaikat yang membawa bantolan untuk menyeret orang-orang, maka ada yang selamat dan ada yang luka-luka tetapi masih selamat dan ada yang langsung tersungkur ke dalam api neraka, sedang para Malaikat itu sama-sama berdoa: Robbi sallim sallim (Ya Tuhan selamatkan, selamatkan) dan ada orang yang berjalan sebagai orang yang terakhir masuk ke syurga maka ketika ia selamat dari sirat terbuka baginya di syurga, sehingga ia berdoa: Ya Tuhan tempatkan saya di sini. Jawab Tuhan: Kemungkinan jika aku beri padamu tempat itu lalu minta yang lainnya? Jawabnya: Tidak, demi kemuliaanMu. Maka ditempatkan di situ, kemudian diperlihatkan kepadanya tempat yang lebih baik, sehingga ia merasa kerendahan tempat yang diberikan padanya, lalu ia berkata: Ya Tuhan tempatkanlah aku di situ, dijawab oleh Tuhan: Kemungkinan jika aku berikan kepadamu, kamu minta yang lainnya? Jawabnya: Tidak demi kemuliaanMu, kemudian diperlihatkan kepadanya syurga yang lebih baik, sehingga ia merasa bahawa tempatnya itu masih rendah, tetapi ia diam tidak berani minta beberapa lama, sehingga ditanya: Apakah kau tidak minta? Jawabnya: Soya sudah minta sehingga merasa malu, maka firman Allah: Untukmu sebesar dunia sepuluh kali, maka inilah yang terendah tempat di syurga.

Abdullah bin Mas'ud berkata: Nabi s.a.w. jika menceritakan ini maka tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya.

Dalam hadis: Di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi dari bidadari kerana amalan perbuatannya ketika di dunia.

Firman Allah yang bermaksud:
Kami cipta mereka baru dan kami jadikan mereka tetap gadis, yang sangat kasih dan cinta, juga tetap sebaya umurnya untuk orang-orang ahli yamin.

Sumber dari Masjid Al-Azim

AZAB NERAKA....



MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sebagai seorang Islam kita wajib percaya dengan adanya hari akhirat dan wajib beriman kepada semua perkara-perkara Samiyyat seperti syurga dan neraka. Sesungguhnya neraka itu wujud dan diciptakan sebagai hukuman dan pembalasan Allah S.W.t kepada perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan semasa hidup di dunia. Neraka adalah suatu tempat yang disediakan Allah S.W.T. untuk mereka yang berdosa dan derhaka kepada Allah S.W.T dan rasul-Nya. Allah S.W.T. berfirman dalam surah An-Nisaa' ayat 14 tafsirnya :

"Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekal lah ia di dalamnya dan baginya azab siksa yang amat menghina".

Muslimin yang dirahmati Allah, Ketahuilah bahawa neraka itu adalah api yang sangat panas, berjuta-juta lebih panas dari api di dunia. Jika sekiranya api neraka itu jatuh ke dunia walaupun sebesar biji sawi, maka ketika itu hancurlah dunia ini. Neraka itu bukanlah berupa unggun api yang menyala di suatu tempat lapang yang terbuka dan bukanlah seperti gunung berapi yang mengumpul-ngumpulkan asap dari dalam sebuah lubang yang sangat dalam, tetapi neraka itu bertingkat-tingkat dan berpintu-pintu. Setiap tingkat mempunyai gunung-gunung, bukit-bukit dan sungai-sungai, bercorong dan bertelaga. Semuanya terjadi dari api yang sangat panas. Neraka itu mempunyai tujuh tingkat dan tujuh pintu iaitu Jahanam, Latha, Hutamah, Sa'ir, Saqar, Jahim dan Hawiyah. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hijr ayat 44 tafsirnya :

"Ia (neraka) mempunyai tujuh pintu, bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka yang sesat dan menyesatkan ini".

Di dalam neraka juga terdapat sebuah lembah wail yang seram dan menakutkan dan sangat panas, penuh dengan binatang yang berbisa. Inilah lembah yang sangat ditakuti, apinya amat menggerunkan, menderu dan menggetarkan sampai kehulu hati. Di sinilah tempat pembalasan bagi orang yang mendustakan agama. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Mursalaat ayat 15 tafsirnya :

"Neraka Wail lah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan apa yang dijanjikan oleh Rasul-nya".

Ketahuilah bahawa orang yang mendustakan agama itu antaranya ialah orang yang mensia-siakan anak yatim, orang yang tidak mahu memberi makan orang miskin, orang yang lalai sembahyang, orang yang sembahyang kerana riak dan orang yang enggan membayar zakat.

Neraka Wail juga disediakan untuk mereka yang amat buruk pergaulannya antara sesama manusia, umpamanya orang yang suka mengumpat, menghina dan sebagainya, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Al-Humazah ayat 1-2 tafsirnya :

"Neraka Wail lah bagi orang yang mengumpat (pencaci kelakuan orang lain). Dan orang yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaan".


Pada hari akhirat nanti iblis dan mereka yang kafir dan munafik akan dibelenggu, diikat kaki dan tangannya dan setelah itu mereka akan diheret atau ditolak atau dilemparkan masuk ke dalam neraka. Mereka tidak diadili, tidak dihisab, tidak dimizan iaitu ditimbang dan juga tidak pula meniti Siratul Mustaqim kerana dosa dan kesalahan mereka memang sudah diketahui dan sudah nyata.

Manakala bagi umat yang mentauhidkan Allah Subhanahu Wata'ala iaitu umat Nabi Muhammad S.A.W. dan umat nabi-nabi yang terdahulu, sama ada mereka yang beramal soleh mahupun mereka yang derhaka, mereka ini akan dihisab iaitu diadili, ditanya sampai kepada perkara-perkara yang sekecilnya. Mereka akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan mereka selama hidup mereka. Setelah itu amalan mereka akan dimizan dan diputuskan hukumannya dan ditentukan siapa-siapa yang akan masuk syurga dan siapa-siapa pula yang akan masuk neraka.

Selepas itu mereka akan meniti titian Siratul Mustaqim. Titian itu lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang. Ada yang berjaya menyeberanginya dan ada pula yang terjatuh ke lubang neraka jahanam.

Bagi mereka yang dimasukkan ke neraka, setelah sampai ke dalam neraka maka terjadilah keributan, pekik dan raung memecahkan kesunyian, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Faathir ayat 37 tafsirnya :

"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka sambil merayu : Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini, kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan".

Maka terjadilah penyesalan tidak terhingga, tetapi sesalan itu sedikit pun tidak berguna. Di neraka mereka akan terus menerus disiksa. Setiap kali kulit mereka hangus dimakan api, maka akan ditukar dengan kulit yang baru, dan mereka tetap menderita selama-lamanya. Oleh kerana tidak tertahan azab siksa panas api yang membakar, maka mereka meronta-ronta kesakitan dan cuba untuk lari keluar. Tetapi hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku kerana pintu-pintu neraka itu telah ditutup rapat-rapat dan dijaga oleh malaikat penjaga neraka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jarak antara syurga dan neraka itu sangat jauh. Akan tetapi walaupun jaraknya berjauhan, namun penghuninya saling melihat antara satu sama lain dan saling dapat berbicara dengan jelas. Mereka yang berada di dalam neraka boleh nampak dengan jelas segala kesenangan dan kenikmatan di dalam syurga. Oleh kerana tidak tertahan dengan penderitaan dan kesengsaraan di dalam neraka dengan rasa dahaga yang memutuskan kerongkong dan rasa lapar yang tidak terhingga serta melihat pula kesenangan, kenikmatan dan kemewahan yang terdapat di syurga, maka mereka bermohon kepada mereka yang ada di syurga, 'Tolong limpahkan air yang sejuk untuk kami minum atau apa-apa yang telah direzekikan Allah kepada mu untuk kami'. Mereka yang ada di syurga menjawab, 'Sesungguhnya Allah telah melarang (mengharamkan) keduanya kepada orang-orang yang kafir'.

Ketika penghuni syurga sedang bersenang-senang, tiba-tiba terdengar pekikan penghuni neraka yang sedang disiksa meminta tolong. Jika yang memekik meminta tolong itu adalah anak atau ibu bapa, maka sedihlah penghuni syurga tersebut dan remuklah hatinya. Sebenarnya dia ingin hendak menolong, apa lagi jika yang meminta tolong itu anak kandungnya sendiri. Tetapi apakan daya mereka tidak dapat tolong menolong.

Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin, marilah kita meninsafi segala dosa yang pernah kita lakukan dengan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala selagi masa masih ada dan sama-samalah kita menyelamatkan diri kita dari api neraka. Di samping itu kita hendaklah juga menyelamatkan ahli keluarga kita dari api neraka iaitu dengan memastikan diri kita dan semua ahli keluarga kita iaitu dengan mengerjakan segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita semua akan tergolong di kalangan orang-orang yang akan menerima balasan syurga dan dijauhi dari azab neraka. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Tahriim ayat 6 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya, manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar layanannya. Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Thursday, January 27, 2011

TAUBAT

PERDENGARKANLAH ISTIGHFAR MUNAJAT TAUBAT




Taubat adalah kembali kepada Allah setelah melakukan dosa. Taubat merupakan rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya agar kita kembali kepada-Nya.

Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa. Islam juga tidak membiarkan manusia berputus asa dari pengampunan Allah, betapa pun dosa yang telah diperbuat manusia. Bahkan Nabi Muhammad telah membenarkan hal ini dalam sebuah sabdanya yang berbunyi: "Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat (dari kesalahan tersebut)."

Di antara kita pernah berbuat kesalahan terhadap diri sendiri, terhadap keluarga bahkan terhadap Allah. Dengan segala rahmatnya, Allah memberikan jalan kembali kepada ketaatan, pengampunan dan rahmat-Nya dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat. Seperti diterangkan dalam surat Al Baqarah: 160 "Dan Akulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

Taubat dari segala kesalahan tidaklah membuat seseorang terhina di hadapan Tuhannya. Tetapi akan menambah kecintaan seorang hamba dengan Tuhannya kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan menyucikan diri. Sebagaimana firmanya dalam surat Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."

Taubat dalam Islam tidak mengenal perantara, bahkan pintunya selalu terbuka luas tanpa penghalang dan batas. Allah selalu menbentangkan tangan-Nya bagi hamba-hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya. Seperti terungkap dalam hadis riwayat Imam Muslim dari Abu musa Al-Asy`ari: "Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan pada malam hari sampai matahari terbit dari barat."



Amat rugilah orang-orang yang berputus asa dari rahmat Allah dan membiarkan dirinya terus-menerus melakukan dosa. Padahal, pintu taubat sentiasa terbuka dan sesungguhnya Allah akan mengampunkan semua dosa-dosa kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha penyayang.

Firman Allah dalam surat Al-Imran ayat: 133, "Bersegeralah kepada pengampunan dari tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, yakni orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon pengampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."

Taubat yang paling tinggi di hadapan Allah adalah "Taubat Nasuha", iaitu taubat yang paling murni. Sebagaimana dijelaskan dalam surah At-Tahrim: 66, "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersamanya, sedang cahaya mereka memancar di depan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan 'Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu'".

Taubat Nasuha adalah bertaubat dari dosa yang diperbuatnya saat ini dan menyesal atas dosa-dosa yang dilakukannya di masa lalu dan berjanji untuk tidak melakukannya lagi di masa akan datang. Apabila dosa atau kesalahan tersebut terhadap sesama manusia, maka caranya adalah dengan meminta maaf kepadanya. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat, "Apakah penyesalan itu taubat?", "Ya", kata Rasulullah (H.R. Ibnu Majah). Amr bin Ala pernah mengatakan: "Taubat Nasuha adalah apabila kamu membenci perbuatan dosa sebagaimana kamu pernah mencintainya".




KEBESARAN ALLAH

SUNGAI DI DALAM LAUT

Saksikanlah Kebesaran dan Keagungan Allah S.W.T.

Fiman Allah yang bermaksud “Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu. ” Surah Al-Fushilat ayat 53




“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang satu tawar lagi segar dan yang satu lagi masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.” Surah Al-Furqan ayat 53



DOA.....



Berdoa/memohon sesuatu kepada Allah perlu dilakukan dengan berhati-hati dan tidak boleh sembarangan, beserta adab-adab dan syarat-syarat yang ditetapkan. Orang yang berdoa sambil lewa dan menganggap bahawa berdoa itu adalah suatu yang remeh adalah orang yang doanya jarang dikabulkan sehingga kemudian timbul prasangka buruk kepada Allah SWT.

Kehidupan kita perlulah dipenuhi dengan perkara halal. Dari makanan dan segala bentuk perkara perlulah halal dan ianya merupakan salah satu bentuk ketaatan kita kepada Allah dalam memenuhi segala perintah-Nya. Maka apabila seseorang itu selalu taat kepada Allah dalam segala perkara dan sentiasa berada dalam kebenaran, insyaAllah apa sahaja yang dipohon akan dimakbulkan Allah.

Berdoalah dengan penuh keyakinan, harapan dan rasa takut, merendahkan diri dengan suara yang lembut, tenang, tidak tergesa-gesa, penuh khusyuk dan tahu akan hakikat yang diminta. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud : “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut..” (Surah al-A’raf : Ayat 55)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Tiada seorangpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperolehi salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa”. (at-Tabrani)

Bagi manusia yang tidak mahu berdoa pula, Allah menganggap mereka ini adalah golongan yang sombong dengan Allah. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang takbur (sombong atau merasa besar diri) dari berdoa (tidak mahu berdoa) kepadaKu akan Aku masukkan dia ke Neraka yang amat hina." Surah al-Ghafir ayat 60.

MARILAH KITA CUBA MENGAMALKAN PETUA DARIPADA RASULULLAH S.A.W. SUPAYA DOA-DOA KITA DIMAKBULKAN OLEH ALLAH S.W.T.

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya, siapa yang meminta kepadaKu maka Aku berikan kepadanya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya".

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."



Wednesday, January 26, 2011

JANGAN DERHAKA KEPADA IBUBAPA



Kini kita telah memasuki satu zaman yang penuh dengan cabaran. Ramai manusia yang terjerumus ke dunia keruntuhan akhlak. Mereka menjauhi ajaran-ajaran Allah dan tenggelam dalam dosa dan kejahatan. Catatan ini hanyalah sekadar untuk mengingatkan diri saya dan semua agar kita sentiasa mengingati bahaya yang mungkin menimpa kita di dunia dan di akhirat kelak.

Firman Allah dalam surah Nuh Ayat 25 bermaksud " kerana dosa-dosa dan kesalahan mereka, maka mereka ditenggelamkan dengan pukulan taufan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka di akhirat kelak dan sesungguhnya tiada siapa pun yang dapat menolong mereka selain daripada Allah”.

Kali ini kita akan membincangkan bab berikut :

1. Dosa Kita Kepada Ibubapa

Derhaka kepada ibubapa yang dimaksudkan adalah melakukan sesuatu yang menyakiti, banyak mahupun sedikit, seperti enggan melakukan apa yang mereka suruh dan membuat apa yang mereka larang. Dosa terhadap Ibu Bapa adalah dosa yang paling besar. Rasulullah s.a.w. telah memperingatkan kita supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati mereka dengan sabdanya yang bermaksud :

Perlukah aku beritahu kamu tiga perkara dosa besar yang paling besar?” Kami (para sahabat) menjawab, “Tentu, ya Rasulullah.” Maka Nabi berkata “ Menyekutukan Allah dan menderhaka kepada Ibubapa.” Pada mulanya Nabi bersandar lalu Nabi duduk untuk melanjutkan percakapan. “Begitu juga dengan pembohongan dan penyaksian palsu.” Beiau terus mengulanginya sehingga kami ingin beliau berhenti”. (Riwayat Bukhori dan Muslim).

Firman Allah bermaksud :
“Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya serta berbuat baiklah kepada Ibubapa.” (Surah An-Nisa ayat 36)

Firman Allah lagi yang bermaksud :
“Bersyukurlah kepada-Ku dan berterima kasihlah kepada Ibubapamu, hanya kepada Ku tempat kembali.” (SurahLuqman ayat 14)

Ayat di atas menyatakan bahawa bersyukur kepada Allah tidak membawa apa-apa erti andai tidak disekalikan dengan terima kasih kepada Ibubapa, berbuat baik kepada mereka sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul.

Islam meletakkan kedudukan Ibu lebih istimewa daripada ayah. Kasih sayang ibu lebih nyata dan lebih banyak. Ibulah yang menanggung bagaimana susahnya waktu mengandung, melahirkan, menyusukan, berjaga malam, menukar lampin dan sebagainya.Pengorbanan ibu telah disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud :

Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua Ibubapanya. Ibu telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan penuh penderitaan. Mengasuh dengan sabar sejak dari mengandung sehingga bercerai susu, selama tiga puluh bulan lamanya.” (Surah Al-Kahfi ayat 15)

Dalam sabda Nabi yang lain yang bermaksud : “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. lalu bertanya, “Kepada siapakah yang paling patut aku berbuat baik?.” Nabi menjawab, “Kepada Ibumu.” “Selepas itu kepada siapa.” Tanya lelaki itu. Nabi menjawab, “Kepada Ibumu.” Selepas itu kepada siapa. Tanya lelaki itu. Nabi menjawab, “Kepada Ibumu.” Setelah itu kepada siapa. Lelaki itu masih bertanya. Nabi menjawab, “Selepas itu kepada ayahmu.” (Riwayat Bukhori dan muslim)

Nabi Muhammad s.a.w. mengulangi perkataan “Kepada Ibumu” sehingga 3 kali untuk menyatakan betapa ketaatan anak kepada ibunya lebih daripada ayahnya walaupun anak diwajibkan taat kepada kedua-duanya. Ini adalah kerana kepayahan, keperitan dan penderitaan yang ditanggung oleh ibunya lebih dalam membesar dan mendidik anaknya.

Namun begitu, ketaatan kita kepada ayah tidaklah terpinggir begitu sahaja, sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sebuah hadis yang bermaksud :

Seorang lelaki datang mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w. katanya “sesungguhnya ayahku telah merampas hartaku. Nabi berkata “Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, Anak-anak kamu adalah hasil usaha kamu yang terbaik. Oleh itu kamu berhak memakan harta mereka.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kesimpulannya, hendaklah kita sentiasa taat dan patuh kepada Ibubapa kita. Janganlah kita membentak, mengherdik atau menyergah malah mengeluh atau berdengus pun tidak dibenarkan dan sudah dikira berdosa. Kasihilah mereka sementara mereka masih bernyawa. Sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita menjadi anak yang derhaka kepada Ibubapa.




Monday, January 24, 2011

TAZKIRAH

Kebenaran Azab Kubur Berdasarkan al-Quran & Hadith
----------------------------------------------------------------

Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh. Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati.

Apabila berada di dalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat. Beberapa Ayat al-Quran Yang menyatakan Azab Kubur,

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Taha: 124).

Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhdiallahu ‘anhum perkataan اكنض (yang sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahih.

“Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)

Sebahagian ulama’ menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Ayat di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh. (Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, al-Qurtubi: 8/4415-4416)

Imam Ibn Kathir ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh.

“Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang tersebut”. (Surah At-Thuur: 47)

Al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirat: 152 & Al-Qurtubi: 9/4786).

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)”. Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Kiamat)! (Surah at-Takathur: 1-3)

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa surah ini mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur. Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. (At-Tazkirah: 152 & al-Qurtubi: 10/5540-5541) Beberapa Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur Daripada riwayat Abi Ayyub katanya :

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari).

Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma: Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat Imam Muslim: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Muslim)

Maka jelas daripada segala ayat al-Quran dan hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.

Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah.





Ingat-Mengingati Perkara Asas Rukun Islam



Para ulama menetapkan setiap umat Islam mesti mematuhi 5 perkara asas dalam Islam yang dikenali sebagai Rukun Islam yang terdiri daripada lima perkara iaitu:-

1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Menunaikan solat fardu lima waktu
3. Berpuasa pada bulan Ramadan
4. Membayar zakat - Zakat fitrah, Zakat harta
5. Mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu

Selain dari itu, kita juga perlu percaya kepada Rukun Iman yang 6 ;

1. Syahadah
----------------

Mengucap dua kalimah syahadah iaitu :

TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH, MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH.

“"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah)melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali ‘Imran : 18)[1] ”

2. Solat
-----------

Solat adalah ibadat fardu yang wajib dilakukan oleh orang Islam lima kali sehari. Solat lima waktu ini dikenali sebagai solat Fardu atau solat yang wajib dilakukan.

“" Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. " - (Surah An-Nisaa’: 103)[2] ”

Waktu Solat telah ditentukan masanya
• Solat Subuh (Sekurang-kurangnya sejam setengah sebelum matahari terbit)
• Solat Zohor (Baru sahaja selepas tengah hari)
• Solat Asar (Waktu petang)
• Solat Maghrib (Baru sahaja selepas matahari terbenam)
• Solat Isyak (Sekurang-kurangnya sejam setengah selepas matahari terbenam)

Sebelum solat dapat dilakukan, seorang harus membersihkan diri daripada hadas besar dan hadas kecil. Pembersihan hadas kecil dikenali sebagai Wudhu. Manakala pembersihan hadas besar pula adalah Mandi wajib (ghusl). Solat harus dilakukan dalam bahasa Arab, yakni bahasa Al-Quran. Ketika solat, orang Muslim hendaklah berdiri tegak (bagi siapa yang mampu), rukuk, sujud sambil menghadap ke arah Kiblat yakni menghadap Kaabah di Makkah. Ianya berakhir dengan memandang ke kanan dan kemudian ke kiri, menyebut "Assalamu 'alaikum" bermaksud salam sejahtera bagimu.

3. Puasa
-----------

“" Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. " - (Surah Al-Baqarah: 183)[3] ”

“" (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela
memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. " - (Surah Al-Baqarah: 184)[4] ”

“" (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. " - (Surah Al-Baqarah: 185)[5] ”


4. Zakat
------------

Zakat dari segi syarak adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.

“" Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah Al-Baiyinah : 5)[6] ”

“" Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. " (Surah At-Taubah : 103)[7] ”

“" Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. " (Surah At-Taubah : 60)[8] ”


5. Menunaikan haji
----------------------

Semua orang Islam yang mampu wajib mengerjakan haji, tidak berkira asal-usul mereka. Umat Islam harus mengerjakan rukun ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

“" Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya
(tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. " (Surah Ali ‘Imran : 97)[9]

Semasa haji para Muslim mengingati peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Penyelidik Muslim dan Barat mendapati cara penunaian haji ini berasal dari cara Nabi Muhammad s.a.w. melakukakannya Semasa haji, umat Muslim tiba di Pelabuhan Jeddah, dan berjalan ke Makkah. Berdekatan dengan Makkah, umat Muslim menukar ke pakaian putih yang dipanggil Ihram. Kaya atau miskin, hitam atau putih, semuanya berdiri sama rata.

Itu la sahaja paparan asas buat tatapan kita bersama. Yang asas inilah perlu kita ingati dan amalkan semoga ianya terpahat dihati dan dilaksanakan melalui perbuatan kita. InsyaALLAH.