Thursday, December 22, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 17 : RUKUN SOLAT

Sembahyang sama ada fardhu atau sunat mestilah memenuhi tiga belas rukun yang utama seperti berikut:

1. Berdiri tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap ruku‘ tanpa keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardhu. Dalam sembahyang sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya hanyalah sunat.

2. Niat dalam hati ketika melakukan takbiratul ihram dengan memusatkan qasad hendak melakukan sembahyang sambil mengingati jenis dan bentuknya sama ada fardhu atau sunat.

3. Takbiratul ihram. Cara takbir dilakukan ialah dengan lafaz "ALLAHUAKBAR". Syarat-syarat takbir ialah :

a. Ucapan takbir dilakukan semasa dalam kedudukan berdiri.
b. Melafazkan takbir dengan keadaan menghadap ke arah qiblat.
c. Takbir diucapkan dalam bahasa Arab kecuali tidak mampu berbuat demikian dan tidak sempat belajar, maka boleh dengan terjemahannya tetapi mesti dipelajari.
d. Semua huruf yang diucapkan itu didengari oleh diri sendiri.
e. Ucapan itu hendaklah terkemudian daripada ucapan imam.
f. Semasa melafazkan takbir hendaklah disertai dengan niat.


4. Membaca Al-Fatihah. Ia adalah rukun pada setiap raka‘at semasa berdiri atau kedudukan lain sebagai gantiannya dalam semua jenis sembahyang. Syarat-syaratnya adalah:

a. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
b. Bacaan itu hendaklah dengan susunan yang betul, meneliti tempat keluar (makhraj) huruf yang betul dan dinyatakan dengan segala sabdunya.
c. Janganlah terlampau berlagu hinggakan boleh mengubah maknanya.
d. Bacaan itu hendaklah dalam bahasa Arab.
e. Bacaan itu hendaklah dalam keadaan berdiri.
f. Semua ayat hendaklah dibaca dengan sempurna dalam setiap raka‘at kecuali ma’mum masbuq dan jika imam membaca terlalu cepat.


5. Ruku‘, iaitu tunduk dengan kadar membolehkan dua tapak tangannya boleh sampai kepada kedua-dua lutut. Ini yang paling kurang dan sebaik-baiknya tunduk hinggakan belakangnya sama dengan tengkuk dan menegakkan dua betis dan memegang lutut dengan tangan sambil jari-jari mencengkamnya. Syarat-syarat ruku‘ ialah tunduk dengan kadar yang dinyatakan iaitu sampai dua tapak tangan ke lutut tanpa diniatkan ruku‘ itu perkara lain selain sembahyang, dan dengan tama’ninah iaitu berterusan ruku‘ dengan keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih.

6. I‘tidal selepas ruku‘. I‘tidal bermaksud bangkit daripada ruku‘ dan kembali kepada keadaan berdiri atau gantiannya beserta dengan tama’ninah. Syarat-syaratnya ialah dilakukan tanpa tujuan lain selain mendirikan sembahyang, dilakukan dengan tama’ninah dengan kadar sekurang-kurangnya bacaan satu tasbih dan tidak terlalu panjang melebihi tempoh bacaan Al-Fatihah kerana ia adalah rukun pendek.

7. Sujud dua kali dalam setiap raka‘at. Maksud sujud ialah sentuhan dahi orang yang bersembahyang ke tempat sujud. Syarat-syarat sujud ialah:

a. Terbuka dahi tanpa berlapik dan tidak tertutup ketika melakukannya.
b. Sujud hendaklah berlaku di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua tangan (tapaknya), kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki dengan serentak.
c. Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat melebihi bahagian yang paling atas (kepala) sekadar yang termampu.
d. Sujud tidak dilakukan di atas pakaian yang bersambung dengannya yang bergerak dengan pergerakannya.
e. Tidak diniatkan selain daripada sujud sembahyang.
f. Dahi hendaklah ditekan ke tempat sujud dengan tekanan yang sederhana sekadar memberi kesan pada kain jika terdapat di bawahnya.
g. Tama’ninah ketika sujud dengan kadar mengucap sekali tasbih.

8. Duduk antara dua sujud. Caranya ialah duduk dengan sama rata beserta tama’ninah pada setiap raka‘at sama ada sembahyang secara berdiri atau tidak. Syarat-syaratnya ialah:

a. Bangkit dari sujud itu kerana melakukan ibadah bukan disebabkan perkara lain.
b. Jangan terlalu lama hingga melebih tempoh bacaan tasyahhud yang paling pendek.
c. Dilakukan dengan tama’ninah iaitu sekurang-kurangnya diam seketika selepas pergerakan anggota dan sebaik-baiknya melebihi batasan itu.


9. Duduk tahiyyat akhir yang disusuli selepasnya oleh salam. Ia dilakukan pada raka‘at akhir setiap sembahyang dan perlu untuk membaca zikir wajib iaitu tasyahhud. Cara duduk yang sunat ialah secara tawarru‘, iaitu duduk dengan dikeluarkan kaki kiri dari sebelah kanannya dan pangkal peha diletakkan di atas tanah, dan menegakkan kaki kanan serta mengeluarkan kaki kiri dari bawah kaki kanan dan menekan jari kaki kanan ke atas bumi (melipatkannya) supaya hujung jari kaki kanan itu menghala ke qiblat.

10. Membaca tasyahhud semasa duduk kali terakhir.

Syarat-syarat tasyahhud adalah seperti berikut:

a. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
b. Bacaan hendaklah berurutan tanpa diselangi oleh diam yang lama atau zikir lain.
c. Bacaan itu hendaklah dilakukan semasa duduk kecuali jika berlaku keuzuran.
d. Bacaan itu hendaklah dengan bahasa Arab melainkan jika tidak mampu.
e. Semasa membacanya hendaklah menitikberatkan tempat keluar huruf (makhraj) dan segala shaddahnya (baris sabdu).
f. Pembacaannya hendaklah secara tertib dari segi kalimah-kalimahnya.

11. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud (tahiyyat akhir) semasa duduk kali terakhir. Seelok-elok lafaz salawat ialah salawat Al-Ibrahimiyyah. Syarat-syarat bacaan salawat ialah:

a. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
b. Hendaklah dengan lafaz “Muhammad” . Boleh juga dengan lafaz “Rasulullah” atau “An-Nabiy” .
c. Hendaklah dengan bahasa Arab kecuali tidak mampu.
d. Bacaan itu hendaklah tertib dari segi sighahnya dan dibaca selepas tasyahhud.


12. Salam yang pertama yang bertujuan untuk keluar daripada sembahyang dan dilakukan semasa duduk kali terakhir. Syarat-syaratnya ialah:

a. Dimulakan kalimah salam dengan alif dan lam iaitu "Assalam", maka tidak boleh menggantikannya dengan tanwin .
b. Diucapkan dengan “kaf al-khitab” bagi memfokuskan ucapan salam itu kepada pihak kedua.
c. Setiap kalimah hendaklah disambung dengan yang lainnya.
d. Diucapkan dengan dimasukkan “mim al-jama‘” yang menunjukkan pihak yang ditujukan salam itu pihak ramai.
e. Diucapkan salam dengan keadaan tubuh badan menghadap qiblat dengan dadanya.
f. Ucapan itu hendaklah diiringi dengan niat untuk keluar daripada sembahyang, tidak bertujuan untuk pemberitahuan semata-mata.
g. Ucapan itu hendaklah dilakukan semasa berkeadaan duduk.
h. Ucapan dilakukan dalam bahasa Arab kecuali mereka yang tidak sempat belajar.
i. Ucapan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri jika tiada sebarang halangan.


13. Tertib di antara semua rukun sembahyang tanpa mendahulukan rukun yang sepatutnya dikemudiankan.

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 16 : SYARAT-SYARAT SAH SOLAT

SYARAT-SYARAT SOLAT

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

SYARAT WAJIB SOLAT

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang.
Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:
1. Beragama Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Suci daripada haidh dan nifas.

5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.

6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.

SYARAT SAH SOLAT

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya.
Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:
1. Suci daripada hadath kecil dan besar.

2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.

3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

4. Menutup aurat.

5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).

Sunday, November 27, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 15 : SOLAT

PENGERTIAN SOLAT

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan.
Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan
yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan
syarat-syarat tertentu.

Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy. Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali sebagai rukun qalbiyy.

WAKTU SEMBAHYANG

Waktu sembahyang fardhu lima waktu iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui sabdanya yang bermaksud:

“Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan ‘Isya’ ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan ‘Isya’ ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.”

Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:

1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya.

2. Waktu ‘Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.

3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya.

4. Waktu ‘Isya’ bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar.

5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.


WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.


Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.


Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:

1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.


Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.

Tuesday, November 22, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 14 : AZAN DAN IQOMAH

PENGERTIAN AZAN DAN IQAMAH

1. Azan dan iqamah adalah dua perkara sunat dilakukan sebelum melakukan mana-mana sembahyang fardhu.

2. Azan dari segi bahasa bermaksud pemberitahuan. Manakala dari segi syara‘ pula diertikan sebagai suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardhu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

3. Iqamah pula bermaksud sebutan tertentu untuk membangkitkan para hadirin mengerjakan sembahyang.

HUKUM AZAN DAN IQAMAH

1. Azan dan iqamah adalah sunnah mu’akkadah secara kifayah sebelum menunaikan setiap sembahyang fardhu sama ada dilakukan secara berjama‘ah atau bersendirian, sama ada sembahyang qadha’ atau tunai bagi orang lelaki.

2. Bagi lelaki yang bersembahyang bersendirian, kedua-duanya (azan dan iqamah) disunatkan secara ‘aini. Bagi kaum wanita pula, sama ada berseorangan atau berjama‘ah disunatkan melakukan iqamah sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah dengan meninggikan suara mereka.

LAFAZ AZAN DAN ATURAN MELAKUKANNYA

1. Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Ia dilaungkan sebanyak dua kali bagi setiap lafaz kecuali takbir pada awal azan disebut sebanyak empat kali dan lafaz kalimah tawhid
hanya sekali sahaja.



Lafaz tersebut adalah seperti berikut:






Pada azan subuh pula ditambah kalimah




sebanyak dua kali selepas kali yang kedua.

2. Sembahyang-sembahyang sunat yang dilakukan berjama‘ah seperti sembahyang sunat hari raya, tarawih dan sebagainya tidak disunatkan azan dan iqamah. Cuma dilaungkan semasa hendak menunaikannya dengan lafaz

atau

pada sembahyang tarawih diucap .

SYARAT SAH AZAN DAN IQAMAH

1. Masuk waktu sembahyang melainkan waktu Subuh kerana ia mempunyai dua azan. Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu iaitu bermula waktunya selepas berlalu separuh malam.

2. Hendaklah dengan bahasa Arab, tetapi boleh melakukan azan untuk diri sendiri dengan terjemahannya sekiranya tidak tahu melakukan azan dengan bahasa tersebut.

3. Azan dan Iqamah hendaklah dinyaringkan biarpun didengari oleh salah seorang daripada jama‘ah ketika sembahyang berjama‘ah.

4. Tertib dan muwalat di antara lafaz azan dan iqamah.

5. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja.

6. Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki muslim yang berakal.


PERKARA SUNAT SEMASA AZAN

1. Mu’azzin hendaklah suci daripada hadath kecil atau hadath besar.

2. Menghadap ke arah qiblat.

3. Dilakukan oleh orang yang baik dan merdu suaranya serta nyaring.

4. Dilaungkan di tempat yang tinggi kecuali jika menggunakan pembesar suara.

5. Dilakukan secara berdiri kecuali uzur.

6. Memalingkan muka ke sebelah kanan semasa menyebut

dan ke sebelah kiri semasa menyebut

dengan keadaan dada yang tetap.

7. Melakukan tarji‘ semasa azan iaitu menyebut dua kalimah secara senyap sebelum dinyaringkan.

8. Melakukan tathwib semasa azan subuh iaitu menyebut kalimah

sebanyak dua kali selepas laungan .

9. Meletakkan jari-jari tangan di kedua-dua telinga ketika azan dengan tujuan untuk meninggikan suara.

10. Orang yang mendengar azan hendaklah diam dan mengulangi apa yang disebut oleh mu’azzin kecuali ketika mu’azzin menyebut kalimah


dan

, maka hendaklah dijawab dengan kalimah .


Begitu juga ketika tathwib, hendaklah dijawab dengan lafaz

.

11. Berdoa dan salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas azan seperti berikut:







LAFAZ IQAMAH DAN ATURANNYA

1. Lafaz iqamah mempunyai sebelas kalimah, setiap kalimah diucapkan hanya sekali sahaja kecuali takbir yang pertama.

2. Lafaz iqamah adalah seperti berikut:





3. Syarat-syarat iqamah adalah sama seperti azan, tetapi dibolehkan jika dilakukan oleh kaum wanita sama ada semasa sembahyang bersendirian atau berjama‘ah sesama mereka.

4. Selain itu, iqamah juga disyaratkan tidak diselangi dengan diam yang terlalu lama di antaranya dengan takbiratul ihram kecuali sekadar imam menyuruh agar membetulkan saf. Iqamah hendaklah dilakukan dengan cepat kerana ia disyari‘atkan bagi memberitahu mereka yang telah hadir untuk mengerjakan sembahyang.

5. Perkara-perkara sunat semasa iqamah juga hampir sama dengan azan, cuma disunatkan kepada orang yang mendengar iqamah menjawab dengan kalimah semasa bilal menyebut yang kedua.


AZAN DAN IQAMAH UNTUK TUJUAN SELAIN SEMBAHYANG

Selain untuk tujuan sembahyang, azan dan iqamah juga sunat dilakukan untuk beberapa perkara lain:

1. Azan di telinga kanan kanak-kanak yang baru lahir, begitu juga sunat diiqamahkan pada telinga kiri. Ini adalah kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri telah mengazankan telinga Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.

2. Azan pada waktu kebakaran, waktu perang dan di belakang orang yang bermusafir.

3. Azan pada telinga orang yang berdukacita, orang yang jatuh, orang yang marah atau manusia yang menjadi liar perangainya dan juga orang yang dirasuk jin atau syaitan.

Sunday, November 20, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 13 : MANDI

PENGERTIAN MANDI

Dari segi bahasa, mandi bererti mengalirkan air ke seluruh badan.
Dari segi syara‘, mandi bermaksud mengalirkan air ke seluruh badan dengan niat yang tertentu.
PERKARA YANG MEWAJIBKAN MANDI

1. Bertemu dua khitan iaitu apabila masuknya hasyafah zakar atau sekadar yang ada bagi zakar yang kudung ke dalam farj perempuan yang masih hidup dengan sempurna walaupun tidak keluar mani.

2. Keluar mani walaupun sedikit dengan sengaja atau pun bermimpi.

3. Keluar haidh, iaitu darah semulajadi yang keluar dari pangkal rahim ketika wanita dalam keadaan sihat pada waktu yang tertentu.

4. Melahirkan anak atau bersalin (wiladah).

5. Keluar nifas, iaitu darah yang keluar selepas bersalin.

6. Mati, kecuali mati syahid.


FARDU MANDI

1. Berniat pada permulaan kena air pada badan.

Bagi orang yang berjunub niatnya ialah mengangkat janabah atau hadath besar. Niatnya seperti berikut:





Maksudnya: “Sahaja aku mandi junub kerana Allah Ta`ala”.

atau





Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadath besar kerana Allah Ta`ala”.

Bagi orang yang datang haidh atau nifas niatnya ialah mengangkat hadath haidh atau nifas. Niatnya adalah seperti berikut:





Maksudnya: “Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Ta`ala”.

atau





Maksudnya: “Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Ta`ala”.

2. Menghilangkan najis yang terdapat pada tubuh badan.

3. Meratakan air ke seluruh badan terutama kulit, rambut dan bulu.



PERKARA SUNAT SEMASA MANDI


Terdapat banyak perkara sunat semasa mandi, antaranya:

1. Membaca “basmalah” iaitu lafaz




2. Berwudhu’ sebelum mandi.

3. Membasuh dua tapak tangan.

4. Menggosok seluruh bahagian badan.

5. Mendahulukan anggota tubuh yang kanan daripada yang kiri.

6. Mengulangi membasuh anggota tubuh sebanyak tiga kali.

7. Berturut-turut iaitu tidak berlaku perceraian yang lama di antara membasuh sesuatu anggota dengan anggota yang lain.


MANDI-MANDI SUNAT

Mandi-mandi yang disunatkan adalah seperti berikut:

1. Mandi hari Juma‘at bagi orang yang hendak pergi sembahyang Juma‘at. Waktunya dari naik fajar sadiq.

2. Mandi hari raya fitrah dan hari raya adhha. Waktunya adalah mulai dari tengah malam pada hari raya itu.

3. Mandi kerana minta hujan (istisqa’).

4. Mandi kerana gerhana bulan.

5. Mandi kerana gerhana matahari.

6. Mandi kerana memandikan mayat.

7. Mandi kerana masuk agama Islam.

8. Mandi orang gila selepas pulih ingatannya.

9. Mandi orang yang pitam selepas sedar dari pitamnya.

10. Mandi ketika hendak ihram.

11. Mandi kerana masuk Makkah.

12. Mandi kerana wuquf di ‘Arafah.

13. Mandi kerana bermalam di Muzdalifah.

14. Mandi kerana melontar jumrah-jumrah yang tiga di Mina.

15. Mandi kerana tawaf iaitu tawaf qudum, tawaf ifadhah dan tawaf wida‘.

16. Mandi kerana sa‘i.

17. Mandi kerana masuk ke Madinah.

Sunday, November 13, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 12 : TAYAMMUM

PENGERTIAN TAYAMMUM

Tayammum ialah menyampaikan atau menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua tangan dengan syarat yang tertentu. Tayammum dilakukan bagi menggantikan wudhu’ atau mandi wajib (junub, haidh dan nifas), ketika ketiadaan air atau uzur menggunakan air, dan ia adalah suatu rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh syara‘ kepada manusia.
·Disyari‘atkan tayammum berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya:

“Dan jika kamu junub (berhadath besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih.” (Surah Al-Ma’idah, 5:6)

Semua ibadah atau amalan ta‘at yang perlu kepada bersuci (taharah) seperti sembahyang, menyentuh mushaf, membaca Al-Qur’an, sujud tilawah dan beri‘tikaf di dalam masjid adalah boleh bersuci dengan tayammum sebagai ganti wudhu’ dan mandi, kerana amalan yang diharuskan taharah dengan air adalah diharuskan juga dengan tayammum.


SEBAB YANG MEMBOLEHKAN TAYAMMUM

1. Ketiadaan air yang mencukupi untuk wudhu’ atau mandi.

2. Air yang ada hanya mencukupi untuk keperluan minuman binatang yang dihalalkan, sekalipun keperluan itu pada masa akan datang.

3. Sakit yang jika terkena air boleh mengancam nyawa atau anggota badan atau melambatkan sembuh.


SYARAT TAYAMMUM

1. Menggunakan debu tanah yang suci, tidak musta‘mal, tidak bercampur benda lain.

2. Menyapu muka dan dua tangan dengan dua kali pindah.

3. Hilang najis terlebih dahulu.

4. Masuk waktu sembahyang.

5. Bertayammum bagi setiap ibadat fardhu.

6. Ada keuzuran seperti sakit atau ketiadaan air.


ANGGOTA TAYAMMUM

1. Muka.

2. Dua belah tangan hingga siku.


RUKUN TAYAMMUM

1. Berniat ketika menyapu debu tanah ke muka. Niat tayammum adalah seperti berikut :

Maksudnya:

“Sahaja aku bertayammum bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta`ala.”

2. Menyapu muka.

3. Menyapu kedua-dua belah tangan.

4. Tertib.


SUNAT TAYAMMUM

1. Membaca basmalah iaitu lafaz

2. Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri dan memulakan bahagian atas dari bahagian bawah ketika menyapu muka.

3. Berturut-turut di antara menyapu muka dan menyapu tangan.


PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM

1. Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.

2. Melihat air atau mendapat air sekiranya bertayammum kerana ketiadaan air.

3. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 11 : PENYAPUAN KHUF

PENGERTIAN KHUF

Khuf atau muzah ialah sejenis pakaian yang diperbuat daripada kulit yang menutup bahagian kaki yang diwajibkan basuh ketika berwudhu’ iaitu kaki dan buku lali ke atas, seperti sarung kaki. Bahagian khuf yang disapu ialah bahagian luar sebelah atas bukan tapak.

Menyapu khuf adalah sebagai gantian bagi membasuh kedua-dua belah kaki dalam berwudhu’. Ia adalah suatu rukhsah atau kelonggaran yang dibenarkan oleh syara‘ untuk kemudahan umat Islam terutamanya ketika musim sejuk.


CARA PENYAPUAN KHUF

Tempoh sesuatu pemakaian khuf ialah satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir, berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam memberi (rukhsah untuk menyapu khuf) selama tiga hari dan tiga malamnya kepada orang musafir dan satu hari satu malam bagi orang yang bermukim”.

Tempohnya ialah bermula dari mula memakai khuf selepas mengangkat hadath sama ada berwudhu’ atau mandi mengangkat hadath.

Caranya ialah apabila seseorang itu selesai bersuci dari hadath sama ada mengambil wudhu’ atau mandi mengangkat hadath, ia hendaklah memakai kedua-dua belah khuf tanpa ditanggalkan lagi selama satu hari satu malam (24 jam). Apabila ia terbatal wudhu’ dengan sebab hadath kecil dalam tempoh 24 jam itu, maka ia mengambil wudhu’ semula tetapi bila sampai giliran membasuh kaki, ia tidak perlu membuka khuf dan membasuh kaki, sebaliknya menyapu di atas khuf yang dipakainya itu sebagai gantian membasuh kaki. Begitulah seterusnya setiap kali mengambil wudhu’ dalam tempoh 24 jam itu. Apabila tamat tempoh 24 jam tadi barulah ia wajib membasuh kaki semula ketika mengambil wudhu’ baru dan bermula pula tempohnya.


SYARAT KEHARUSAN PENYAPUAN KHUF

1. Memakai khuf ketika suci sepenuhnya daripada hadath besar dan kecil.

2. Khuf yang bersih serta menutup semua bahagian kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu’.

3. Khuf yang kukuh yang boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan biasa.

4. Khuf yang sempurna dan tiada kerosakan padanya.

5. Khuf yang tidak meresap air.

6. Khuf yang tebal yang tidak menampakkan kulit kaki.


PERKARA YANG MEMBATALKAN PENYAPUAN KHUF

1. Semua perkara yang mewajibkan mandi hadath seperti berjunub, haidh dan nifas.

2. Mencabut salah satu khuf atau kedua-duanya sekali atau rosak khuf.

3. Tamat tempoh sapuan khuf iaitu satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang musafir.

Wednesday, November 9, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 10 : WUDHU'

PENGERTIAN WUDHU’,

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.

Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.


HUKUM WUDHU’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:

1. Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.

2. Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.


HIKMAH WUDHU’

Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.


FARDHU WUDHU’

1. Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut:

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.

atau

Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.

2. Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.

3. Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.

4. Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.

5. Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.

6. Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.


SYARAT-SYARAT WUDHU’

Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.

Syarat Wajib Wudhu’

1. Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.

5. Berlakunya hadath.

6. Suci daripada haidh dan nifas.

7. Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.

Syarat Sah Wudhu’

1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.

2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.

3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.

4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.



Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:

1. Islam.

2. Mumayyiz.

3. Suci daripada haidh dan nifas.

4. Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.

5. Mengetahui kefardhuan wudhu’.

6. Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.

7. Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.

8. Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.

9. Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.

10. Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.

11. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.

12. Muwalat, iaitu berturutan.



SUNAT WUDHU’

Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:

1. Membaca “basmalah” iaitu lafaz

2. Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.
3. Berkumur-kumur.

4. Memasukkan air ke dalam hidung.

5. Menyapu seluruh kepala.

6. Menyapu dua telinga.

7. Menyelati janggut yang tebal.

8. Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.

9. Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.

10. Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.

11. Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.

12. Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.

13. Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.

14. Bersugi dengan sesuatu yang kesat.

15. Menghadap qiblat.

16. Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:

Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”



PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’

1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

2. Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.

4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.

5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.

6. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 9 : ISTINJAK

PENGERTIAN ISTINJA’

* Istinja’ bererti menghilangkan najis yang keluar dari qubul atau dubur dengan air atau batu atau benda keras yang seumpama batu serta suci, dapat menghilangkan najis dan tidak haram menggunakannya.


HUKUM ISTINJA’

1. Hukum istinja’ untuk menghilangkan najis adalah wajib.

2. Sunat beristinja’ dengan batu kemudian dibasuh dengan air.

3. Harus memilih untuk beristinja’ dengan hanya menggunakan air sahaja atau menggunakan sekurang-kurangnya tiga biji batu jika dapat menghilangkan najis. Walaubagaimanapun, lebih afdhal menggunakan air kerana air lebih berupaya dan berkesan untuk menghilangkan najis.

4. Jika menggunakan batu, diwajibkan menyapu dengan sekurang-kurangnya tiga biji batu atau tiga penjuru dari sebiji batu dengan syarat:

a. Najis yang hendak dibersihkan itu tidak kering.

b. Tidak merebak ke bahagian lain.

c. Tidak bercampur dengan najis yang lain.

* Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka hendaklah menggunakan air.


ADAB MEMBUANG AIR

1. Haram menghadap ke arah qiblat atau membelakanginya apabila membuang air di kawasan lapang. Walaubagaimanapun, disunatkan juga tidak menghadap atau membelakangi qiblat apabila membuang air di dalam bangunan seperti tandas atau apabila ada dinding atau tabir antara orang itu dengan qiblat.

2. Makruh membuang air di dalam air yang tidak mengalir atau di dalam air mengalir yang sedikit, tetapi jika air mengalir itu banyak, maka yang lebih baik dielakkan dari membuang ke dalamnya. Ini berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:

“Bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam menegah membuang air (kencing) di dalam air yang tidak mengalir.”

3. Makruh membuang air di bawah pokok buah-buahan sama ada ketika berbuah atau tidak.

4. Makruh membuang air di dalam lubang dan di celah rekahan tanah.

5. Makruh membuang air di jalan, di tempat teduh dan di dalam lubang yang bukan digali khas untuk membuang air.

6. Makruh bercakap ketika membuang air kecuali kerana sesuatu keperluan.

7. Makruh menghadap ke arah matahari atau bulan ketika membuang air.

8. Sunat berlindung daripada pandangan manusia.

9. Haram membawa bersama-sama sebarang benda yang ada catatan nama Allah, Al-Qur’an dan seumpamanya ketika membuang air.

Monday, November 7, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 8 : HAID, NIFAS DAN WILADAH

1. HAID

Iaitu darah yang keluar dari kemaluan perempuan pada masa sedang sihat a’fiat ialah kerana menurut tabiat perempuan. Sekurang-kurangnya umur bagi perempuan yang boleh keluar darah haid itu dari sembilan tahun ke atas. Warna darah haid itu merah tua, rasanya hangat apabila ia keluar.

Tempohnya

Lama masa keluar darah haid itu sekurang-kurangnya sehari semalam dan selanjut-lanjut masanya selama lima belas hari siang dan malam, kebanyakannya iaitu masa yang biasa keluar selama enam atau tujuh hari.

Suci diantaranya

Sekurang-kurangnya suci diantara satu haid ke satu haid itu lima belas hari, biasanya dua puluh empat hari. Ada juga perempuan tiada keluar haid dari kecil hingga besar atau haid telah putus daripadanya maka masa suci baginya itu tidak terhingga.



2. NIFAS

Iaitu darah perempuan yang keluar pada masa melahirkan anak atau darah yang keluar setelah lahir anak itu.

Tempohnya

sekurang-kurang masa keluar darah nifas itu sekelip mata iaitu sedikit sangat dan biasanya empat puluh hari dan selanjut-lanjut masanya enam puluh hari.



3. ISTIHADHAH

Iaitu darah perempuan yang keluar bukan masa haid dan nifas. Seperti darah haid yang keluar lebih daripada lima belas hari lima belas malam atau darah yang keluar dahulu dari melahirkan anak dan yang keluar di atas enam puluh hari dan ini harus di namakan darah penyakit.



4. HAMIL/WILADAH

Sekurang-kurangnya masa mengandung itu enam bulan dan biasanya sembilan bulan ada juga lebih lama dari masa ini sehingga tiga tahun. Apabila habis darah haid atau nifas wajiblah di atas perempuan itu bersuci iaitu mandi melainkan istihadhah, tiada wajib mandi hanya memadai ia berbasuh.


Sumber Rujukan :

1) Kitab Tuntutan Ibadah Oleh Syeikh Ali Abdullah

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 7 : HADATH

PENGERTIAN HADATH

Hadath dari segi bahasa bererti sesuatu yang datang atau berlaku.
Hadath dari segi syara‘ bermaksud sesuatu yang berlaku pada tubuh badan yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah.
Ia terbahagi kepada hadath kecil dan hadath besar.

1. Hadath kecil ialah sesuatu perkara yang membatalkan wudhu’.
2. Hadath besar ialah sesuatu perkara yang mewajibkan mandi.


SEBAB HADATH DAN KESANNYA

Sebab hadath kecil adalah sebab yang membatalkan wudhu’. Maka kesan daripada berhadath kecil adalah terbatalnya wudhu’ dan diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.

2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.

3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.


Sebab hadath besar pula adalah berjunub, keluar haidh atau nifas dan melahirkan anak.
Apabila seseorang berhadath besar kerana berjunub, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.

2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.

3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.

4. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.

5. Beri‘tikaf di dalam masjid.


Apabila seseorang berhadath besar kerana keluar haidh dan nifas, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.

2. Berpuasa.

3. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.

4. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.

5. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.

6. Masuk, duduk dan beri‘tikaf di dalam masjid walaupun dengan wudhu’.

7. Bersetubuh.

8. Talaq.


CARA MENGHILANGKAN HADATH

1. Untuk menghilangkan hadath kecil ialah dengan berwudhu’ atau tayammum apabila tidak dapat melakukan wudhu’.

2. Untuk menghilangkan hadath besar ialah dengan mandi atau bertayammum sebagai ganti daripada mandi.

Thursday, November 3, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 6 : NAJIS

PENGERTIAN NAJIS

- Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi.
- Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat.

PEMBAHAGIAN NAJIS

Najis dari segi ‘ainnya terbahagi kepada dua:

1. Najis haqiqiyy, iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga:

a. Mughallazah (berat), iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.

b. Mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun.

c. Mutawassitah (pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.

Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.


2. Najis hukmiyy, iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadath kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadath besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.



NAJIS YANG DIMAAFKAN

Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:

1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.

2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah.

3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.

4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, darah istihadhah, air kurap atau kudis.



CARA MENYUCI NAJIS

- Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.
- Cara menyucikan najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:

1. Najis mughallazah (berat)
- Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

2. Najis mutawassitah (pertengahan)
- Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

3. Najis mukhaffafah (ringan)
- Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.

- Untuk menyucikan najis hukmiyy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.

Monday, October 31, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 5 : MENYAMAK KULIT

1. Tujuan menyamak ialah untuk menyucikan kulit yang najis (bangkai).

2. Hukum menyamak kulit adalah harus.

3. Menyamak tidak tertentu kepada orang Islam sahaja bahkan orang kafir pun boleh menyamak asalkan ia mengikut cara yang dilakukan oleh orang Islam.

4. Hubungan menyamak kulit dengan kehidupan manusia:

- Untuk menambahkan ekonomi bagi mereka yang melakukannya.
- Untuk mengelakkan daripada pembaziran.

5. Hanya kulit sahaja yang boleh disamak, tidak boleh pada kuku, gigi dan tulang.

6. Takrif dan pengenalan bangkai :

- Binatang yang halal dimakan yang mati tidak disembelih mengikut cara-cara Islam.
- Binatang yang haram dimakan yang mati sama ada disembelih atau tidak, tetap ia menjadi bangkai.

7. Binatang-binatang yang mati termasuk dalam jumlah bangkai:-

- Binatang yang disembelih dengan menggunakan tulang.
- Binatang yang disembelih oleh orang Majusi (orang yang menyembah api)
- Sembelihan orang-orang yang berihram (Ihram haji atau umrah)

8. Binatang yang tidak suci kulitnya walaupun disamak:

- Babi
- Anjing
- Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan di antara anjing dan babi
- Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan binatang yang halal dengan anjing atau babi.

9. Alat-alat yang digunakan untuk menyamak kulit iaitu sesuatu yang tajam rasanya atau kelat seperti tawas, cuka, asam, limau dan sebagainya.

10. Cara menyamak kulit binatang :

- Terlebih dahulu hendaklah disiat kulit binatang daripada anggota badan binatang (setelah disembelih)
- Dicukur semua bulu-bulu dan dibersihkan segala urat-urat dan lendir-lendir daging dan lemak yang melekat pada kulit.
- Kemudian direndam kulit itu dengan air yang bercampur dengan benda-benda yang menjadi alat penyamak sehingga tertanggal segala lemak-lemak daging dan lendir yang melekat di kulit tadi.
- Kemudian diangkat dan dibasuh dengan air yang bersih dan dijemur.

11. Kulit yang disamak itu haram dimakan kerna boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan manusia.

12. Maksud perkataan suci zahir dan batin pada menyamak kulit binatang:

- Suci pada zahir itu ialah ialah sebelah luar tempat tumbuh bulu yang telah dicukur dan kulit itu melekat pada daging.
- Suci pada batin ialah di sebelah dalam kulit yang bermakna kulit itu dibelah maka bekas belahan itu suci.

13. Bulu-bulu binatang yang telah disamak dan terlekat pada kulit kiranya sedikit adalah dimaafkan.

14. Hubungan menyamak kulit binatang dengan ilmu-ilmu yang lain:

- Pada Ilmu Muamalat kulit yang telah disamak boleh dijualbeli.
- Pada Ilmu Jinayat kulit yang telah disamak boleh dipotong tangan apabila dicuri.
- Pada Ilmu Faraid kulit yang telah disamak boleh dipusakakan

15. Kesimpulan ialah menyamak kulit binatang adalah bertujuan menyucikan kulit.


( Kitab Matlaal Badrain - Syeikh Daud Fattani )

Saturday, October 29, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 3 DAN BAB 4

BAB 3 : BERSUGI (BERSIWAK)

1. Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi.

2. Bersugi hukumnya adalah sunat dan masanya ialah bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca Al-Quraan dan ketika berubah bau mulut.

3. Dihukumkan makruh bersugi apabila telah gelincir matahari ( masuk waktu Zohor ) bagi orang yang berpuasa , sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“ Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah s.w.t. itu lebih harum daripada kasturi “.
( Riwayat Muslim )

- Pada pendapat Imam Nawawi r.a.h bahawa tidak makruh bersugi bagi orang yang berpuasa sama ada telah gelincir matahari atau belum gelincir matahari.

4. Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu arak ( siwak ) , rotan manggar kelapa dan lain-lain.

5. Hadith Rasulullah s.a.w. tentang bersugi :

1) Dari Aisyah r.a.h. “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.
( Riwayat Baihaqi )

2) Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. telah bersabda :
“ Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh
mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk “.
( Riwayat Ahmad )

6. Cara perlaksanaan bersugi hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan sebelah kanan mulut dan terus dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.

7. Di antara kelebihan bersugi ialah :

1) Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih
baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang
dengan tidak bersugi “.
( Riwayat Muslim )

2) Dapat menambahkan akal.
3) Dapat mencerahkan mata.
4) Melambatkan tumbuh uban .
5) Dapat menggandakan pahala.
6) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal .

7. Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntuti hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari.

8. Di antara sebab-sebab sembahyang orang yang bersugi itu lebih afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk sembahyangnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa sembahyang dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar .

( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badraian – Syeikh Daud Fattani )



BAB 4 :BIJANA EMAS DAN PERAK

1. Bijana bermaksud alat perkakas kegunaan kita setiap hari seperti pinggan, mangkuk, gelas, sudu, pisau dan lain-lain lagi .

2. Penggunaan bijana daripada emas dan perak hukumnya adalah haram.

3. Sebab dihukumkan haram adalah :

kerana tegahan - Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“ Jangan kamu minum pada segala bijana emas dan perak dan
janganlah kamu makan pada semua pinggannya “.
( Riwayat Al-Hakim ).

kerana akan menjadi beku tidak dapat menambah atau mengembangkan ekonomi.
kerana boleh menimbulkan rasa kecil hati dari kalangan fakir miskin.
4. Haram menggunakan bijana emas dan perak seperti pencelak mata bekas celak, sikat dan lain-lain.

5. Haram seseorang itu mengupah dan mengambil upah membuat sesuatu bijana daripada emas dan perak. Dan tidak wajib ganti apabila memecahkan alat permainan yang diperbuat daripada emas dan perak.

6. Hukum menyimpan bijana emas dan perak hukumnya adalah haram begitu juga hukum menyadurkan bijana besi atau tembaga dengan emas atau perak juga adalah haram.

7. Bijana emas dan perak yang disadurkan dengan tembaga atau sebagainya tidak haram.

8. Hukum bijana yang ditimpal dengan perak:-

Jika besar tampalannya pada kebiasaan kerana perhiasan hukumnya adalah haram.
Jika besar tampalannya pada kebiasaan kerana hajat atau keperluan hukumnya harus beserta makruh.
Jika kecil tampalannya pada kebiasaannya kerana perhiasan hukumnya makruh.
Jika kecil tampalannya kerana hajat hukumnya tidak makruh.
9. Hukum menampal bijana dengan emas hukumnya adalah haram.

10. Makanan atau minuman yang ada di dalam bijana emas atau perak hukumnya adalah halal di makan atau diminum kalau ia bukan daripada makanan yang haram, yang diharamkan hanyalah menggunakan bijana-bijana tersebut.

11. Dihukumkan haram menggunakan bijana itu adalah terhadap ke semua manusia sama ada lelaki atau perempuan.

12. Bersuci dengan menggunakan bijana emas atau perak itu hukumnya adalah sah.


Rujukan: (Kitab Matlaal Badrain – Syeikh Daud Fattani)
(Kitab Fiqh Syafi’I – Al-Ustaz Hj. Idris Ahmad S.H)

Wednesday, October 26, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 2 : PEMBAHAGIAN JENIS AIR

Air dari segi hukum terbahagi kepada tiga jenis, Iaitu:

1. Air yang suci dan boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air Mutlaq:

Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.

Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar , disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang . Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut .

Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya , seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya . Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air . Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan" .

Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.

b) Air Musyammas:

iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya.
Air yang suci lagi menyucikan yang lain tetapi makruh digunakan pada tubuh badan tidak pada pakaian.

Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuih badan menyebabkan ianya sopak, kusta dan sebagainya. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud :-

"Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak." (Riwayat Baihaqi)
2. Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air Musta'amal:

Iaitu air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.

Yang dikatakan air Musta'amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu' yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota.
Yang dikatakan air Musta'amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.
Air daripada pokok-pokok dan air buah-buahan seperti daripada pucuk kelapa yang dibuat nira atau akar-akar kayu.
Air yang berubah ada dua cara :-

Berubah dengan Taqdiri - Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.
Berubah dengan Hissi - Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.
- Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.

- pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.
- pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.
- pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.

Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta'amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.

Air yang bercampur itu ada dua cara :-

a. Majawir:

Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
Mukhalit
Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta'amal.

b) Air Muqayyad:

Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya (warna, rasa dan bau) menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.

3. Air yang najis atau mutanajjis, iaitu air yang terkena benda najis. Ia terbahagi kepada dua:


a) Air yang sukatannya kurang dari dua kolah dan terkena benda najis kecuali yang dimaafkan, sama ada berubah sifat (warna, rasa dan bau) atau tidak.

b) Air yang sukatannya lebih dari dua kolah dan berubah sifat (warna, rasa dan bau) sama ada perubahan itu sedikit atau banyak.

Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-
Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.

Tuesday, October 25, 2011

PERKARA ASAS IBADAT : BAB 1 : TAHARAH/BERSUCI

1. Definisi :

a) Dari segi bahasa : Suci dan bersih
b) Dari segi istilah syarak : Suci dan bersih daripada najis atau hadas.

2. Taharah ialah anak kunci dan syarat sah solat.

3. Hukum taharah ialah WAJIB di atas tiap-tiap mukallaf lelaki dan perempuan.

4. Dalil naqli tentang suruhan bersuci adalah sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud :

" Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan daripada langit untuk mensucikan kamu dengannya... "

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :

" Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan "

5. Tujuan taharah ialah bagi membolehkan seseorang itu menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain.

6. Hikmah disuruh melakukan taharah ialah kerana semua ibadah khusus yang kita lakukan itu adalah perbuatan mengadap dan menyembah Allah Ta'ala. Oleh itu untuk melakukannya, maka wajiblah berada di dalam keadaan suci sebagai mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. .

7. Faedah melakukan taharah ialah supaya badan menjadi bersih, sihat dan terjauh daripada penyakit serta mendatangkan kegembiraan kepada orang yang melaksanakannya.

8. Syarat wajib taharah ialah :

- Islam
- Berakal
- Baligh
- Masuk waktu ( Untuk mendirikan solat fardhu ).
- Tidak lupa
- Tidak dipaksa
- Berhenti darah haid dan nifas
- Ada air atau debu tanah yang suci.
- Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.

9. Taharah adalah sebagai bukti bahawa Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian.

10. Ahli fiqh bersepakat mengatakan harus bersuci dengan air yang suci (mutlaq) sebagaimana firman Allah:


وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

Maksudnya :
"Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira dekat sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih "

11. Selain itu, harus menggunakan kertas atau batu ketika beristinja' dan tanah atau debu tanah sebagai ganti air bagi mengharuskan solat yang dikenali sebagai tayammum.

12. Jelasnya, alat–alat untuk bersuci itu ialah:

- Air mutlaq, iaitu air semata-mata tanpa disertakan dengan sesuatu tambahan atau sesuatu sifat. - Air mutlaq ini terbahagi kepada beberapa bahagian:
- Air yang turun daripada langit. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu air hujan, air salji yang menjadi cair dan air embun.
- Air yang terbit daripada bumi. Ia terbahagi kepada empat, iaitu air yang terbit daripada mata air, air perigi, air sungai dan air laut.
- Tanah, boleh menyucikan jika tidak digunakan untuk sesuatu fardhu dan tidak bercampur dengan sesuatu. Firman Allah:



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub), terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau dalam bermusafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. ”
(Surah Al-Nisa’, 4:43)

13. Samak, iaitu membuang bahan-bahan lebihan yang melekat pada kulit dan yang merosakkannya sekira-kira jika direndam atau dibasuh dengan air sesudah disamak, maka kulit itu tetap tidak busuk atau rosak.

14. Takhallul, iaitu arak bertukar menjadi cuka tanpa dimasukkan sesuatu bahan ke dalamnya.

Rujukan Kitab :

1) Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani
2) Ringkasan Ibadah oleh Ibnu Rahmat .
3) Kitab Minhajul Muslim oleh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi .
4) Fiqh Syafii oleh Hj.Idris Ahmad S.H.

Thursday, September 29, 2011

Tutup Aurat Tidak Sekadar Bertudung....

SOALAN MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam.

JAWAPAN DALAM kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan makna tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.

Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.

Kumpulan pertama menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.

Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak.

Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.

Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan "Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup." Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal.

Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik… Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?

Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.

Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.

Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.

Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.

Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - Wahai 'AhlulBait'dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)

Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: "Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya." (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483).

Manakala Abu Ubaidah berpendapat: "Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah."(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)

Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.

Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.

Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai 'ahl al-bait' dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.

Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.

Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan.

Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.

Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.

Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.

Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya?

Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.

Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.

Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.

Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.

Sunday, August 28, 2011

‘IDUL FITRI : PENGERTIAN DAN PENGISIAN

PENGERTIAN 'IDUL-FITRI

Kalimah 'Id (Bukan Aid) ialah kalimah bahasa Arab yang bermaksud perayaan atau hari ulang tahun. Fitri pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada Hari Raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa. Fitri juga bermaksud tabiat semula jadi atau kembali kepada fitrah. Maksudnya orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramadhan, bertadarus al-Quran, Qiyamullail, Zikrullah dan berdoa, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah meleburkan dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru dilahirkan.

Dengan penjelasan tadi maka dapat kita mengambil kesimpulan bahawa 'Idul Fitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah s.w.t. menerusi ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan puasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa."

PENGISIAN PROGRAM 'IDUL FITRI

'Idul Fitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang dianjurkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu ada tiga perkara seperti berikut:

1) Membanyakkan Ucapan Takbir

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)
Sabda Rasullullah s.a.w. pula yang bermaksud : "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid ."

2) Pembahagian Takbir

2.1. Takbir Mursal : Sunnat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim mahupun musafir, dimasjid atau dijalan dengan cara duduk atau berdiri, dipasar-pasar, dirumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktu bermula daripada terbenamnya matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok harinya. Demikian juga bagi Takbir 'Idul-Adha (Hari Raya Qurban) sunnat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Idul-Adha didirikan.

2.2. Takbir Muqaiyad : Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunnat dilafazkan pada setiap kali selesai sembahyang. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9 Zulhijjah) dan berakhir selepas solat 'Asar pada 13 Zulhijjah.

3) Menunaikan Zakat Fitrah

Walaupun dibolehkan pembayarannya sejak awal Ramadhan, yang afdal ialah pada pagi Hari Raya selepas solat Subuh sebelum solat 'Id didirikan. Inilah menurut hukum asal yang dilakukan pada zaman hayat Rasullullah s.a.w. dan para sahabat serta tabi'in yang lalu.

3.1. Masa Dahulu

Zakat Fitrah pada peringkat awal yang lalu dalam bentuk makanan asasi dan terus disampaikan kepada fakir miskin. Jadi, dalam saat-saat mereka hendak menyambut 'Idul Fitri, hari mulia yang penuh dengan barakah, alangkah gembiranya mereka mendapat habuan makanan itu.

Ibnu Abbas r.a. berkata yang bermaksud : " Rasulullah s.a.w. memfardhukan Zakat Fitrah sebagai membersihkan kecacatan ibadah puasa kerana perbuatan yang sia-sia dan mencarut, disamping itu menjadi habuan untuk orang-orang miskin."

Pada riwayat yang lain pula, Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Id, maka zakatnya itu diterima, tetapi yang membayarnya selepas solat 'Id, ia menjadi sedekah biasa." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majjah dan disahkan oleh al-Hakim)

3.2. Masa Kini

Kini dinegara kita, Zakat Fitrah diberikan dalam bentuk wang ringgit sebagai ganti beras. Fakir miskin telah menerima habuan sebelum Hari Raya dengan cara diberikan pendahuluan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Oleh itu, elok Zakat Fitrah dibayar lebih awal atau pada malam Hari Raya, untuk mengelakkan kesibukan tugas amil memungutnya. Sempena 'Idul Fitri selain diwajibkan berfitrah, kita umat Islam yang berkemampuan juga disunnatkan memberi sedekah-sedekah yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat kita yang susah, kemudian barulah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.


4) Menghadiri Upacara Solat 'Id

Sekelian Muslimin dan Muslimat, tua dan muda, termasuk wanita-wanita yang haid disunnatkan menghadiri upacara perhimpunan tahunan tersebut bagi masyarakat Islam setempat. Kehadiran mereka sebagai menghayati syi'ar keagungan Islam dan perpaduan ummah, disamping itu mereka berpeluang bertakbir (membesarkan Allah s.w.t.) beramai-ramai, mendengar khutbah 'Id yang penting, berzikir dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam. Bagi yang tidak uzur berpeluang mendirikan solat 'Id (Hari Raya)

Daripada Ummu 'Atuyah r.a. ujurnya : Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan wanita yang haid pada Hari Raya ('Idil Fitri dan 'Idil Adhha), agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum Muslimin tetapi wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perlu diingatkan, bahawa Hari Raya Puasa kita disunnatkan menjamah makanan atau juadah terlebih dahulu, kemudian pergi ketempat solat, tetapi untuk Hari Raya Haji sunat tidak makan terlebih dahulu, sebaliknya kita bersegera ke upacara perhimpunan solat. Solat 'Idil Adha disegerakan lalu menyembelih binatang qurban, kemudian kita pulang dengan membawa daging qurban, lalu dimasak dan baru makan.

Pada pagi-pagi Hari Raya, kita juga disunnatkan mandi dan memakai pakaian yang serba baru atau yang bersih dan indah. Kemudian ketika pergi ke musollah (tempat solat), pergi melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam. Kita sama-sama mengucapkan Salam 'Idil Fitri sambil berbalas-balas senyuman, sama-sama menyatakan rasa syukur ke Hadrat Ilahi atas petunjuk dan pertolongan-Nya sehingga kita berjaya menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Pada zaman hayat Rasulullah s.a.w. dahulu, solat 'Id diadakan ditanah lapang kerana masjid-masjid pada zaman itu kecil-kecil belaka. Kini solat 'Id diadakan dimasjid atau disurau. Adalah amat elok jika dapat dibuatkan khemah atau ruang khas di luar masjid atau surau untuk memberi peluang para wanita yang uzur (haid) duduk ditempat itu supaya mereka dapat sama-sama menikmati syi'ar 'Idil Fitri atau 'Idil Adha.


5)Amalan-amalan Menjelang Hari Raya Puasa

Umat-umat Islam digalakkan melakukan I'tikaf beramai-ramai dimasjid pada malam-malam sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan (malam ke-21 hingga malam ke-29 atau ke-30) kerana berharap bertemu malam LAILATUL QADAR atau malam kemuliaan yang mempunyai nilai lebih baik daripada 1000 bulan. Amalan ini dilakukan pada zaman hayat Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat serta abad-abad berikutnya, bahkan hingga kini masih dilakukan begitu bersemarak disesetengah negara Islam khususnya di Masjidil Haram (Makkah), tetapi malangnya di negara kita kebanyakkan umat Islam menyambut 'Idil Fitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah, yang mana sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam. Sejak awal Ramadhan lagi, mereka lebih tertumpu ke pusat membeli-belah, melengkapkan persiapan membeli pakaian, hiasan rumah dan lain-lain lagi. Apabila Hari Raya sudah hampir, kebanyakkan suri rumah lebih tertumpu menyediakan kuih-muih yang pelbagai jenis.

Setiap individu Muslim dan Muslimah wajib menilai segala aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya telah menjadi 'budaya' termasuk bentuk acara menyambut 'Idil Fitri. Ciri-ciri yang diambil dari budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan. Kita boleh menyediakan makanan, juadah dan kuih-muih untuk Hari Raya tetapi hendaklah dalam bentuk sederhana. Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan ekonomi keluarga.

Acara ziarah-menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, orang-orang yang berjasa kepada kita seperti para guru dan sabahat handai ini sebenarnya tidak terbatas sempena Hari Raya sahaja, tetapi perlu dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w.yang bermaksud : " Ziarahilah saudara mara kamu dari masa ke masa kerana ia boleh menambahkan kasih sayang." Lebih-lebih lagi menziarahi ibu bapa kita, hendaklah dilakukan lebih kerap dan janganlah menunggu Hari Raya sahaja. Amalan meminta maaf juga perlulah dilakukan dengan segera apabila kita terasa telah melakukan kesilapan serta kesalahan terhadap orang lain.


Tuesday, July 26, 2011

PENGHAYATAN RAMADHAN MENURUT SUNAH RASULULLAH s.a.w DAN PARA SAHABAT

MUQADDIMAH

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.
Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al‐Nasa`ie daripada Abi Hurairah.

Pertama : Takrif Puasa

Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berbetulan dengan firman Allah s.w.t menceritakan perihal Maryam, melalui Surah Maryam, ayat 26: Maksudnya: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al‐Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Kedua: Takrif Ramadhan

Ramadhan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan‐bulan Islam yang berada di antara Sya’ban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam berpuasa.Al‐Syeikh Sya’rawi di dalam al‐Fatawa berkata: Perkataan bulan ﺷﻬﺮ diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang‐kadang dinamakan masa yang tetentu sebagai bulan.

Sesungguhnya matahari tidak mampu untuk diketahui berkenaan dengan bulan kerana ia berfungsi hanya untuk menetukan hari. Matahari yang muncul disebelah timur pada hari ini begitu juga akan muncul pada hari esok mengikut  sifat dan bentuknya yang sama. Sedangkan bulan dapat dipastikan datang dengan Hilal (anak bulan) pada permulaan kemudian membesar sehingga menjadi bulan mengambang yang penuh hingga kepada kekurangan semula, justeru dapat di bezakan awal, pertengahan dan akhir bulan.  

Atas dasar inilah Allah s.w.t mengikat segala amalan ibadat dengan ayat kauniyyah yang zahirah (tanda kekuasaan Allah yang zahir). Ayat di sini ialah anak bulan selepas itu baru di ambil dari matahari hari tersebut kerana anak bulan tidak memberikan kepada kamu kefahaman tentang hari justeru, kita berhajat kepada kedua‐duanya. Dengan sebab itulah sentiasa bermula masa ramadhan dengan malam dan segala ibadat di sini berkenaan dengan ramadhan bahawa malam didahulukan sebagaimana yang ma’ruf (tidak ada khilaf dalam masalah ini bahawa siang hari mendahului malam kecuali pada satu ibadat iaitu wuquf di `arafah. Malam datang selepasnya).

Bulan ramadhan asalnya daripada kalimah ﺽ ﻡ ﺭ yang menunjukkan kepada kepanasan atau kepada kepanasan yang membawa kepada dahaga begitu juga pasir‐pasir yang panas di padang pasir. Al‐Qurtubi berkata: Dikatakan dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan yang soleh. Ini kerana diambil dari perkataan ﺍﻹﺭﻣﺎﺽ yang bermaksud membakar.

Ada pendapat mengatakan kerana hati‐hati dapat mengambil padanya dari kepanasan mau`izah dan fikrah pada urusan akhirat sebagaimana pasir dan batu menjadi panas dengan sebab panahan cahaya matahari. Seolah‐olah manusia ketika mereka datang untuk meletakkan nama‐nama berbetulan pada ramadhan pada waktu yang panas terik (sebagaimana bulan rabi’ yang pertama dan kedua berlaku dalam musim bunga) ini menunjukkan mereka memerhatikan sifat bulan ketika menamainya, kemudian berlangsungnya masa yang khas bagi orang arab sebagai hilali pada zaman yang am sebagai syamsi.

Kemudian datangnya ramadhan pada musim sejuk dan juga datangnya ramadhan pada musim luruh, tetapi saat penamaan adalah pada musim panas, justeru penamaan tersebut berkenaan dengan ramadhan dilihat pada waktu dinamakannya. Seolah‐olah Allah yang sebenarnya telah memilih bagi bulan ini dengan nama yang tersebut untuk menunjukkan betapa masyaqqah untuk ditempuhi oleh orang yang berpuasa.

Ketiga: Pensyariatan Puasa

Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2 Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi ε. Hal ini berdasarkan firman Allah Ι dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: Maksudnya: Wahai orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Akan tetapi kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat‐umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad s.a.w secara khususnya difardhukan puasa bulan Ramadhan tersebut berdasarkan Surah al‐Baqarah, ayat 185: Maksudnya: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al‐Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan‐keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya hendaklah ia berpuasa pada bulan itu."

PENGHAYATAN RAMADHAN MENURUT SUNNAH RASULULLAH DAN PARA SAHABAT

Rasulullah s.a.w amat bergembira dengan kedatangan Ramadhan al‐Mubarak, bahkan baginda menganjurkan para sahabat supaya bergembira dengan mengisi ketaatan yang penuh sama ada fardhu ataupun sunat bagi menghiasi Ramadhan al‐Mubarak. Dengan sebab itu banyak hadith‐hadith yang menunjukkan kelebihan dan keutamaan Ramadhan dan puasa serta acara sunat yang lain untuk menambahkan lagi koleksi pahala di sisi Allah.

Di sini dinyatakan hadith‐hadith antaranya:

1. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d, sabda Rasulullah:
Maksudnya: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.  

2. Hadith riwayat Ahmad dan al‐Nasa`ie, daripada Abu Hurairah. Sabda Rasulullah:
Maksudnya: Puasa sebagai perisai.

3. Hadith riwayat Ibn Majah dan al‐Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

4. Hadith riwayat al‐Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat. Firman Allah  dalam hadith qudsi: Maksudnya: Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untukKu, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang.

5. Hadith riwayat al‐Baihaqi di dalam al‐Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: maksudnya: Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

6. Hadith riwayat al‐Nasa`ie daripada Abi Sa`id: Maksudnya: Siapa yang berpuasa sehari semata‐mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun.

7. Hadith riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al‐Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi ε bersabda: Maksudnya: Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

8. Hadith riwayat al‐Bukhari dan Muslim: Maksudnya: Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu‐pintu syurga, ditutup pintu‐pintu neraka dan diikat syaitan‐syaitan.

9. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim, begitu juga dengan Ashab al‐Sunan: Maksudnya: Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu.


PELUANG, CABARAN DAN TIPS MENANGANINYA

Setiap ibadat sudah tentu mempunyai cabaran dan halangan. Ini kerana terdapatnya ganggu gugat daripada syaitan dan lain‐lain supaya ibadat tersebut batal atau tidak diberi pahala di sisi Allah s.w.t . Justeru jadilah ibadat sia‐sia disamping natijah taqwa yang terhasil daripada ibadat puasa tidak kesampaian. Di sini dikemukakan beberapa hadith yang menunjukkan cabaran dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Antaranya ialah:

1. Hadith riwayat al‐Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah s.w.t. berfirman:
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbukadia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa gembira dengan puasanya.

2. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari, al‐Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah: Maksudnya: Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah, firman Allah s.w.t: Kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Akulah yang membalasnya, meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku, bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbukanya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Berdasarkan dua hadith di atas dapatlah disimpulkan beberapa pengajaran antaranya:

i. Keistimewaan puasa sehingga disandarkan kepada Allah s.w.t.

ii. Amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh hingga tanpa had.

iii. Amalan kejahatan hanya dibalas satu sahaja sebagai lambang rahmat dan kasih sayang Allah terhadap makhluknya.

iv. Puasa sebagai perisai.

v. Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi.

vi. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhan.

vii.Antara adab‐adab puasa ialah;

a. Tidak melakukan rafas iaitu mutlak maksiat atau lagha.

b. Tidak melakukan sakhab iaitu bertempik dan dikehendaki dengannya meninggalkan maksiat begitu juga bercakap sia‐sia kecuali membaca al‐Quran dan zikir.

c. Berkata kepada musuhnya; sesungguhnya aku berpuasa. Untuk mengelakkan daripada tercemarnya maksud puasa dan dari mendapat natijah taqwa. Hal ini berbetulan dengan sebuah hadith yang menggambarkan puasa kerana Allah yang layak dan berhak dibalas dengan kelebihan. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh al‐Tabarani, daripada Abu Hurairah dan lainnya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya: Kecuali puasa, dan puasa bagi‐Ku dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya semata‐mata kerana‐Ku.

Begitu juga dengan sebuah hadith, Rasulullah ε bersabda: Maksudnya: Siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan beramal dengannya maka tiadalah bagi Allah keperluan dengan sebab beliau meninggalkan makan dan minumnya.

Oleh kerana itu bagi menjadikan puasa yang sahih dan mendapat pahala hendaklah bermula dengan pembetulan nawaitu yang benar‐benar ikhlas selaras dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Bayyinah, ayat 5: Maksudnya: Dan mereka tidak diperintahkan kecuali semata‐mata mengabdikan kepada Allah dalam keadaan mengikhlaskan bagi agamanya dan suci, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, dan yang demikian itu merupakan agama yang unggul.

Seterusnya mempelajari hukum fiqh al‐Siyam mengikut amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat supaya ianya benar‐benar menepati kehendak syarak sama ada yang membabitkan amalan sunat atau wajib. Begitu juga dengan adab dan etikanya. Justeru perkara seumpama ini bukanlah mustahil untuk mencapai hakikat puasa yang menatijahkan taqwa.


PENUTUP

Sebagaimana diketahui puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadat yang difardhukan oleh Allah s.w.t.. Dalam erti kata lain setiap orang Islam yang melakukannya hanya kerana mematuhi perintah Allah s.w.t. danmelaksanakan tanggungjawab keimanan kepada‐Nya tanpa memandang kepada sebarang kemungkinan yang berlaku. Sebagai natijah daripada ibadat tersebut.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.  

ii. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.

iii. Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepada‐Nya.

iv. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat‐sifat keras hati dan keterlalulan.

v. Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin. Firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: Maksudnya: Hai orang‐orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu, iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjungperintah Allah s.w.t   dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah s.w.t dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah.

Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa dihadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Semoga kita mencapai tahap ketaqwaan melalui ibadat puasa Ramadhan yang akan menjelang tiba.

(SUMBER : www.al-azim.com )